Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jewel 'sunyi sepi' pada hari pertama dibuka semula

Meskipun perhimpunan sosial ditambah kepada lima orang bermula hari ini (14 Jun), Jewel tidak menyaksikan ramai orang yang mengunjunginya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jewel Lapangan Terbang Changi dibuka semula pada Isnin (14 Jun), hari pertama Singapura melonggarkan sekatan-sekatan lebih ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

Semua kedai runcit dan F&B mula dibuka sekitar 10.00 pagi tadi.

PENGUNJUNG BELUM RAMAI DI JEWEL

Suasana di Jewel agak lengang pada hari pertama ia dibuka semula.

Jumlah pengunjung hanya dapat dilihat meningkat sedikit pada jam 7.00 malam, menurut kru BERITAmediacorp.

Ramai pengunjung datang bersama teman-teman ataupun bersama keluarga masing-masing.

Hari ini (14 Jun) juga merupakan hari pertama perhimpunan sosial dinaikkan kepada lima orang pada satu-satu masa.

Meskipun baru hari pertama Jewel dibuka semula selepas kelompok COVID-19 dikesan di Lapangan Terbang Changi - ramai pengunjung masih yakin dengan langkah-langkah selamat yang dilaksanakan.

Malah, mereka juga tidak sabar untuk datang ke Jewel.

Muhd Aqil Muhd Saidali, 21 tahun, yang datang bersama rakannya berkata: "Objektif saya datang Jewel untuk jalan-jalan sedikit. Sudah lama saya tunggu nak datang ke Jewel. Jadi hari ini hari pertama Jewel buka jadi saya ambil masa daripada jadual saya untuk datang ke sini."

Cik Farah Zafirah, 36 tahun pula menambah: "Kita nak beli makanan pun senang. Sekurang-kurangnya ada pilihan kerana apabila Jewel ditutup, nak kena cari makanan tempat lain. Jadi, saya gembira, sekurang-kurangnya ada kelonggaran dan ada pilihan."

KEDAI-KEDAI ALU-ALUKAN ORANG RAMAI KE JEWEL

Pada hari pertama Jewel dibuka semula, 93% kedai memulakan operasi masing-masing.

Bagi kedai-kedai yang tidak dibuka, kebanyakannya adalah kedai makanan dan minuman (F&B), misalnya, restoran Elfuego.

Tambahan lagi, sebahagian besar daripada kedai F&B sudah menjangkakan tidak akan ada begitu ramai orang yang datang pada hari pertama Jewel dibuka semula.

Lantas, mereka juga tidak menyiapkan jumlah makanan yang banyak atau menu penuh.

Secara keseluruhannya, pelepasan sewa juga dilanjutkan kepada semua perniagaan sehingga 20 Jun dan kemudian akan diberikan sokongan tambahan sehingga 27 Jun.

KERJA-KERJA PEMBERSIHAN DIJALANKAN DEMI KESELAMATAN PENGUNJUNG

Bangunan Jewel ditutup sebulan selepas lebih 100 kes COVID-19 dikaitkan dengan kelompok jangkitan di Lapangan Terbang Changi.

Sejak itu, operasi pembersihan dan pembasmian kuman yang menyeluruh sudah selesai dijalankan termasuk menggunakan alat pembasmi kuman UV dan pengaliran udara dari alat hawa dingin dibersihkan dua jam sebelum bangunan tersebut dibuka.

Lebih 2,500 pekerja di Jewel juga sudah menjalani ujian wajib COVID-19 dan semua hasil ujian negatif.

Hampir 90% kakitangan Jewel yang layak juga sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin.

Bagi membantu perniagaan yang terjejas dek penutupan itu, pelepasan sewa penuh dilanjutkan lagi seminggu.

Meskipun Jewel sudah dibuka semula, terminal penumpang masih ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan 14,000 pekerjanya membiasakan diri dengan sistem zon berbeza berdasarkan tahap risiko.

Jewel diletakkan dalam zon dengan risiko paling rendah 
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan