Kallang Group lancar app baharu tawar diskaun, ganjaran dan peluang menangi The Kallang Pass
The Kallang, yang sebelum ini dikenali sebagai Hab Sukan Singapura, merupakan sebuah kawasan bersepadu yang menempatkan kemudahan sukan, hiburan dan gaya hidup di Singapura. (Gambar: The Kallang Group)
Dinamakan 'The Kallang App', aplikasi itu membolehkan pengguna menempah kemudahan, mencari acara dan aktiviti yang tersedia serta meneroka direktori pusat beli-belah di The Kallang.
Aplikasi tersebut turut menampilkan program pelanggan setia secara percuma yang dikenali sebagai 'The Kallang Kaki', yang menawarkan undangan ke acara, diskaun serta pelbagai kegiatan yang membolehkan para ahli memperoleh ganjaran tambahan.
Menerusi program itu juga, pengguna berpeluang memenangi 'The Kallang Pass', dengan seorang pemenang bakal menerima sepasang pas yang memberikan akses selama setahun ke semua acara di Stadium Negara dan Stadium Tertutup Singapura, termasuk konsert dengan tiket yang habis dijual serta acara sukan.
Ganjaran untuk para ahli akan dikemas kini secara berkala dan merangkumi barangan eksklusif, pek pelekat Telegram, galeri media dalam aplikasi serta tawaran istimewa di kedai makan dan minuman di Stadium Negara dan Stadium Tertutup Singapura.
Para ahli juga boleh menikmati promosi seperti tiket dengan potongan harga ke Kejohanan Tenis Terbuka Singapura, yang akan berlangsung di Arena OCBC dari 21 hingga 27 September. Tawaran itu sah sehingga 27 Julai.
Mulai akhir Julai, para pengguna aplikasi boleh menghantar kiriman kepada artis dan atlet kegemaran mereka, dengan mesej terpilih akan dipaparkan pada skrin besar di sekitar The Kallang.
Aplikasi itu juga akan menawarkan ganjaran bagi menggalakkan pengguna menyertai aktiviti kecergasan seperti gimnasium, berenang atau berkayak bersama rakan-rakan.
Aplikasi itu dilancarkan menyusuli penjenamaan semula Kallang Alive Sport Management kepada The Kallang Group pada November 2025, manakala Hab Sukan Singapura turut dinamakan semula sebagai The Kallang sebagai sebahagian daripada usaha mencerminkan warisan sukan kawasan tersebut.
Pelancaran aplikasi itu turut dibuat sedang kerja-kerja naik taraf masih dijalankan di seluruh kawasan The Kallang.
The Kallang App kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Pertubuhan itu turut mendedahkan bahawa lebih banyak ciri baharu dan manfaat keahlian akan diperkenalkan secara berperingkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.