Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kehadiran cahaya mata kuatkan tekad buang tabiat merokok

Kehadiran cahaya mata dalam keluarga menjadi sebab Muchtar Abdul Karim mampu menangkis tabiat merokok yang sudah mendarah daging dalam dirinya. Sedari itu jugalah, beliau kekal bebas rokok.

Anggaran Waktu Membaca:
Kehadiran cahaya mata kuatkan tekad buang tabiat merokok

Encik Muchtar Abdul Karim lebih terdorong untuk berhenti merokok apabila mendapat tahu isterinya menghamilkan anak pertama mereka. Sedari itu, beliau bebas rokok. (Gambar: Muchtar Abdul Karim

Diterbitkan : 09 Jan 2022 12:23AM Dikemas Kini : 09 Jan 2022 12:46AM

SINGAPURA: Kehadiran cahaya mata dalam keluarga menjadi sebab Muchtar Abdul Karim mampu menangkis tabiat merokok yang sudah mendarah daging dalam dirinya. Sedari itu jugalah, beliau kekal bebas rokok.

Encik Muchtar Abdul Karim mula merokok pada usia 14 tahun namun, tembakau tidak asing bagi dirinya malah sebelum itu lagi. Datuk beliau yang tinggal bersamanya adalah seorang perokok. Apabila pakcik-pakcik beliau, juga perokok, datang menziarahi datuknya, mereka akan membawa bungkusan 'oleh-oleh' untuk orang tua itu.

“Rokok mudah diakses oleh saya," imbasnya. "Saya tidak perlu membelinya sendiri pun."

Apabila berusia 29 tahun, isteri Encik Muchtar hamil anak pertama mereka, seorang bayi perempuan. Menyedari bahawa mereka akan menimbang cahaya mata tidak lama lagi - mentelah isterinya pula menghidap penyakit semput - menguatkan lanjut tekad Encik Muchtar untuk berhenti merokok.

"Saya akan berasa bersalah sekiranya kesihatan isteri atau anak saya semasa kehamilan terjejas disebabkan tabiat merokok saya," ujarnya. "Ia memberi saya motivasi dan dorongan untuk berhenti merokok."

Encik Muchtar pernah berusaha untuk membuang tabiat merokoknya itu sebanyak empat hingga lima kali sebelum ini, namun menemui jalan buntu. Akhirnya, dengan kelahiran bayi pasangan itu, beliau berjaya berhenti merokok sehingga kini apabila usianya 43 tahun.

Sekarang, anak perempuannya berumur 16 tahun dan Encik Muchtar juga dikurniakan dua anak lelaki, berusia sembilan dan lapan tahun.

BINA SISTEM SOKONGAN 'SAYA BERHENTI'

Meskipun anak-anak Encik Muchtar tidak pernah melihat bapa mereka merokok, isterinya sedar akan tabiatnya itu apabila mereka mendirikan rumahtangga. Beliau cuba untuk tidak merokok di hadapan isterinya kerana keadaannya yang menghidap asma, namun beliau tetap gagal untuk melawan ketagihannya terhadap nikotin. Beliau berhenti merokok hanya apabila jatuh sakit atau mengalami sakit dada tetapi akan menyambung semula tabiat itu sejurus selepas pulih.

Kebergantungan nikotin Encik Muchtar adalah yang biasa dialami kebanyakan perokok. Menurut ahli farmasi Guardian Marie Chen, nikotin daripada sedutan pertama perokok mengambil masa hanya tujuh saat untuk sampai ke otaknya, di mana ia melekat pada saraf penerima dan melepaskan bahan kimia yang menyenangkan bernama dopamin.

Isteri Encik Muchtar menyokong usaha beliau untuk berhenti merokok dengan menyediakan pencuci mulut sebagai pengganti kepada keinginannya untuk merokok selepas makan. Mereka akan menikmati aiskrim kegemarannya selepas makan. Jika tiada perisa itu, mereka akan mencari rasa yang seakan sama untuk mengalihkan tumpuannya.

Sokongan seumpama itu daripada orang tersayang adalah faktor penting untuk membantu perokok membuang tabiat mereka.

Cik Chen berkata: "Ia juga penting bagi perokok untuk menangani aspek tabiat merokok mereka yang lain seperti faktor-faktor psikologi, sosial atau tabiat untuk meningkatkan peluang berhenti merokok dengan jayanya. Misalnya, jika keadaan sosial atau emosi tertentu mencetuskan anda untuk mencapai sebatang rokok, mengenal pasti dan mengelakkan pencetus ini boleh memainkan peranan besar dalam usaha berhenti merokok dengan jayanya."

Sejak berhenti merokok, stamina Encik Muchtar juga bertambah baik. Jika dahulu beliau 'pancit' separuh jalan, kini beliau mampu bertahan dan bermain dalam perlawanan penuh bola sepak.

Walaupun beliau mengakui bahawa tekanan hidup - seperti daripada membesarkan anak-anak - boleh menjadi pencetus untuk ketagih nikotin, anak-anaknya masih menjadi dorongan paling kuat untuk tidak kembali kepada tabiat yang merugikan itu. Peranannya sebagi perunding berhenti merokok dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) juga banyak membantu dirinya melawan rasa ketagihan.

BANTU PEROKOK LAIN CARI MOTIVASI UNTUK BERHENTI

Bagi perokok yang terkial-kial dengan simptom pembuangan nikotin, Encik Muchtar mengesyorkan bantuan berhenti merokok seperti terapi penggantian nikotin (NRT). Kaedah ini memberikan tubuh jumlah dos nikotin yang kecil dan terkawal tanpa bahan-bahan kimia berbahaya lain yang didapati pada rokok.

Sesetengah perokok meraih manfaat daripada NRT, kata Cik Chen. "Kajian menunjukkan bahawa menggunakan NRT meningkatkan kadar pemberhentian merokok sebanyak 50 hingga 60 peratus. Bahkan, HPB mengesyorkan NRT seharusnya ditawarkan kepada semua pengguna tembakau yang cuba untuk berhenti merokok melainkan terdapat sebarang keadaan yang menandakan ketidaksesuaian terhadap suatu bentuk rawatan."

Perokok juga boleh memilih pelekat nikotin, yang menyediakan kesan panjang dengan dos nikotin terus diserap melalui kulit, atau gam nikotin dan lozeng yang bertindak lebih pantas serta boleh mengawal ketagihan singkat namun kuat sepanjang hari.

Selain menggunakan alat bantuan untuk berhenti merokok, Encik Muchtar mencadangkan para perokok mengambil bahagian dalam program 'I Quit' dan sentiasa mengambil kira kesan merokok terhadap orang tersayang mereka, sekalipun jika tidak merokok berdekatan dengan mereka.

"Walaupun perokok tidak menghisap rokok di tempat tertutup, orang di sekeliling mereka masih terdedah kepada asap rokok sebaik sahaja mereka pulang ke rumah.

Berhenti merokok bukan sahaja bermanfaat kepada perokok, ia memberi kemaslahatan kepada keluarga dan rakan-rakan mereka. Jika anda merokok, cari sebab untuk anda berhenti merokok sekarang. Jika anda tunggu ia datang kepada anda, mungkin sudah terlambat untuk kesihatan anda atau kesihatan orang tersayang anda," ungkap Encik Muchtar.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan