‘Kami kumpulan Melayu’: Bagaimana tarian singa jadi minat sepanjang hayat lelaki ini
Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda apabila memikirkan tentang tarian singa?
Encik Jamsairi "Bobby" Kamaruddin, 44 tahun, pengasas kumpulan tarian singa Kuo Chuan Arts & Cultural, bergambar bersama kepala kostum singa di rumahnya pada 7 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
- Encik Jamsairi Kamaruddin mengasaskan Kuo Chuan Arts & Cultural, kumpulan tarian singa Melayu di Singapura, demi minat dan membina komuniti positif.
- Kumpulan ini menghadapi cabaran seperti penerimaan masyarakat, kekangan tempat latihan, dan persepsi budaya, namun terus berkembang dengan sokongan keluarga dan komuniti.
- Kepimpinan kini mula diserahkan kepada anaknya, Jashairie, yang mengurus latihan dan membawa kumpulan ke pentas lebih besar.
- Kumpulan aktif menyertai pertandingan, persembahan pelbagai acara, dan mendapat sokongan masyarakat, membuktikan perubahan persepsi terhadap tarian singa Melayu.
Bagi ramai rakyat Singapura, mungkin bunyinya – dentingan simbal yang kuat dan paluan gendang yang rancak, bahkan sebelum terbayang kostum berwarna-warni dan aksi-aksi yang mendebarkan.
Justeru, ia agak luar biasa untuk menyaksikan buat pertama kali tarian singa dipersembahkan dalam suasana hampir senyap pada suatu petang Isnin yang tenang.
Di sebuah ruang terbuka di kolong blok perumahan di Toa Payoh, dua penari yang mengenakan seluar berwarna merah dan putih bergerak mengikut satu rangkaian gerakan yang meniru aksi seekor singa menurunkan jambatan, sementara seorang lagi meniru bunyi paluan gendang dengan mulutnya.
Memerhatikan mereka dari tepi ialah Encik Jamsairi Kamaruddin, 44 tahun, yang lebih dikenali sebagai "Bobby" – nama panggilan yang diberikan neneknya sejak beliau masih bayi.
Beliau mengasaskan Kuo Chuan Arts & Cultural, sebuah kumpulan tarian singa dan naga yang majoriti anggotanya berbangsa Melayu, dengan kira-kira 20 anggota aktif terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak. Kehadiran kumpulan seperti itu agak jarang dalam seni persembahan yang lazimnya dikaitkan dengan masyarakat Cina dan dipersembahkan pada acara-acara khas seperti Tahun Baharu Cina serta pembukaan perniagaan.
Pada hari tersebut, sekumpulan kecil anggota kumpulan itu sedang berlatih secara senyap bagi satu pertandingan yang bakal berlangsung, prihatin agar tidak mengganggu para jiran.
Flat milik Encik Jamsairi di tingkat bawah menghadap terus ke ruang terbuka tersebut. Di pintu belakang rumahnya, dua gendang berwarna merah jambu terang disusun di atas sebuah gendang hitam dan emas yang dihiasi corak yang indah, bersebelahan sebuah kotak yang dipenuhi pelbagai kelengkapan berwarna-warni. Ia seolah-olah seluruh kumpulan tersebut melimpah keluar dari rumahnya.
Beliau masih mengingati tarian singa pertama yang pernah disaksikannya.
Lebih 30 tahun lalu, ketika berusia lapan tahun, beliau akan berjalan melewati Kelab Budak Lelaki Polis Kuo Chuan (Kuo Chuan Police Boys Club) berhampiran rumahnya setiap hari. Perhatiannya sering terpaku pada para penari singa yang berlatih dan melakukan pelbagai aksi di sana.
Tidak lama kemudian, beliau menyertai mereka. Namun, sambutan yang diterimanya jauh daripada mesra.
"Saya paling kecil, saya satu-satunya orang Melayu di situ. Jadi (saya) dibuli dan sebagainya," kenangkan kembali waktu dulu.
Namun ketika itu, minatnya terhadap tarian singa sudah pun berputik.
Meskipun menyedari dirinya berbeza daripada yang lain, beliau semakin mencintai aksi akrobatik yang diiringi bunyi simbal, gong dan gendang itu.
Apa yang paling menarik perhatiannya ialah unsur penceritaan, serta bagaimana kepala singa yang digunakan seolah-olah boleh menjadi hidup di tangan seorang penari.
"Saya suka melihat matanya bergerak-gerak. Sangat comel.
"Saya tertanya-tanya. Apabila singa itu tiba-tiba melompat dan ada buah oren ... bagaimana singa tersebut boleh melakukan semua itu?"
Semasa kecil, Encik Jamsairi kurang berminat terhadap pelajaran. Kelayakan akademik tertinggi yang diraihnya ialah sijil Nasional Institut Pendidikan Teknikal (ITE), yang diperolehnya "demi (ibunya)".
Selepas sekolah, beliau akan bergegas pulang untuk berlatih di kolong flatnya di sekitar Lorong 2 Toa Payoh.
"Saya akan ... bermain tarian singa sehingga 8.00 malam – sehingga ibu (atau) bapa saya menjerit dari tingkap, 'Bobby, balik rumah'."
Ibunya pernah berharap agar beliau menceburi sesuatu yang lebih dekat dengan budayanya sendiri.
"Dia minta saya belajar silat, kompang ... Saya beritahu dia, 'Minat saya tarian singa, jangan bazirkan duit hantar saya ke semua kelas ini'."
Apabila Kelab Budak Lelaki Polis Kuo Chuan ditutup semasa beliau masih remaja, Encik Jamsairi menyertai beberapa kumpulan lain. Sebaik sahaja berusia 18 tahun, beliau menubuhkan kumpulannya sendiri dan mendaftarkannya sebagai sebuah syarikat.
Beliau menamakannya Kuo Chuan Arts & Cultural, sempena kelab yang mula-mula mencetuskan minatnya terhadap tarian singa. Kumpulan tersebut bermula dengan kira-kira 10 anggota, yang kesemuanya merupakan rakan zaman kanak-kanak Encik Jamsairi.
Namun, permulaan kumpulan Encik Jamsairi bukanlah sesuatu yang mudah. Selepas membayar kos sewa lori, kostum dan alat muzik, mereka sering tidak mempunyai baki untuk dibawa pulang sebagai gaji.
Bagi menampung kehidupan, Encik Jamsairi bekerja sebagai cef di sebuah dapur katering dan melakukan pelbagai kerja sambilan. Pada masa yang sama, beliau berdepan dengan kontroversi berhubung komposisi kumpulannya.
"Seorang lelaki Melayu mahu menceburi sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat Cina – ada orang yang tidak memberikan sokongan sepenuhnya kepada kami. Saya perlu perlahan-lahan membina kepercayaan orang terhadap pasukan saya."
Kecaman turut datang daripada masyarakat Melayu sendiri, dengan sesetengah pihak menganggap bahawa persembahan tarian singa seolah-olah sama seperti menyembah dewa-dewa Cina.
"Saya beri mereka penjelasan, (memberitahu mereka) bahawa gendang itu bukan diperbuat daripada kulit babi dan saya tidak pernah terlibat dalam sebarang upacara keagamaan," kata Encik Jamsairi.
"Bagi saya, tarian singa ialah satu sukan. Ia satu bentuk hiburan."
Mencari tempat untuk berlatih merupakan satu lagi cabaran.
Walaupun selepas mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa, masih ada yang menghubungi polis kerana bimbang tentang bunyi bising dan kerosakan. Ada yang mengadu bahawa kumpulan tersebut "merosakkan" rumput di antara blok-blok perumahan awam, meskipun mereka menggunakan kanvas untuk melindungi rumput di kawasan terbuka tersebut.
Dengan pilihan tempat latihan yang terhad, kumpulan tersebut biasanya menjalani sesi latihan "senyap" di sekitar Toa Payoh. Untuk berlatih dengan iringan alat muzik sepenuhnya, para anggotanya akan pergi ke tempat letak kereta yang terpencil di kawasan-kawasan perindustrian selepas waktu pejabat.
Sebagai bapa kepada 10 anak berusia antara tiga hingga 26 tahun, Encik Jamsairi sering dipandu oleh naluri kebapaannya.
Sepanjang temu bual, beliau tidak banyak bercakap tentang dirinya sendiri. Sebaliknya, perhatiannya sering beralih kepada keprihatinannya terhadap kumpulan tersebut dan para anggotanya, yang berusia antara tiga tahun hingga awal 40-an.
"Apabila mereka pulang dari sekolah, lebih baik mereka berkumpul di kelab (daripada merayau) ke sana sini ... Daripada merokok, menggunakan vape atau (melepak) di bawah blok, lebih baik mereka bersenam, habiskan latihan dan kemudian tidur."
Ramai anggota kumpulan itu kini menyertainya selepas ibu bapa mereka meminta Encik Jamsairi untuk menerima anak-anak mereka. Ada yang merupakan jirannya, manakala beberapa yang lain mengetahui tentang kumpulan tersebut melalui buah mulut sebelum menghubunginya.
Permintaan seperti itu tidak mengejutkan Encik Jamsairi. Beliau tahu sukan itu menyediakan wadah yang baik untuk membentuk golongan muda. Mereka mempelajari perkara-perkara kecil – seperti memastikan baju dimasukkan ke dalam seluar ketika membuat persembahan – hinggalah nilai-nilai lebih besar seperti kerja berpasukan dan disiplin.
"Katakan semua orang datang pada pukul tujuh. Kalau kamu datang pukul lapan, itu tidak adil, bukan? Semua orang membuang masa menunggu kamu."
Meskipun beliau mengendalikan kumpulan tersebut dengan disiplin yang ketat, menyertainya bukan jaminan bahawa kanak-kanak akan "100 peratus terhindar daripada masalah", kata beliau.
Pernah sekali, seorang anggota memberitahu kumpulan tersebut bahawa dia tidak dapat menghadiri latihan kerana perlu mengikuti kelas tuisyen. Namun, Encik Jamsairi kemudian mendapat tahu daripada ibu kanak-kanak lelaki itu bahawa dia tidak mempunyai kelas sedemikian.
Namun begitu, Encik Jamsairi sedaya upaya cuba untuk memahami terlebih dahulu sebab sesetengah anggota tidak hadir untuk berlatih.
"Kami cuba memahami apa masalahnya. Kenapa kamu tidak datang? Kami akan bercakap dengan ibu kamu. Kalau kamu kekurangan wang, kami akan bayarkan tambang Grab untuk kamu datang berlatih."
Malah selepas meninggalkan kumpulan tersebut, ramai bekas anggota masih mengingati Encik Jamsairi sebagai "bapa kedua" mereka – termasuk Encik Hafizuddin Jaffar.
Ketika Encik Hafiz mula menyertai kumpulan itu pada 2014 pada usia 24 tahun, beliau sedang berdepan dengan masalah kesihatan mental, namun menemukan ketenangan dalam komuniti Kuo Chuan Arts & Cultural.
"Walaupun selepas berjam-jam menjalani latihan, Bobby akan menelefon dan bertanya khabar saya, 'Awak okey?'"
Beliau juga tersentuh dengan keprihatinan Encik Jamsairi terhadap para anggota kumpulannya.
"Ada anggota pasukan yang keluar masuk penjara, tetapi Bobby sentiasa bersama mereka dan menasihati mereka supaya menjauhi masalah. Ada juga anggota pasukan yang menghadapi masalah kewangan, dan Bobby sentiasa memberikan sokongan moral dan kewangan."
Encik Hafiz, yang kini bekerja sebagai tukang gunting rambut, meninggalkan kumpulan itu semasa pandemik COVID-19, namun sering kembali untuk menyaksikan persembahan mereka.
Pada Julai, beliau menyertai semula kumpulan tersebut selepas melihat anak Encik Jamsairi membesar daripada seorang remaja sehingga menjadi salah seorang pemimpin kumpulan tersebut.
"Saya perlu mengikut rentak anggota yang lebih muda, membiasakan diri dengan lagu-lagu baharu dan rentak mereka," kata beliau sambil ketawa.
"Tetapi ia masih sangat mengujakan bagi saya kerana saya memang meminatinya – sama seperti Bobby."
Lebih daripada segala-galanya, keutamaan utama Encik Jamsairi ialah keselamatan anggota kumpulannya.
Walaupun sudah bertahun-tahun berkecimpung dalam tarian singa, beliau masih berasa cemas ketika menyaksikan persembahan di atas tiang tinggi – satu variasi akrobatik tarian singa yang menyaksikan para penari melompat dan mengimbangi badan di atas tiang keluli yang sempit dengan ketinggian sehingga 2.5 meter.
Beliau sendiri pernah mengalami kecederaan – termasuk ditendang di bahagian muka oleh rakan sepasukannya ketika membuat persembahan sehingga matanya bengkak. Justeru, beliau sedar bahawa kemalangan masih boleh berlaku walaupun selepas berjam-jam berlatih, di samping pemeriksaan keselamatan yang ketat.
"Saya cuma tidak mahu mereka terjatuh. Saya masih rasa gementar. Apabila gendang berbunyi 'tok tok', jantung saya rasa macam hendak (terkeluar)."
Malah ketika kumpulannya bertanding, ada kalanya beliau akan mengalihkan pandangan daripada aksi-aksi tertentu sehingga para penarinya berjaya mendarat dengan selamat.
Dua daripada anak Encik Jamsairi masih aktif membuat persembahan bersama kumpulan tersebut, namun beliau mengambil berat tentang keselamatan semua anggotanya.
"Sesiapa sahaja yang berada dalam kelab saya, saya anggap sebagai keluarga. Saya tidak mahu seorang pun daripada ahli keluarga saya cedera."
MENYERAHKAN TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN
Semasa temu bual dijalankan di ruang tamu rumah Encik Jamsairi, semua yang terlibat duduk di ruang yang agak sempit. Menurut Encik Jamsairi, jika mereka tidak berada di situ, ruang yang kecil itu juga mungkin sudah dipenuhi peralatan tarian singa.
"Kalau saya buka (pintu) bilik saya, anda pasti terkejut. Saya ada sekitar 40 hingga 50 kepala singa (di dalamnya)."
Bahagian lain flat dua bilik itu hanya mempunyai sedikit perabot. Sehingga baru-baru ini, rumah tersebut malah tidak mempunyai televisyen – namun anak-anak Encik Jamsairi tidak mempedulikan perkara tersebut.
Daripada menonton Netflix atau rancangan realiti, mereka lebih gemar menonton video-video tarian singa menerusi peranti masing-masing.
Seorang anak lelakinya, Jashairie, yang lebih dikenali sebagai Ayie, mula mengambil alih peranan dalam memimpin kumpulan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pemuda berusia 22 tahun itu mengendalikan latihan dan koreografi, malah menempah kostum khas untuk kumpulan tersebut dari China.
"Dia kini watak utama," kata Encik Jamsairi dengan penuh rasa bangga.
Dalam sesi latihan yang disaksikan, Encik Jashairie berulang kali melatih dua anggota untuk melakukan satu rangkaian gerakan sukar yang melibatkan dua bangku kayu. Beliau memberikan arahan tegas berhubung masa, gerakan kaki dan pergerakan tepat kepala singa.
Selepas beberapa percubaan yang tidak berjaya, Encik Jashairie dan abangnya tampil menunjukkan cara untuk melakukan gerakan tersebut. Mereka melakukannya dengan sempurna pada percubaan pertama.
Membesar bersama kumpulan tersebut sejak berusia empat tahun, tarian singa "sangat dekat" di hati Encik Jashairie. Namun, mempelajari cara menguruskan aspek perniagaan kumpulan tersebut turut membuka matanya kepada pelbagai perkara baharu.
Beliau bangga dengan pencapaian bapanya. Pada masa yang sama, beliau berharap untuk bertanding di pentas yang lebih besar dan memberi tumpuan kepada pembentukan budaya pasukan yang kukuh.
"Mengambil alih merupakan satu tanggungjawab besar ... Saya memang mahu meneruskan legasi tarian singa ini, tetapi bukan dengan mengikut sepenuhnya jejak (bapa saya). Saya berharap dapat membawa kumpulan ini lebih jauh."
NGAUMAN TERUS BERGEMA
Melihat anaknya mengambil alih tampuk kepimpinan tidak bermakna Encik Jamsairi semakin kurang terlibat.
Kini, beliau menyerahkan sebahagian besar urusan latihan dan koreografi kepada anaknya, sementara beliau menguruskan kerja-kerja di belakang tabir – berurusan dengan para pelanggan, mengatur pengangkutan dan menyusun jadual persembahan.
Ada pelanggan yang menghubungi Encik Jamsairi setiap Tahun Baharu Cina sejak lebih 15 tahun lalu.
"'Mati-mati' mesti pergi rumah mereka," kata beliau sambil ketawa.
Pada tahun-tahun yang baik, pendapatan sepanjang musim Tahun Baharu Cina sahaja mampu menampung perbelanjaan kumpulan tersebut bagi sepanjang tahun.
Sepanjang tahun pula, mereka sibuk menyertai pertandingan dan memenuhi tempahan persembahan, termasuk bagi acara pembukaan perniagaan.
Sejak kebelakangan ini, mereka turut diundang membuat persembahan di majlis perkahwinan Melayu, sambutan hari lahir dan acara Hari Raya. Bagi Encik Jamsairi, undangan sedemikian menunjukkan bahawa pandangan masyarakat semakin berubah.
Hari ini, masih ada pelanggan yang sekali-sekala menghubunginya dan hanya bertutur dalam bahasa Mandarin. Apabila itu berlaku, beliau biasanya meminta bantuan seorang rakan berbangsa Cina atau menggunakan aplikasi terjemahan untuk berkomunikasi menerusi mesej teks.
Beliau juga berterus terang dengan bakal pelanggan dengan bertanya: "Kami kumpulan Melayu, anda okey atau tidak?"
Lazimnya, jawapan yang diterimanya ialah: "Kami pernah tengok anda sebelum ini. Kami mahu cuba."
Namun, sudah tentu bukan semua orang dapat menerima apa yang dilakukannya.
"Sampai hari ini, masih ada orang yang berkata, 'Kenapa orang Melayu buat ini?' Tetapi kami tidak peduli kerana pada akhirnya, kalau pelanggan saya gembira, saya pun gembira."
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan tersebut mula menyertai pertandingan di China. Di sana, mereka menerima sambutan mesra yang tidak dijangka meskipun sebahagian besar anggotanya bukan berbangsa Cina.
"Kami (bercakap dengan pihak penganjur) macam ayam dengan itik, tetapi layanan mereka terhadap kami sangat baik. Mereka tahu kami tidak makan daging babi, jadi mereka akan sediakan seorang tukang masak khas untuk menyediakan makanan kami dan membeli peralatan memasak yang baharu. Kami malah mengajar mereka untuk memasak makanan Melayu."
Malah ibu Encik Jamsairi, yang pada mulanya bimbang apabila beliau memilih tarian singa sebagai kerjaya, akhirnya menerima pilihannya.
"Selepas sekian lama, dia nampak minat saya. Dia kata, 'Okey, suka hati kamu. Teruskan.'"
Pada waktu lapang, Encik Jamsairi turut bekerja sambilan sebagai hos siaran langsung di media sosial, sesuatu yang mula dilakukannya semasa pandemik COVID-19. Beliau diupah oleh perniagaan untuk mempromosikan pelbagai produk seperti kuih-muih Melayu, dan sesetengah siaran langsungnya pernah menarik sekitar 3,000 penonton secara serentak pada satu-satu masa.
Namun, antara siaran langsungnya yang paling popular adalah yang menampilkan kumpulan tarian singanya.
Baru-baru ini, para pengikut onlinenya malah berganding bahu untuk menaja pakaian pertandingan baharu bagi kumpulan tersebut.
Dengan sokongan padu para penyokong dan anggota kumpulan yang terus berkembang, Encik Jamsairi tidak sampai hati untuk meninggalkan tarian singa.
"Saya cuba berhenti," kata beliau sambil ketawa. "Saya tak mampu."
Walaupun sudah 36 tahun mengasah kemahirannya dan membina keluarga dalam kumpulan tersebut, masih banyak yang mahu dilakukan Encik Jamsairi.
Beliau kini tidak lagi banyak meluangkan masa di sebalik kepala singa, namun tetap komited untuk menyediakan pentas bagi generasi seterusnya menyerlah.
"Pasukan ini bukan milik saya," kata beliau.
"Kuo Chuan bukan milik saya. Ia milik semua orang dalam kelab tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.