Skip to main content

Gaya Hidup

Keistimewaan kurma sebagai pembuka selera berbuka puasa

Anggaran Waktu Membaca:
JEDDAH: Berbuka puasa dengan buah kurma di bulan Ramadan sangat sinonim dengan umat Islam, sekali gus menjadikan buah ikonik ini sebagai makanan ruji pada hidangan iftar.

Pengambilan buah kurma atau juga disebut sebagai tamar seiring dengan sunnah Nabi Muhammad yang turut mengamalkannya.

Amalan itu bukan sahaja membawa kepentingan agama tetapi juga menawarkan pelbagai manfaat kesihatan.

Pakar pemakanan klinikal Arab Saudi, Asmaa Al-Harthi berkata: "Kurma membekalkan badan dengan tenaga penting selepas berpuasa sehari suntuk, berkat kandungan gula ringkas yang kaya yang dapat menambah paras gula darah yang berkurangan semasa berpuasa."

Beliau menambah: “Kurma adalah makanan ringan yang berkhasiat dan ringan, padat dengan vitamin dan mineral. Ia adalah persediaan kepada perut sebelum pengambilan makanan dengan merangsang enzim pencernaan, sekali gus memudahkan proses penghadaman.

"Tambahan pula, kandungan seratnya yang tinggi menggalakkan rasa kenyang, mencegah makan berlebihan dan keletihan.”

Malah, kurma juga memainkan peranan penting dalam ekonomi kerajaan Arab Saudi dengan peningkatan dalam jumlah permintaan dari dalam dan luar negara.

Pasaran kurma di Arab Saudi telah menjalani aktiviti perdagangan yang aktif dan kehadiran yang ketara daripada rakyat dan penduduk yang ingin membeli pilihan kurma yang terbaik.

Ini jelas dapat dilihat di seluruh pasar dan kedai yang menjual kurma.

Memandangkan kurma merupakan komponen ruji jadual puasa di bulan Ramadan, pertubuhan-pertubuhan komersil bersaing untuk membekalkan semua jenis buah berkenaan.

Di setiap wilayah dalam negara Arab Saudi terkenal dengan jenis kurma tertentu, masing-masing dengan rasa dan ciri tersendiri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zadna Dates Co., Bashaar Al-Kureai, setiap satu jenis kurma berbeza dengan setiap wilayah di Arab Saudi.

Wilayah Qassim, misalnya, terkenal dengan kurma jenis sukkari, khalas, majdool, saqai dan berhi, manakala Madinah menawarkan ajwa, safawi, barni dan mmberiah.

Al-Ahsa di wilayah selatan pula terkenal dengan khalas dan ruzziz dan wilayah utara, Hail dan Jouf pula terkenal dengan kurma jenis Al-Helwah.

Tidak ketinggalan pilihan seperti khalas, sukkari, ajwa, Al-Helwah dan safri mendapat permintaan tinggi pada bulan Ramadan kerana rasa dan ketersediaannya yang luar biasa di bandar-bandar tertentu.

Kurma juga merupakan bahan utama dalam banyak hidangan popular semasa Ramadan.

Wilayah Qassim terkenal terutamanya sebagai pengeluar kurma terbesar dan untuk pelbagai hidangan yang menggabungkannya.

Sebagai contoh, hidangan seperti hanini dan sirap kurma dalam pastri kleeja adalah hidangan istimewa di rantau itu.

Selain itu, qashd dan areekah juga lazimnya dinikmati sepanjang bulan Ramadan.

Qashd ialah hidangan yang diperbuat daripada kurma dan tepung gandum, sering dihidangkan semasa bersahur atau berbuka puasa.

Ia adalah hidangan ruji semasa musim sejuk dan Ramadan, terkenal dengan kepekatannya seperti bubur yang memberikan kandungan kalori tinggi, sesuai untuk memberi tenaga dan memanaskan badan.

Begitu juga, areekah diperbuat daripada kurma, tepung barli, madu dan minyak sapi, dan beberapa jenama telah membangunkannya untuk menyerupai penyediaan ma’soob, hidangan popular di wilayah Makkah.

Kepentingan kurma melangkaui penggunaan tempatan kerana Arab Saudi merupakan pengeksport utama kurma dengan peningkatan ketara dalam eksport dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pusat Nasional Sawit dan Kurma di Arab Saudi baru-baru ini melaporkan peningkatan 14 peratus dalam eksport kurma kerajaan, mencapai nilai SR1.462 bilion (S$523,829,741), berbanding SR1.280 bilion (S$458,604,282) pada 2022.
 
Sumber : Agensi berita/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita