Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kebun herba Melayu di kejiranan Tampines

Jika daun pandan, serai dan tongkat ali lazim didengar, bagaimana pula dengan mas cotek, misai kucing dan mahkota dewa? BERITAmediacorp menemui kebun herba Melayu itu apabila jelajah ke kejiranan Tampines.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika daun pandan, serai dan tongkat ali lazim didengar, bagaimana pula dengan mas cotek, misai kucing dan mahkota dewa?

BERITAmediacorp menemui kebun herba Melayu itu apabila jelajah ke kejiranan Tampines.

Melihat hasil tanaman di tengah-tengah blok flat di estet Tampines Starlight, sememangnya mengagumkan. Mana tidaknya berkebun memerlukan minat dan masa untuk memastikan tanaman tumbuh subur.

Menyiram pagi dan petang, menggemburkan tanah dan membuang ulat dilakukan Encik Ismail Suratman dan Encik Zuhir Taib sejak 12 tahun lalu bersama kumpulan relawan kebun masyarakat di Tampines tersebut.

"Kita masuk ke kebun, kita rasa tenang yang membawa ke jiwa kita. Bila kita rasa tenang, kita dapat fokus, dan berkebun adalah satu kegiatan jasmani yang menyihatkan badan," kata Encik Ismail.

Encik Zuhir, yang diajak berkebun oleh temannya itu juga akur keadaan kesihatan beliau bertambah baik sejak mengamalkan gaya hidup sihat menggunakan hasil tanaman yang dipetik dari kebun tersebut.

"Dulu saya ada sakit seperti darah tinggi, kolesterol. Sejak diperkenalkan untuk berkebun, saya ambil herba-herba seperti minum air rebusan serai setiap pagi, dicampur misai kucing. Saya rasa lebih bertenaga,"katanya.

100 JENIS TANAMAN DI KEBUN SELUAS 180 METER PERSEGI

Kebun Masyarakat Harmoni di Tampines Starlight itu adalah salah satu daripada lebih 1,500 kebun masyarakat di merata Singapura di bawah program Community in Bloom.
Dikendalikan Lembaga Taman Negara (NParks) sejak 2005, program itu mahu memupuk minat kegiatan bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 100 jenis tanaman terdapat di kebun seluas 180 meter persegi di Tampines itu.

Berkat tangan ‘sejuk’ dan penjagaan rapi Encik Ismail dan Encik Zubir, herba-herba Melayu di taman berkenaan hidup subur dan membesar dengan jayanya.

Atas keunikan kebun berkenaan yang banyak menanam herba tradisional seperti yang digunakan nenek moyang ratusan tahun lalu, kebun itu mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk Anugerah Platinum, Reka Bentuk Inovatif dan Juara Piala Pasukan Pekebun Singapura.

"Tujuan kebun ini untuk memperkenalkanherba Melayu kepada generasi muda supaya mereka dapat memegang, melihat dan menghidu jenis-jenis tanaman ini," kata Encik Ismail.

Bahkan semasa pasukan BERITA berkunjung ke sana Encik Zuhir sempat menyajikan kerabu dengan ulam dan herba yang dipetik dari kebun tersebut.

Kongsi bersama BERITA, tempat-tempat, kegiatan dan personaliti unik dan menarik.

BERITA jelajah akan turun ke kejiranan anda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan