Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kadar kemurungan & keresahan dalam kalangan wanita hamil melonjak dek pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar kemurungan & keresahan dalam kalangan wanita hamil melonjak dek pandemik

Gambar: Pexel

Diterbitkan : 03 Feb 2022 06:59PM Dikemas Kini : 03 Feb 2022 10:30PM

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 meningkatkan dengan ketara risiko gangguan emosi, kadar kemurungan dan keresahan dalam kalangan wanita hamil sepanjang tempoh itu, seperti dinukil BH Online.

Situasi itu terbukti menerusi kajian yang dijalankan oleh seorang penyelidik di Kanada, Prof Madya Dr Margie Davenport bersama rakannya, iaitu kadar kemurungan meningkat daripada 15 peratus sebelum pandemik kepada 40.7 peratus ketika pandemik.

Kadar keresahan pula meningkat daripada 29 peratus sebelum pandemik kepada 72 peratus ketika pandemik.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Siti Roshaidai Mohd Arifin, berkata terdapat beberapa faktor yang boleh menjelaskan kadar peningkatan yang ketara ini.

Kata beliau, antaranya adalah ketakutan kepada bencana atau penyakit berjangkit seperti COVID-19 boleh mempengaruhi kesihatan emosi dan boleh meningkatkan risiko mengalami penyakit mental, lapor BH Online.

"Kajian mendapati ada sebilangan wanita hamil yang mengalami gangguan emosi disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kehamilan yang tidak dirancang, kurang sokongan dan masalah kesihatan ketika hamil.

"Bentuk gangguan emosi yang biasa berlaku dalam kalangan wanita hamil ialah kemurungan dan keresahan.

"Gejala kemurungan termasuk kurang tumpuan, berasa letih atau kehilangan tenaga, mengalami gangguan tidur dan mudah tersinggung atau sensitif yang berterusan selama dua minggu.

"Individu yang mengalami keresahan pula mungkin mengalami gejala fizikal seperti berpeluh, gementar, pening atau jantung berdegup dengan pantas," kata beliau.

Beliau berkata, langkah pencegahan COVID-19 seperti penjarakan sosial, kuarantin di rumah dan sekatan untuk menerima lawatan oleh rakan dan saudara-mara menyebabkan wanita tidak mendapat sokongan yang secukupnya semasa hamil.

Katanya lagi, pandemik COVID-19 juga menyebabkan wanita mengalami perubahan drastik pada kehidupan seharian seperti bekerja dari rumah dan pada masa yang sama menguruskan anak di rumah.

Wanita hamil juga bimbang sekiranya virus itu boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian janin.

Di sebalik kebimbangan ini, wanita hamil masih perlu mengikuti jadual lawatan berkala di klinik kesihatan setiap bulan atau lebih kerap bagi sesetengah kes berisiko.

"Hal ini boleh menyebabkan wanita berasa lebih terdedah kepada jangkitan," katanya.

Beliau berkata, terdapat empat kaedah (4S) yang boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kesihatan emosi wanita hamil.

"S" yang pertama ialah suami. Sokongan suami adalah faktor yang paling penting untuk memastikan kesihatan emosi wanita di tahap optimum.

"Suami bukan sahaja boleh memberikan pertolongan fizikal seperti mengemas rumah dan menjaga anak tetapi juga bersedia untuk mendengar masalah isteri dan menjaga kesihatan ibu dan janin, katanya.

"S" yang kedua ialah sokongan. Ketika wabak COVID-19, sokongan emosi masih boleh disampaikan secara dalam talian.

Jururawat boleh menasihatkan wanita hamil supaya sentiasa menghubungi keluarga dan sahabat dan merujuk wanita kepada kumpulan sokongan.

"S" yang ketiga ialah "smart phone" ataupun telefon bijak. Perundingan atau kaunseling secara dalam talian atau melalui panggilan telefon boleh dilakukan oleh petugas kesihatan.

Dengan cara ini, wanita masih boleh mendapatkan nasihat petugas kesihatan tanpa terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.

"S" yang terakhir ialah sistem. Sistem merujuk kepada sokongan psikologi yang perlu diberikan kepada barisan hadapan yang menjaga wanita hamil seperti jururawat dan doktor.

Sokongan ini perlu untuk memastikan barisan hadapan juga mempunyai kesihatan emosi pada tahap optimum dan seterusnya dapat membantu mereka untuk menyokong kesihatan wanita hamil, lapor BH Online.

Justeru, beliau berharap tempoh kehamilan yang menjadi waktu indah dan sangat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan wanita dapat dilalui dengan selamat sehingga saat bersalin.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan