Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kanak-kanak bantut “ikut keturunan”? Ini salah tanggapan - kajian

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: “Apa masalahnya kalau anak saya pendek sikit? Biasalah tu, anak orang Malaysia. Takkan nak tinggi macam anak Mat Saleh.”

Sering kita dengar ketinggian anak “ikut keturunan”. Inilah juga salah tanggapan yang biasa dicanang terutamanya dalam kalangan orang Asia - tidak mengapa kalau anak pendek sedikit, sudah begitu bakanya!

Namun, satu kajian yang dijalankan selama enam tahun menunjukkan sebaliknya. Rupa-rupanya, semua kanak-kanak di dunia mempunyai kemampuan mencapai ketinggian sama dalam lima tahun pertama kehidupan, tidak kira bangsa atau keturunan.

Ini bererti sehingga usia lima tahun, semua kanak-kanak serata dunia – tanpa mengira latar etnik atau genetik – mampu berdiri sama tinggi.

Kajian mendapati yang lebih utama ialah nutrisi cukup, persekitaran sihat dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Bagaimana pun, harus kita fahami bahawa masalah kanak-kanak bantut ini bukan sekadar kelihatan pendek berbanding rakan.

Kajian menunjukkan kanak-kanak bantut mengalami masalah kognitif serius hingga menjurus kepada keciciran akademik. Apabila dewasa, mereka didapati lebih sukar mendapat pekerjaan baik dan senang mendapat penyakit.

Mungkin ada yang membalas: “Jadi, apa masalahnya? Beri sahajalah nutrisi mencukupi sampai mereka jadi tinggi.”

Malangnya, ia tidak semudah itu.  

Jika masalah bantut tidak dikesan dan dibetulkan dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan (sejak dalam kandungan sehingga usia dua tahun), impaknya kekal seumur hidup, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Namun, untuk memahami betapa seriusnya implikasi ke atas negara dan rakyat Malaysia, kita perlu melihat nilai kerugian yang dialami negara akibat masalah bantut ini.  

KITA SEMUA TERKESAN  

Bantut (stunting) ialah apabila kanak-kanak pendek bagi umur mereka.

Tetapi, mengapa pula ketinggian seorang kanak-kanak menjadi masalah kepada yang lain?

Bantut adalah penanda ukur yang sering digunakan untuk mengesan masalah malnutrisi kronik dalam kalangan kanak-kanak. Selain pendek, malnutrisi kronik boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kesihatan sepanjang hidup.

Semua masalah ini akhirnya akan memberi kesan kepada sosioekonomi negara, sekali gus memberi impak kepada seluruh rakyat.

Pelbagai kajian menunjukkan kanak-kanak bantut mempunyai fungsi kognitif lemah dan mengalami kelewatan perkembangan. Mereka juga mengalami masalah pembelajaran terutama sekali dalam matematik, membaca dan pembangunan kosa kata reseptif, demikian menurut penyelidik Derek Kok dalam laporannya Stunting in Malaysia: Costs, Causes & Courses For Action.

Ini kerana kanak-kanak bantut gagal mendapat nutrisi secukupnya ketika tempoh kritikal 1,000 hari pertama kehidupan. Perkembangan otak dan tubuh badan amat sensitif terhadap gangguan nutrisi ketika tempoh ini.

Harus diingat, gangguan nutrisi tidak semestinya disebabkan kegagalan mendapatkan bekalan makanan sihat dan mencukupi.

Persekitaran kurang ideal seperti ketiadaan akses air bersih dan perkhidmatan kesihatan baik juga boleh menyebabkan ibu dan anak mudah kehilangan zat apabila terkena penyakit atau jangkitan.

Dapatan kajian juga menunjukkan apabila dewasa, individu bantut dibayar gaji 20 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak bantut, kata Kok kepada Bernama.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), 21.8 peratus kanak-kanak di Malaysia bantut.

Bayangkan generasi rakyat dewasa yang mana satu per lima daripadanya mengalami fungsi kognitif lemah sehingga menjejaskan kemampuan mereka mendapat pekerjaan dan pendapatan baik.

“Inilah mengapa masalah bantut beri impak serius pasaran kerja dan pembangunan ekonomi negara,” kata Kok yang juga penganalisis penyelidikan di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia dan The Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development.

Negara yang mengalami masalah bantut secara purata kerugian 7 peratus pendapatan per kapita, menurut satu kajian World Bank oleh Galasso and Wagstaff.

Kajian lain menunjukkan individu bantut mempunyai tahap imuniti yang rendah, jadi mereka lebih mudah mendapat jangkitan. Ketika dewasa pula, mereka cenderung menjadi obes, mendapat penyakit darah tinggi, kardiovaskular dan kencing manis.

Ini sudah tentu akan membebankan lagi sistem kesihatan awam negara.

Malah, kajian mendapati kesan bantut boleh diwarisi generasi berikutnya. Wanita yang bantut ketika kecil berisiko tinggi melahirkan anak bantut, menyebabkan masalah itu berulang-ulang.
 

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan