Kajian dapati vape berperisa pudina lebih memudaratkan paru-paru
Kajian oleh Universiti Pittsburgh mendapati menghisap vape berperisa pudina boleh menyebabkan fungsi paru-paru menjadi lebih lemah berbanding perisa tanpa mentol.
(Gambar fail)
Demikian menurut laporan United Press International (UPI).
"Ramai orang, terutama belia, tersilap menganggap bahawa vape selamat sedangkan campuran vape tanpa nikotin pun mengandungi sebatian yang berpotensi merosakkan paru-paru.
"Hanya kerana sesuatu bahan itu selamat untuk dimakan, tidak bermakna ia selamat untuk disedut," kata pengarang kanan Kambez Benam, profesor bersekutu di Bahagian Pulmonari, Alergi dan Perubatan Kritikal di Sekolah Perubatan Universiti Pittsburgh.
Dalam kajian itu, penyelidik menggunakan sistem robotik untuk meniru manusia menghisap vape dan pernafasan manusia.
"Robot vaping" dapat meniru suhu, kelembapan, isipadu sedutan serta tempoh perokok sambil turut meniru corak pernafasan yang sihat dan berpenyakit sebagai tindak balas kepada tahap toksik paru-paru yang disebabkan oleh vape.
Para penyelidik mendapati cecair vape yang mengandungi mentol menghasilkan lebih banyak zarah mikro toksik dalam paru-paru berbanding tanpa mentol.
Di samping itu, kajian tersebut menganalisis rekod pesakit yang mengesahkan perbezaan fungsi paru-paru antara vape mentol dan bukan perokok mentol.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat terus menekankan kepada pengeluar rokok supaya menghentikan penggunaan mentol dalam produk tembakau mereka untuk menghalang orang ramai daripada menghisap vape dan mengelakkan kematian.
VAPE DILARANG DI SINGAPURA SEJAK 1 FEB 2018
Membeli, menggunakan dan memiliki produk tembakau palsu atau berbahaya seperti e-pengewap atau vape dilarang di Singapura sejak 1 Februari 2018. Hukuman terhadap kesalahan memiliki dan menggunakan alat pengewap adalah denda sehingga S$2,000.
Terdapat juga larangan ke atas import dan penjualan alat pengewap elektronik atau e-vaporiser di Singapura sejak 1993, apabila semua produk tembakau palsu dilarang.
Di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan), adalah satu kesalahan untuk mengimport, menjual atau mengedar produk vape.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga S$10,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Kesalahan seterusnya membawa denda sehingga S$20,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.