Jumlah duit syiling dalam satu bayaran, diselaraskan kepada 20 keping bagi setiap denominasi
Jumlah syiling yang boleh digunakan bagi pembayaran dalam satu transaksi akan diperkemas dan diselaraskan kepada 20 keping bagi setiap denominasi.

SINGAPURA: Jumlah syiling yang boleh digunakan bagi pembayaran dalam satu transaksi akan diperkemas dan diselaraskan kepada 20 keping bagi setiap denominasi.
Ia diseragamkan selepas Parlimen meluluskan Rang Pindaan Mata Wang awal hari ini (14 Jan).
Justeru ini bermakna bahawa sebanyak 100 syiling bagi kesemua lima denominasi syiling akan dihadkan bagi setiap pembayaran.
Syiling satu dolar turut tertakluk di bawah had terbaru ini buat julung-julung kalinya.
Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, yang juga anggota lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS), membentangkan bacaan kedua Rang tersebut bagi pihak Encik Tharman Shanmugaratnam.
Menurut Encik Ong, langkah bank pusat untuk memasukkan syiling satu dolar di bawah had itu dilakukan berdasarkan dua kes pada 2014 di mana jumlah besar duit syiling digunakan untuk membuat pembayaran.
Salah satunya melibatkan pembayaran berjumlah hampir S$20,000 menggunakan duit syiling di sebuah kedai kereta, manakala satu lagi berlaku di sebuah kedai telefon bimbit di Sim Lim Square yang memberikan bayaran balik sekitar S$1,000 menggunakan duit syiling.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.