Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kecederaan serius ragut kerjayanya sebagai jururawat; pemilik NYO Studios ini hulur diskaun kepada petugas barisan hadapan

Sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti mereka dalam melawan COVID-19, kedai gunting rambut NYO Studios menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus khas buat para petugas barisan hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kecederaan serius ragut kerjayanya sebagai jururawat; pemilik NYO Studios ini hulur diskaun kepada petugas barisan hadapan

Aliff Azman aka 'CaptainsBarber' membuka kedai gunting NYO Studios awal bulan lalu. (Gambar-gambar: @captainsbarber;@nyo.studios/Instagram)

SINGAPURA: Sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti mereka dalam melawan COVID-19, kedai gunting rambut NYO Studios menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus khas buat para petugas barisan hadapan.

Para doktor, jururawat, kakitangan hospital mahupun pekerja pembersihan – sesiapa saja yang bertugas dalam sektor itu boleh menikmati khidmat gunting rambut yang bermutu pada harga antara S$20 hingga S$22.50 saja.

“Walaupun kerjanya susah, berisiko tinggi, Tuhan melihatnya. Teruskan kerja murni anda. Anda jaga orang sakit, insya Allah kami pula jaga anda,” kata pemilik NYO Studios, Nur Aliff Azman.

FAHAM BEBAN, TANGGUNGJAWAB JURURAWAT

Individu berusia 33 tahun itu amat memahami cabaran-cabaran yang ditempuhi para petugas jagaan kesihatan memandangkan beliau sendiri pernah berkhidmat sebagai seorang jururawat sebelum ini.

Sepanjang 11 tahun, Aliff bertanggungjawab menjaga para pesakit di jabatan penyakit jantung di sebuah hospital tempatan.

Pengalaman sebagai jururawat banyak membentuk Aliff kongsi beliau.

“Saya nampak bermacam-macam pesakit – setiap orang dengan keluhan masing-masing. Ada yang ramai anak tetapi dalam dua hari, tiga hari itu tidak ada seorang pun datang menjenguk. Ada pula yang nampak sihat tetapi suatu hari, sudah ajalnya, dia pergi,” cerita anak muda itu.

Naluri mengambil berat tentang orang lain memang tebal dalam diri Aliff bahkan ia semakin menyerlah semasa menjalankan tugas sebagai seorang jururawat.

Malah, disebabkan terlalu prihatin tentang nasib pesakit dan keluarga mereka, emosi beliau sendiri turut terjejas terutama apabila mereka meninggal dunia.

“Saya bawa pulang ke rumah. Tidak mahu makan. Hanya mahu terus tidur. Saya terfikir macam mana nanti keluarga pesakit? Adakah saya gagal melakukan yang terbaik?,” kongsi anak sulung dua beradik itu. 

Aliff pernah mendapat peluang berkhidmat sebagai pegawai perubatan rombongan Haji Singapura beberapa tahun lalu.

Aliff menggunting rambut sebagai hobi pada masa lapangnya. Menurut beliau, ia sebagai terapi yang mengalihkan perhatiannya kepada perkara-perkara lain.

Awalnya, tukang gunting rambut itu setakat berjinak-jinak menimba ilmu daripada para pakar tempatan tetapi kemudian mengasah bakat di luar negara termasuk di Rusia, London dan Itali.

Aliff diundang bersama beberapa tukang gunting lain dari seluruh Asia Tenggara ke acara ANDIS Relaunch and Restyle 2019. 

Lama-kelamaan, Aliff yang turut dikenali sebagai ‘Captains Barber’, berjaya menempah nama di persada dunia melalui pelbagai undangan untuk berkongsi pengalaman dan mengajar di beberapa sidang antarabangsa.

TERPAKSA BERHENTI BERKHIDMAT

Meskipun cemerlang dalam kedua-dua bidang, beliau akhirnya terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai seorang jururawat selepas mengalami kecederaan teruk menyusuli satu kemalangan motosikal pada 2017.

“Ligamen tangan saya putus dan saya harus melalui banyak pembedahan. Berkali-kali. Saya menjalani pembedahan pertama, terapi untuk enam bulan tetapi tetap gagal. Ada saja masalah dengan tangan saya,” kata Aliff.

Disebabkan oleh kecederaan itu, beliau tidak lagi boleh menjalankan tugas sebagai seorang jururawat dengan sempurna. Tugas biasa seperti mengalihkan pesakit atau melakukan CPR sangat sukar baginya kerana berat maksimum yang boleh ditampung oleh tangan yang cedera hanya setakat 4kg saja.

Proses pemulihan Aliff mengambil masa lebih dua tahun dan memerlukan sebanyak empat pembedahan selain fisioterapi.

“Ia membuat saya tersentak. Tetapi ia bukan satu penghalang. Tangan saya ini masih boleh berfungsi. Saya boleh melakukan kerja lain. Oleh itu, saya ceburi (sepenuhnya) industri (gunting rambut) ini,” tambah beliau penuh bersemangat.

NYO Studios baru ditubuhkan awal bulan ini berkat simpanan dan pengalamannya menggunting rambut.

Terletak di 755 North Bridge Road, tingkat dua kedai gunting rambut itu dikhususkan untuk kaum lelaki, manakala tingkat tiga pula dikhaskan bagi kaum hawa dengan para tukang gunting rambut wanita menyediakan pelbagai khidmat dandanan rambut.

Khidmat gunting rambut khususnya ditawarkan pada separuh harga buat para petugas jagaan kesihatan sehingga 30 September ini.

TABIK WIRA KESIHATAN

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang sudah lebih setahun mencengkam dunia, mereka dalam sektor jagaan kesihatan banyak berkorban masa dan tenaga demi kemaslahatan orang ramai.

“Ada masanya ia amat menekan sehingga pada waktu rehat, mereka ke kamar mandi, kunci pintu dan menangis. Sebelum waktu rehat berakhir, mereka mengelap titisan air mata, keluar dan bekerja seperti biasa,” kongsi Aliff tentang rakan-rakan seperjuangan beliau yang masih bertugas di hospital.

Walau bagaimanapun, beliau “tabik” semangat mereka yang terus menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab meskipun tanggungjawab yang digalas amat berat.

Pemilik kedai gunting rambut NYO Studios itu berharap inisiatif beliau sepasukan untuk memberi diskaun kepada para petugas jagaan kesihatan akan menaikkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan melawan 'virus ghaib' ini.

Penting bagi Aliff untuk menerapkan nilai-nilai yang berpegang teguh dan bersandar kepada pendirian “memberi dahulu sebelum menerima” dalam kalangan tukang gunting kedai miliknya itu.

Malah, ia juga seiring dengan cogan kata NYO Studios:

“Anda masuk kedai sebagai pelanggan tetapi anda pulang sebagai seorang teman”.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan