Skip to main content

Gaya Hidup

Kampung Lorong Buangkok bukti pelancongan nostalgia laris di tengah COVID-19

Di celah-celah bangunan pencakar langit di Singapura wujud Kampung Lorong Buangkok - satu-satunya kampung tradisional yang masih bertahan di negara bandar moden ini yang mempunyai 5.7 juta penduduk.

Anggaran Waktu Membaca:
Kampung Lorong Buangkok bukti pelancongan nostalgia laris di tengah COVID-19

Kampung Buangkok di Yio Chu Kang Road. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Oct 2020 12:08AM Dikemas Kini : 11 Oct 2020 12:11AM

SINGAPURA: Di celah-celah bangunan pencakar langit di Singapura wujud Kampung Lorong Buangkok - satu-satunya kampung tradisional yang masih bertahan di negara bandar moden ini yang mempunyai 5.7 juta penduduk.

Kampung itu mempunyai 26 rumah kayu satu setingkat, yang dahulunya lazim ditemukan di merata negara, kini menyaksikan ledakan jumlah pengunjung tempatan setelah sempadan ditutup kerana wabak virus korona.
Seperti ramai penduduk yang lainnya, Jenn Lee, 48, seorang peniaga, merasa gelisah apabila terpaksa terperuk dalam rumah dek COVID-19.

Ekoran gagasan pemerintah untuk menggalak penduduk setempat supaya menyokong pelancongan tempatan, Cik Lee memilih untuk mengenalkan secebis sejarah silam Singapura kepada anaknya dengan membawa beliau melihat rupa sebuah kampung di sini.

"Saya rasa ada baiknya dia tahu bahawa ada kampung seperti ini di sini, bukan hanya di luar negeri seperti Malaysia, atau Thailand, atau Filipina," kata Cik Lee.

Kempen menyokong pelancongan tempatan, termasuk pengagihan baucar kepada warga Singapura bagi percutian dalam negeri, atau 'staycation'.

Para pengendali lawatan berkata terdapat banyak daya tarikan dalam negeri yang masih boleh diteroka di negara kecil ini.

Encik Kyanta Yap, seorang pemandu pelancong di Let's Go Tour: Singapore, berkata lawatan hujung minggu kendaliannya ke Kampung Lorong Buangkok, hampir laris ditempah sejak September. Ia berharga S$200 bagi kumpulan sehingga tiga orang, atau S$250 untuk kumpulan empat orang.

"Kami cuba untuk mencipta semula, jadi sebahagian besar industri ini berusaha adakan pakej pelancongan domestik," kata Encik Yap.

Para pengunjung berpeluang bersiar-siar di sekitar kawasan kampung itu, belajar bagaimana menggunakan seterika baju arang tradisional dan berbual dengan penduduk tentang tanaman di kebun mereka.

"Awalnya ... kami tidak rasa selesa, kerana pelancong datang dan melihat kami," kata Encik Nassim, seorang penduduk 52 tahun, yang kini berbesar hati membawa pengunjung melihat-lihat halaman rumahnya.

Kampung itu juga menawarkan antara harga sewa terendah di Singapura. Seorang pemilik hartanah berkata beberapa bilik di kampung itu berharga hanya S$6.50 sebulan.

Purata harga sewa bagi flat tiga bilik di Hougang, di mana terletaknya kampung itu ialah S$1,650 pada awal tahun ini. Harga sewa sebuah bilik pula sekitar S$500, menurut beberapa laman web. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita