Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Kecil kecil cili padi': Pereka fesyen muda Lina Osman hasilkan gaya pakaian beri 'impak yakin diri'

Anggaran Waktu Membaca:
'Kecil kecil cili padi': Pereka fesyen muda Lina Osman hasilkan gaya pakaian beri 'impak yakin diri'

Pereka fesyen Lina Osman dan rekaannya. (Gambar: Lina Osman)

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 jelas membawa pelbagai cabaran, tidak kira bagi peniaga berpengalaman mahupun yang baru.

Bagi pereka fesyen muda, Cik Lina Osman, 25 tahun, beliau terpaksa bertukar strategi dengan bijak dalam proses melancarkan perniagaannya apabila pandemik melanda.

Bahkan, apa yang sepatutnya menjadi rekaan fesyen bagi pakaian siap dipakai kini berubah menjadi jenama busana yang menggabungkan ciri-ciri warisan Melayu dengan rekaan moden dan kontemporari.

lina osman
(Gambar: Lina Osman)

Ikuti temubual santai Mediacorp bersama Cik Lina.

ANDA MEMINATI FESYEN SEJAK DARI KECIL?

Menurut ibu saya, saya gemar memilih pakaian saya sendiri sejak dari kecil. Saya juga jenis pelajar yang akan tergesa-gesa apabila membuat sesuatu dan bersengkang mata hanya untuk memberikan usaha 110 peratus dalam tugasan seni saya - bukan suatu contoh yang baik tetapi saya rasa ia menunjukkan betapa tinggi dedikasi saya dalam segala benda yang kreatif.

Saya memang mahu menjadi seorang anak seni sejak kecil, seseorang yang melukis dan menghasilkan kerja berkonsep. Namun kemudian saya sedar saya boleh melakukan perkara serupa dengan menggunakan fesyen sebagai satu wadah.

BILA YANG ANDA TAHU ANDA INGIN MENJADI SEORANG PEREKA FESYEN?

Ketika di sekolah rendah lagi, ada 'Be Yourself Day' atau 'Hari Menjadi Diri Sendiri' di mana semua orang akan datang ke sekolah dengan pakaian kerjaya pilihan kami. Saya memakai topi beret merah jambu, kemeja T merah jambu dan seluar jeans bersulam bunga. Saya memilih pakaian itu sendiri dan menggelarnya pakaian 'fashionista'.

Ketika itu saya berusia sekitar 10 tahun dan mungkin tidak begitu faham makna 'fashionista' tetapi saya tahu ada kena-mengena dengan pakaian dan rekaan. Saya yakin saya membuat keputusan untuk menjadi pereka fesyen pada masa itu.

BAGAIMANA SOKONGAN KELUARGA ANDA TERHADAP KERJAYA ANDA?

Menariknya, ibu saya pernah bercita-cita menjadi seorang tukang jahit ketika beliau masih kecil, tetapi beliau tidak mempunyai peluang untuk mempelajari fesyen pada masa itu. Beliau sentiasa menyokong kerjaya saya walaupun ia haluan yang luar dari kebiasaan.

KONGSIKAN LABEL FESYEN ANDA DENGAN KAMI...

LINAOTH adalah label pakaian untuk sesuatu acara. Setakat ini, saya hanya menerima tempahan khas tetapi saya sedang meluaskan ke cabang desain lain. Rekaan kami mempunyai gabungan antara 'siluet yang rapi' dan elemen romantis yang tidak dijangkakan.

Kami elak gunakan manik yang banyak terdapat dalam 'couture' tradisional dan digantikan dengan sentuhan bahan mewah dan tumpuan khas kepada perincian... Bagi LINAOTH Custom, ia memberi pengalaman ikhlas, mesra dan peribadi antara klien, pereka dan artisan.

rekaan lina osman
(Gambar: Lina Osman)

BAGAIMANA PANDEMIK MENJEJAS PERNIAGAAN ANDA?

Saya melancarkan koleksi siap dipakai untuk Hari Raya pada 2020 untuk menguji pasaran. Rancangan asalnya adalah untuk bekerja rapat dengan sepasukan kecil tukang jahit di Indonesia bagi menghasilkan pakaian siap dipakai musiman bagi tahun-tahun mendatang. Bagaimanapun, keadaan pandemik dan sekatan perjalanan menyebabkan rancangan itu tergendala, yang kemudian membuat saya menukar arah jenama saya.

APAKAH IMEJ PENAMPILAN PELANGGAN BAGI DESAIN ANDA?

Mesej yang ingin saya sampaikan dalam pakaian saya adalah untuk selalu mengimbangi keberanian dan kelembutan. Gaya berani bukan sahaja tentang menjadi atau kelihatan kuat, tetapi ia juga boleh mempunyai elemen kelembutan dan romantis.

Ada peribahasa 'kecil kecil cili padi'... Saya rasa itulah jenis individu bagi rekaan saya. Dia berkeyakinan dan berani tetapi tetap mempunyai kekuatan yang indah dalam kelembutannya, yang buatnya menyerlah.

lina osman design
(Gambar: Lina Osman)

SIAPA ATAU APA MEMBERI INSPIRASI KEPADA ANDA?

Apabila saya mereka pakaian, kebanyakan konsep datang secara semulajadi daripada perbualan saya dengan orang-orang tersayang, terutama sekali ibu saya. Saya juga mendapat isnpirasi daripada jenama-jenama yang saya gemar dan daripada pakaian milik saya sendiri.

Baru-baru ini, saya sangat menggemari pakaian vintaj dan yang terpakai di Carousell. Saya rasa ada beberapa pakaian yang dijahit tukang jahit tempatan dan ia memaparkan gaya dan fesyen tahun 80-an dan 90-an. Saya sangat terinspirasi pakaian unik dan gabungan fabrik yang berani.

ADAKAH ANDA RASA PENTING UNTUK MENCERMINKAN BUDAYA ANDA DALAM DESAIN ANDA?

Saya rasa ia penting tetapi ia bukan keutamaan. Sebenarnya ia bergantung kepada koleksi dan acara. Misalnya, bagi koleksi Hari Raya, saya selalu mengutamakan kesopanan dan mendapat inspirasi daripada pakaian tradisional seperti baju kurung dan kebaya dalam rekaan saya. Ini diluahkan dari segi pemilihan fabrik dan teknik membuat corak.

APA IMPIAN ANDA BAGI LINAOTH?

Impian bagi LINAOTH adalah untuk menjadi label pakaian untuk acara mewah. Di bawah label yang sama, saya meluaskan cabang bisnes, di mana para pelanggan boleh menempah rekaan saya bagi majlis perkahwinan, acara dan acara khas. Saya berharap dapat melancarkannya menjelang Februari atau Mac ini.

Saya juga ada rekaan yang dipengaruhi elemen Asia bagi koleksi siap dipakai seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya, yang diharapkan dapat dilancarkan menjelang Mac ini. Akhir sekali, LINAOTH Customisation akan kekal menjadi pilihan eksklusif di mana kemungkinannya tidak berpenghujung.

Saya ingin melihat jenama ini memasuki pasaran antarabangsa dan dijual di kedai berbilang label seperti Net-A-Porter. Saya rasa perjalanannya masih jauh tetapi harap-harap, satu hari nanti, saya akan mencapainya juga.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan