Skip to main content

Gaya Hidup

Kekal selamat ketika melancong bersama anak kecil, remaja

Anggaran Waktu Membaca:
Kekal selamat ketika melancong bersama anak kecil, remaja
Keluarga bercuti di tepi pantai. (Gambar: Unsplash)
NEW YORK: Pengalaman bercuti bersama anak-anak semestinya satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak boleh dilupakan.

Di tengah-tengah keghairahan untuk pergi melancong, faktor keselamatan tetap dititikberatkan.

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka akan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti meletakkan AirTag pada beg anak mereka dan menyuruh mereka memakai gelang tangan yang tertera butiran peribadi, sekiranya mereka hilang.

Selain itu, terdapat langkah-langkah lain yang boleh diambil oleh sesebuah keluarga sebelum dan semasa perjalanan untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka. Berikut adalah beberapa tips:

1. Pastikan seisi keluarga diberi taklimat tentang rancangan percutian sebelum melakukan perjalanan

Mulakan perbualan mengenai keselamatan kira-kira seminggu sebelum memulakan perjalanan dengan berkongsi rancangan perjalanan percutian dengan anak-anak anda: destinasi, tempoh penginapan dan bagaimana anda akan melakukan perjalanan ke sana.

Teroka pelbagai cara untuk sampaikan maklumat itu kepada mereka supaya mereka dapat mengingatinya.

Kanak-kanak bawah usia 6 tahun memberi respons baik terhadap penggunaan visual, irama atau muzik dan pengulangan adalah penting di peringkat usia itu, kata Eli Harwood, seorang ahli terapi berlesen dan penulis buku bertajuk "Raising Securely Attached Kids".
Related article image
(Gambar: iStock)
Beritahu mereka maklumat seperti bagaimana mencari pegawai polis - termasuk pakaian seragam yang dipakai oleh pegawai polis di destinasi percutian anda - atau cari orang dewasa yang boleh dipercayai untuk mendapatkan bantuan.

"Salah satu cara yang saya dapati sangat membantu bagi kanak-kanak adalah untuk mencari ibu-ibu yang bersama anak mereka," kata Cynthia Matthews von Berg, pencipta 'Sharing the Wander' iaitu sebuah blog percutian keluarga, yang sudah pun mengembara seluruh dunia bersama suami dan dua anaknya selama tiga tahun.

Bagi kanak-kanak berusia antara 6 dengan 9 tahun, anda boleh menyampaikan maklumat secara langsung dan menjawab sebarang soalan yang mereka mungkin anda.

"Sedang usia mereka meningkat dan mereka tidak begitu gemar mengadakan perbualan sedemikian, libatkan mereka dalam proses menyelesaikan masalah," katanya.

Bagi golongan remaja pula, yang lazimnya mempunyai jangka perhatian pendek, beliau mencadangkan supaya ibu bapa mengadakan perbualan singkat mengenai garis panduan percutian atau menyediakan kertas fakta supaya mereka boleh membacanya sendiri.

2. Perkukuh dan perluas peraturan keselamatan keluarga

Penting untuk anda semak peraturan sedia ada dan menambah peraturan-peraturan baharu.

Ingatkan anak-anak kecil tentang peraturan di rumah:
- Jangan merayau seorang diri atau bercakap dengan orang tidak dikenali

Peraturan baharu termasuk tidak berjalan di sesetengah kawasan selepas waktu malam, tinggal di kawasan yang dipersetujui atau beritahu ibu bapa jika mereka berada kurang selesa dalam situasi tersebut.

Beritahu anak-anak remaja bahawa mereka boleh menggunakan "suara lebih lantang" untuk bercakap di ruang awam yang sibuk, sesak dan jerit jika mereka tidak boleh mencari anda.
Related article image
(Gambar: iStock)
Setiap kanak-kanak seharusnya boleh menghafal sekurang-kurangnya salah satu nombor telefon ibu bapa mereka.

Pastikan telefon bimbit semua orang hidup pada setiap masa, dengan fungsi geolokasi diaktifkan.

Kanak-kanak harus pastikan beg mereka ditutup dan diletakkan di hadapan mereka, dan tidak menggunakan telefon bimbit dan fon telinga untuk mengelakkan gangguan.

Ibu bapa boleh pertimbang untuk memasang peranti penjejak pada beg, pakaian atau kasut.

Jika anak-anak remaja anda mahu keluar seorang diri semasa percutian itu, peraturan keselamatan dari rumah juga tertakluk.

Sebelum menaiki kenderaan khidmat kereta sewa, mereka - seperti anggota keluarga yang lain - perlu periksa aplikasi untuk pastikan nombor lesen kenderaan itu adalah betul dan menanyakan kepada pemandu itu, "Apakah nama saya?" kata Paul DelPonte, pengarah eksekutif Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC).

3. Kongsi rancangan perjalanan dan manfaat teknologi
Related article image
(Gambar: iStock)
Bagi orang dewasa, mereka perlu jelas kanak-kanak yang mana satu berada di bawah pemantauan mereka.

Adalah satu kebiasaan bagi setiap ibu bapa untuk menganggap yang lain sedang melakukannya.

Pastikan anak-anak menghafal nama hotel atau alamat Airbnb dan ambil gambar kad perniagaan hotel itu (dan bilik hotel) dan kongsikannya kepada seluruh keluarga.

Pastikan setiap anggota keluarga mempunyai kad perniagaan hotel itu.

Sebelum keluar untuk bersiar-siar, ambil gambar keluarga menggunakan telefon bimbit anda, supaya anda mempunyai rekod pakaian yang dipakai oleh anak-anak anda pada hari itu sekiranya mereka hilang.

Pastikan semua orang memakai pakaian berwarna terang supaya mudah untuk mengecam mereka.

Jika anda pergi bercuti dengan lebih daripada seorang kanak-kanak, anda boleh rekakan sistem 'buddy'.

Bagi golongan remaja pula, Ned Clark, naib presiden kanan 'Travel For Teens' iaitu sebuah program yang menawarkan pengalaman percutian, mencadangkan "kebebasan dipantau" - iaitu membawa mereka ke tempat-tempat yang mereka ingin pergi dan tinggal di kawasan itu, memberi mereka ruang kebebasan untuk bersiar-siar.

4. Tingkatkan perhatian dalam pengangkutan

Pengangkutan awam mencetuskan cabaran tertentu, justeru anda perlu membuat perancangan khas baginya.

Untuk mengelak anggota keluarga terpisah, pastikan setiap orang diberitahu nama perhentiannya dan berapa banyak perhentian perlu dilalui sebelum tiba di destinasi anda.

Ingatkan anak-anak anda supaya berada dekat dengan anda.

Jika dua orang dewasa melakukan percutian itu, pastikan seorang berdiri di hadapan dan seorang lagi berdiri di belakang kanak-kanak.

Matthews von Berg mencadangkan supaya kanak-kanak kecil menaiki pengangkutan terlebih dahulu bagi mengurangkan kemungkinan sesiapa ketinggalan.

Para pakar bersetuju jika anak-anak kecil ketinggalan di tempat perhentian apabila seisi keluarga mereka menaiki pengangkutan itu - atau tersilap turun di perhentian yang salah - kanak-kanak itu perlu tunggu di perhentian itu sehingga ibu bapa mereka datang untuk mengambil mereka.

Jika kanak-kanak itu ketinggalan sedangkan seisi keluarga mereka sudah turun di perhentian itu, Matthews von Berg menasihati ibu bapa supaya memberitahu anak-anak mereka, "Turun di perhentian yang pertama dan jangan ke mana-mana."

Jika mereka menunggu terlalu lama - seperti dua atau tiga bas atau kereta api berlalu pergi - dan mereka masih seorang diri, mereka harus mendapatkan bantuan daripada orang lain.
Sumber : New York Times/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita