Kecemasan atau tidak? Bagaimana untuk tentukan bila anak anda perlu segera dibawa ke A&E
Setiap ibu bapa pasti pernah melalui saat mendebarkan apabila suhu badan anak mereka yang sedang demam melonjak secara mendadak atau mereka mengalami gejala yang luar biasa.

(Gambar: iStock/Pongtep Chithan)
Tetapi bagaimana ibu bapa dapat menentukan, sama ada anak itu hanya perlu dibawa ke klinik GP atau terus ke jabatan kecemasan kanak-kanak di hospital?

Khidmat kecemasan kanak-kanak menyediakan jagaan sepanjang masa bagi kanak-kanak dan belia yang mengalami keadaan yang mengancam nyawa dan keadaan kritikal, meskipun tidak semua kes yang ditangani benar-benar memerlukan rawatan kecemasan.
Di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak KKH, sekitar 15,000 kes ditangani dalam sebulan, tetapi satu daripada tiga kes sebenarnya adalah penyakit yang tidak memerlukan sebarang rawatan kecemasan.
Dari Januari hingga Mac 2025, sekitar 73 peratus kes di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak Hospital Universiti Nasional (NUH) bukan kes kecemasan.
Antara keadaan yang paling biasa dilihat adalah demam, jangkitan saluran pernafasan dan gasteoenteritis serta cedera ringan seperti terjatuh, terseliuh dan luka.
Keadaan sedemikian sering kali tidak dianggap kes kecemasan jika ia adalah cedera ringan, kata Dr Jasmine Ho, seorang konsultan di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak di Khoo Teck Puat - Institut Perubatan Kanak-kanak Universiti Nasional, NUH.
APA YANG DIANGGAP SATU KECEMASAN?

Menurut Dr Pandey, berikut adalah beberapa keadaan yang memerlukan rawatan di jabatan kecemasan kanak-kanak.
PENYAKIT:
- Sawan selama lebih tiga hingga lima minit
- Tidak sedarkan diri
- Kesukaran atau sesak nafas
- Tingkah laku luar biasa (sebagai contoh, keresahan berterusan, mengantuk, bercelaru)
- Tiada selera makan dan kurang buang air kecil
- Darah dalam najis atau muntah
- Demam setinggi 38 darjah Celsius atau lebih daripada itu pada bayi yang berusia kurang daripada tiga bulan
KEMALANGAN ATAU KECEDERAAN:
- Kemalangan serius seperti kemalangan jalan raya
- Terjatuh daripada tempat tinggi
- Hampir lemas
- Luka yang dalam
- Kecederaan pada kepala disertai dengan muntah, rasa mengantuk, kesan bengkak yang ketara pada kulit kepala
- Disyaki patah tulang atau anggota tubuhnya berbentuk luar biasa
- Sendi terkehel
- Disyaki makan racun atau ubat secara berlebihan
- Tertelan benda asing
"Secara amnya, kanak-kanak yang perlukan rawatan kecemasan mungkin kelihatan sangat lesu, resah, sukar bernafas atau mengalami dehidrasi.
"Jika mereka dapat bermain, tidur dan berselera untuk makan, besar kemungkinan keadaan mereka tidak kritikal," kata Dr Pandey.
APA YANG HARUS DILAKUKAN DALAM KEADAAN BUKAN KECEMASAN
Bagi gejala-gejala biasa seperti jangkitan saluran pernafasan, gejala gastroenteritis ringan, cedera ringan atau demam yang baru bermula, Dr Pandey menasihati ibu bapa atau penjaga supaya berjumpa dengan doktor GP di bawah program PaedsENGAGE.
Dilancarkan pada 2023 menerusi kerjasama KKH dan NUH, doktor-doktor GP dilatih untuk menangani masalah pediatrik akut yang biasa.
"Ia boleh menjadi tempat pertama anda mendapatkan rawatan bagi anak-anak anda yang kurang sihat atau untuk mendapatkan nasihat, jika keadaan mereka perlu dirujuk kepada Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak," kata Dr Ho.
Sementara itu, KK TelePaeds adalah khidmat telekonsultasi yang menawarkan penilaian dan rawatan perubatan bagi kanak-kanak berusia antara tiga dengan 13 tahun yang mengalami gejala ringan.
APABILA GEJALA BIASA MENJADI KES KECEMASAN

"Gejala-gejala ini sering kali dapat dirawat dengan selamat di rumah dan terutama sekali apabila ia berlaku pada waktu tengah malam," katanya.
Namun, terdapat beberapa pengecualian dan tanda-tanda yang perlu ibu bapa awasi.
Dapatkan rawatan perubatan di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak jika anak anda berusia bawah tiga bulan dan mengalami demam setinggi 38 darjah Celsius atau lebih tinggi, atau jika anak anda berasa amat resah seperti kerap menangis secara berterusan, lesu dan tidak ada selera makan atau jika kulitnya kelihatan pucat.
Ini kerana bayi berisiko tinggi mengalami jangkitan bakteria yang serius, jelas Dr Pandey.
Demam yang berlarutan lebih daripada lima hari juga perlu diperiksa bagi menentukan jika demam itu bertambah teruk disebabkan oleh jangkitan bakteria, katanya.
Demam yang mencecah suhu 41 darjah Celsius berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan serius.
Sungguhpun begitu, ketinggian suhu demam tidak selalunya terkait dengan tahap keterukan penyakit yang dialami oleh kanak-kanak itu, kata Dr Pandey.
Berhubung simptom gastroenteritis, Dr Ho berkata ia lebih membimbangkan jika kanak-kanak itu kerap muntah berbanding jika mereka kerap buang air.
Ini kerana kanak-kanak itu berisiko mengalami dehidrasi jika beliau kerap muntah.
Periksa air kencing anak-anak anda - mereka seharusnya membuang air kecil sekurang-kurangya tiga hingga empat kali dalam tempoh 24 jam.
Dr Ho juga menasihati supaya menunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas kanak-kanak itu muntah sebelum memberikan minuman kepada mereka.
"Jika kanak-kanak itu tidak dapat minum air selepas tiga percubaan dan mula kelihatan lesu, dapatkan nasihat perubatan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.