Jumlah kelahiran anak kembar meningkat: Kajian
Jumlah kembar yang dilahirkan mencatat paras tertinggi iaitu hampir satu daripada setiap 40 kanak-kanak. Faktor utama adalah peningkatan bantuan kehamilan secara perubatan.

Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)
PARIS: Jumlah kembar yang dilahirkan mencatat paras tertinggi iaitu hampir satu daripada setiap 40 kanak-kanak. Faktor utama adalah peningkatan bantuan kehamilan secara perubatan.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Human Reproduction, lebih 1.6 juta kembar dilahirkan setiap tahun.
"Jumlah kembar relatif dan mutlak di dunia adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak pertengahan abad ke-20 dan ini mungkin tertinggi dalam sejarah," menurut penulis kajian, Profesor Christiaan Monden, dari Universiti Oxford (United Kingdom).
Penggunaan teknologi reproduktif berbantu (ART) di negara maju sejak 1970-an menyumbang kepada peningkatan kelahiran berganda dan begitu juga ibu yang bersalin pada usia lebih tua ketika kelahiran kadar kembar lebih tinggi.
Malah, faktor-faktor seperti peningkatan penggunaan pencegah kehamilan, para wanita memilih untuk merancang keluarga lebih lewat dan kesuburan keseluruhan yang lebih rendah turut memainkan peranan.
Dalam kajian itu, penyelidik mengumpul data daripada 135 negara dari 2010 hingga 2015.
Kadar kelahiran kembar paling tinggi dicatatkan di Afrika dengan para penyelidik memberi sebab 'perbezaan genetik' antara benua dan seluruh dunia.
Peningkatan jumlah kembar di bahagian lebih miskin di dunia juga menimbulkan keprihatinan.
"Kelahiran kembar dikaitkan dengan kadar kematian yang lebih tinggi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak serta komplikasi bagi ibu dan anak ketika dan selepas melahirkan," kata Prof Monden.
Sementara itu, penulis bersama, Jeroen Smits berkata, lebih perhatian perlu diberikan kepada nasib anak kembar di negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
"Di Afrika sub-Sahara khususnya, ramai anak kembar akan kehilangan pasangan kembar pada tahun pertama kehidupan mereka, sekitar dua hingga tiga ratus ribu setiap tahun menurut kajian kami sebelum ini," katanya.
Para penyelidik mengatakan jumlah rekod itu hanya disebabkan oleh kelahiran 'kembar fraternal' yang berasal daripada dua telur yang disenyawakan secara terpisah.
Jumlah kembar seiras, dikenali sebagai monozigot, kekal sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.