Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

The Karting Arena buka litar ke-2 di Jurong; peluang hidupkan impian jadi pelumba kereta

Jika anda gemar kegiatan lasak yang merangsang adrenalin dan mahu mencuba sesuatu baru tatkala pandemik COVID-19 ini, litar perlumbaan baru The Karting Arena di Jurong mungkin destinasi seterusnya untuk dikunjungi. 

Anggaran Waktu Membaca:
The Karting Arena buka litar ke-2 di Jurong; peluang hidupkan impian jadi pelumba kereta

Cawangan The Karting Arena kedua di Jurong. (Gambar: Jasmine, Teo/The Karting Arena)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 01:45PM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 01:47PM

SINGAPURA: Jika anda gemar kegiatan lasak yang merangsang adrenalin dan mahu mencuba sesuatu baru tatkala pandemik COVID-19 ini, litar perlumbaan baru The Karting Arena di Jurong mungkin destinasi seterusnya untuk dikunjungi.

Terletak di sebuah kawasan perindustrian, litar go-kart di Jurong itu adalah yang kedua dibuka oleh The Karting Arena selepas cawangan pertamanya di Bukit Timah.

Ia menduduki kawasan seluas 153,000 kaki persegi dan menyediakan litar sepanjang 700 meter dengan 11 belokan teknikal - khas buat anda yang mendahagakan aksi gerun lagi mencabar. Landasan litar pula selebar sekurang-kurangnya 10 meter, bermakna peluang lebih baik untuk memintas rakan-rakan anda dengan selamat.

Berbeza dari cawangannya di Bukit Timah, yang mengendalikan go-kart elektrik, mesin laju yang disediakan di Jurong menggunakan petrol. Landasan litar juga dikepung sistem hadangan keselamatan serupa dengan yang digunakan dalam perlumbaan F1.

Cawangan The Karting Arena kedua di Jurong. (Gambar: Jasmine, Teo/The Karting Arena)

UNTUK PELUMBA BARU

Pelumba mestilah berusia sekurang-kurangnya sembilan tahun dan mempunyai ketinggian 140 sentimeter. Pengunjung yang ingin mencuba sesi berlumba go-kart 'novice fun' tidak perlu memiliki lesen memandu. Bagi sesi khas untuk pemandu baru go-kart ini, mereka boleh berlumba pada kelajuan sehingga 30 kilometer (km) sejam.

Harga: S$25 setiap sesi pada luar waktu sibuk (Selasa - Jumaat, 1.00 - 5.00 petang); S$35 pada waktu sibuk ( Selasa, Khamis, Jumaat, 5.00 petang - 9.00 malam)

UNTUK PELUMBA DEWASA

Bagi mereka berusia 18 tahun dan ke atas yang mahukan kelajuan lebih tinggi, mereka boleh memilih sesi bermain go-kart dewasa untuk berlumba sehingga 50km/j.

Bagaimanapun, pelumba mesti menunjukkan lesen pemandu yang sah sama ada yang dikeluarkan di Singapura atau mana-mana lesen memandu luar negara yang masih sah.

Harga: S$35 setiap sesi pada luar waktu sibuk; S$45 setiap sesi pada waktu sibuk

Setiap sesi memberikan anda masa perlumbaan 10 minit di litar iaitu kira-kira 10 hingga 12 pusingan. Matlamat permainan ini adalah untuk mencatat masa pusingan terpantas sewaktu slot masa tersebut. Semua pembayaran tidak termasuk yuran lesen perlumbaan berharga S$5 yang sah untuk setahun.

The Karting Arena terletak di kompleks berwarna-warni d’Arena, yang juga menempatkan kemudahan sukan lain serta kedai-kedai makanan. Anda boleh berjalan kaki dari stesen MRT Joo Koon yang mengambil masa kira-kira lapan minit untuk sampai ke sana. Jika anda memandu, ada banyak tempat meletak kenderaan tepat di hadapan bangunan itu.

Setibanya di sana, anda perlu ke kaunter pendaftaran The Karting Arena, di aras dua bangunan.

Anda digalakkan sampai di sana sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal dari slot masa yang diberikan supaya ada masa yang mencukupi untuk membuat pendaftaran.

Selesai mendaftarkan diri, anda akan dibawa menonton satu video taklimat keselamatan dan mencuba topi keledar sebelum turun ke kawasan pit. Kemudian, cari go-kart yang diperuntukkan untuk anda dan mulakan perlumbaan.

Selepas tamat sesi, anda boleh naik semula ke atas untuk melihat masa perlumbaan yang dicatatkan.

LANGKAH KESELAMATAN COVID-19

Landasan litar itu boleh menampung sehingga 30 go-kart bagi setiap sesi namun ia kini dihadkan kepada hanya 15 go-kart kerana sekatan COVID-19.

Berdasarkan garis panduan pengurusan selamat sedia ada, pelanggan boleh membuat tempahan dalam kumpulan sehingga lima orang.

Pelumba harus memakai pelitup pada setiap masa dan juga jaring rambut di bawah topi keledar yang menutupi seluruh muka.

Tembok pembasmian kuman UV yang direka bentuk dan dibina oleh kakitangan The Karting Arena sendiri. (Gambar: Jasmine, Teo/The Karting Arena)

Setiap kali selepas dipakai, topi keledar akan dibasmi kuman selama 10 minit di tembok pembasmian UV yang direka bentuk dan dibina oleh kakitangan The Karting Arena sendiri.

Karting Arena Jurong terletak di 511 Upper Jurong Road, Blok B, Singapura 638366. Dibuka Selasa - Jumaat, 1.00 tengah hari - 9.00 malam; Sabtu-Ahad, 9.00 pagi - 9.00 malam (ditutup pada Isnin).  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan