Skip to main content

Gaya Hidup

"Kebon Dapor" subur dengan tanaman masakan Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Sep 2023 06:09PM Dikemas Kini : 03 Dec 2023 05:37PM

SINGAPURA: Melangkah masuk ke dalam rumah hijau milik Raja Mohd Fairuz, 44 tahun, ibarat memasuki sebuah kawasan kebun di kampung.

Rumah hijau Encik Raja yang diberi nama Kebon Dapor terletak dalam kebun dalam bandar, City Sprouts di kawasan Punggol.

Related article image
Gambar: Fatyn Afiqah

Ia dipenuhi dengan berbagai-bagai jenis tumbuhan yang digunakan dalam masakan tradisional Melayu.

Terdapat juga reban ayam dan lubang pasir untuk kanak-kanak bermain.

Related article image
Gambar: Fatyn Afiqah
Bukan itu sahaja, bahagian belakang rumah hijau itu turut dihiasi dengan helaian kain batik dan dilengkapi dengan kerusi dan meja kayu yang serupa dengan sebuah rumah kampung Melayu.

“Kami terapkan unsur-unsur warisan Melayu jadi sesiapa yang mengunjungi kebun kami boleh merasai suasana kampung. Kami mahu tempat ini menjadi sesuatu yang kami sendiri boleh meneroka dan mencari warisan kami,” kata Encik Raja.
 
Related article image
Gambar: Fatyn Afiqah
Encik Raja mula menanam pokok hiasan di flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sejak 2015 dan berminat untuk menanam tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan.

Beliau mengusahakan Kebon Dapur empat bulan lalu selepas mendapat tawaran untuk menyewa sebuah tapak di City Sprouts.

“Minat dan semangat untuk teruskan kegiatan ini sangat meningkat jadi saya teruskan dan mempelajari tentang tumbuh-tumbuhan. Dari situ saya cuba untuk tanam tumbuhan yang boleh dimakan.”

Antara tanamannya setakat ini adalah ulam raja, cili padi, limau, daun kari, daun laksa selain herba yang biasa digunakan dalam masakan Melayu.
Related article image
Gambar: Fatyn Afiqah
Dengan mengambil projek sebesar itu, Raja menghadapi beberapa cabaran dalam menguruskan rumah hijau.

“Oleh kerana kita masih baru. Terdapat banyak yang kita tidak tahu. Selalunya kami percubaan dan mengalami kesilapan,” kata beliau.

Tambahnya, semangat kampung semarak di City Sprouts.

Menurutnya, para penyewa lain tidak lokek berkongsi ilmu atau menawarkan bahan untuk membina rumah hijau itu.

“Semangat bermasyarakat di sini kuat. Mereka tidak lokek bahan, tidak lokek idea dan ilmu. Semangat bergotong-royong.”

Sebagai pensyarah seni bina, Raja sering mengunjungi kawasan pedalaman Indonesia bersama pelajarnya untuk membantu membina sekolah di sana.

“Di tempat sebegitu, untuk membuang sampah agak susah. Mungkin mereka akan membakarnya atau membuang di tepi sungai. Di situ boleh nampak kesannya dengan serta merta. Dengan air akan tercemar, kebun atau sawah akan tidak subur,” kongsi beliau.

Sebagai seorang pendidik, beliau merasakan perlu untuk menerapkan cara-cara untuk menjaga kebun dengan lebih mampan seperti menghasilkan kompos sendiri.
Related article image
Gambar: Fatyn Afiqah
MENCARI WARISAN MELAYU KITA

Encik Raja turut mengambil kesempatan untuk mempelajari masakan tradisional Melayu.
“Kami tidak aktif mempelajari masakan-masakan Melayu. Saya rasa ini adalah satu peluang untuk saya mempelajari tentangnya. Jadi dengan kebun ini, boleh saya tumbuh tumbuhan yang boleh dimakan dalam makanan-makanan tradisional Melayu.”
Related article image
Gambar: Raja Mohd Fairuz
Beliau mengadakan ‘rumah terbuka’ setiap bulan di mana orang ramai boleh mempelajari membuat kuih serta memasak menggunakan tumbuh-tumbuhan dan herba yang biasa digunakan dalam masakan Melayu.

Sesi mencanting serta melukis batik turut diadakan.

“Kebun ini memberi peluang untuk sesiapa yang ingin belajar bagaimana untuk bercucuk tanam, masak, kita terbuka untuk sesiapa. Tanpa mengira bangsa jadi mereka boleh ke sini untuk bersembang dan berkongsi ilmu,” kata beliau.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita