Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kedai bagel milik 4 anak Muslim ini tarikan terbaru F&B di CBD

Berikutan pelonggaran peraturan COVID-19, daerah pusat bandar (CBD) mengalu-alukan orang ramai yang kembali bertugas di pejabat dengan menawarkan sebuah cawangan makanan dan minuman (F&B) terkini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedai bagel milik 4 anak Muslim ini tarikan terbaru F&B di CBD

Beigelhaus dimilik bersama oleh empat veteran industri F&B (dari kiri) Mohd Sharizal, Mohd Shahrom, Diyana dan Dzul Iskandar. (Gambar: Aik Chen/8days.sg)

SINGAPURA: Berikutan pelonggaran peraturan COVID-19, daerah pusat bandar (CBD) mengalu-alukan orang ramai yang kembali bertugas di pejabat dengan menawarkan sebuah cawangan makanan dan minuman (F&B) terkini.

Beigelhaus - sebuah kedai menjual bagel, yang pemiliknya adalah Muslim, di Robinson Square - menawarkan menu tertumpu kepada roti titular berisi pelbagai jenis inti selain minuman kopi dan teh berkarbonat atau 'sparkling tea'.

beigelhaus drinks
Gambar: Aik Chen/8days.sg

Biarpun baru membuka pintunya sebulan lalu, kedai itu tidak lekang dari kunjungan pelanggan yang sanggup beratur panjang.

Bahkan jika anda terlambat, sesetengah menu pilihan popularnya seperti 'The Pink Loxy' - bagel berintikan kepingan salmon yang digaul keju krim (buatan sendiri) - sering kali kehabisan.

beigelhaus pink loxy
'The Pink Loxy'. (Gambar: Aik Chen/8days.sg)


Beigelhaus menawarkan dua jenis bagel - kosong dan bijan - untuk digandingkan dengan inti pilihan pelanggan.

Terdapat sekitar sembilan macam inti untuk dinikmati bersama bagel anda.

Pilih saja dari inti klasik seperti lox atau telur dan ham ayam belanda ataupun sapuan bukan manisan (lebih dikenali di New York sebagai 'schmears' yang disapukan pada bagel) seperti keju krim, hummus dan mentega kombu.

Meskipun kedai berkonsep santai itu hanya mampu menyediakan 12 tempat duduk, pelanggan yang singgah ke sana rencam latar belakang, meliputi baik orang Muslim mahupun bukan Muslim.

beigelhaus
Gambar: Aik Chen/8days.sg


Diberi sentuhan perindustrian, atur hias dalaman Beigelhaus luar biasa tetapi moden dengan dindingnya dicat hitam dan menu tertera pada papan kapur.

Pemilik bersama Diyana Zarki, 35 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa reka bentuk yang dipilih untuk Beigelhaus sebahagiannya dipengaruhi oleh kedai jirannya, KYO Kohee, iaitu sebuah kafe berkonsep minimal dengan hiasan dalaman yang kebanyakannya berwarna putih.

"Kami mahu ada perbandingan," ujar beliau.

beigelhaus
Gambar: Aik Chen/8days.sg


Memandangkan tempat duduk yang disediakan Beigelhaus terhad, Cik Diyana berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih unit bersebelahan kedai itu untuk menampung lebih ramai pelanggan.

Buat masa ini, kebanyakan pelanggan hanya membungkus makanan yang dipesan.

Mujur, semua bagel dibalut kemas dan cantik, lantas menjadikannya mudah untuk pelanggan menjamunya di mana saja.

'Orang Kuat' Beigelhaus terdiri daripada empat veteran industri F&B, termasuk seorang bekas ketua cef dan pengurus am restoran. Bahkan juga, dalam kalangan mereka adalah sepasang adik-beradik.

Beigelhaus terletak di #01-02 Robinson Square, 144 Robinson Rd, S068908.

Waktu operasi:
Isnin-Khamis dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang
Jumaat dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam
Sabtu dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan