Skip to main content

Gaya Hidup

Jika bergiat aktif termasuk dalam senarai azam Tahun Baru anda - belum terlambat untuk mulakan gaya hidup sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Jika bergiat aktif termasuk dalam senarai azam Tahun Baru anda - belum terlambat untuk mulakan gaya hidup sihat

Senaman ikut peringkat usia kunci kekal cergas. (Gambar: Tirachard Kumtanom)

Diterbitkan : 04 Jan 2023 11:22PM
UNITED KINGDOM: Semua orang tahu tentang pentingnya senaman untuk kesihatan. Dalam keghairahan itu, ada pula yang bertanya, berapa banyak senaman yang diperlukan?

Menurut satu kajian baru, kegiatan seperti naik tangga ke rumah anda atau bergegas untuk menaiki bas atau kereta api, adalah contoh 'senaman' kecil, jika dilakukan secara intensif.

Laporan itu merupakan antara kajian pertama yang meneliti apa yang sudah lama dikemukakan saintis yakni sekecil mana pun sesuatu kegiatan fizikal itu, ia masih boleh membawa manfaat.

Kertas kajian yang diterbitkan pada 8 Dis itu menunjukkan mereka yang melakukan senaman secara intensif selama satu atau dua minit tiga kali sehari, seperti berjalan pantas ke tempat kerja atau menaiki tangga dengan cepat, mampu mengurangkan risiko kematian berkaitan penyakit kardiovaskular sebanyak hampir 50 peratus dan kira-kira 40 peratus terhadap penyakit barah serta punca kematian lain.

Kajian itu berdasarkan rekod lebih 25,000 orang di merata United Kingdom yang tidak bersenam secara kerap dengan purata usia sekitar 60 tahun.

Perkembangan mereka dijejak sepanjang hampir tujuh tahun.

Sebelum ini, satu kajian pada 2020 mengaitkan senaman intensif selama empat minit dengan umur lebih panjang.

Satu lagi kajian pada 2019 mendapati amalan naik tangga selama 20 saat, berulang kali dalam sehari dapat memperbaiki kesihatan aerobik.

"Intensiti senaman sangat berkesan untuk membina otot dan menguatkan sistem kardiovaskular," kata Ed Coyle, seorang professor kinesiologi dan pendidikan kesihatan di Universiti Texas yang mengkaji pergerakan intensif dalam senaman.

Menurutnya intensiti senaman yang dilakukan berulang kali dalam masa yang singkat boleh meningkatkan pengambilan oksigen dan mengelakkan arteri jantung dari tersumbat, katanya. Jantung juga akan mengepam lebih banyak darah dan berfungsi lebih baik.

Para penyelidik membahagikan intensiti senaman kepada tiga kategori.

Antara cara mudah untuk mengetahui intensiti sederhana ialah anda masih boleh bercakap ketika bersenam.
Bagaimanapun anda tercungap-cungap untuk menyanyi.

Jika anda masih boleh menyanyi dengan baik, bermakna intensiti senaman anda masih belum mencapai tahap sederhana.

Untuk berkesan, Profesor di Pusat Charles Perkins Universiti di Sydney, Dr Emmanuel Stamatakis mengesyorkan pergerakan lebih intensif sehingga anda hanya boleh mengeluarkan beberapa perkataan sahaja atau tidak boleh langsung, selepas 30 saat.

 
Sumber : CNA/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita