Jewel Lapangan Terbang Changi bertukar wajah sempena sambutan Disney100
Jika anda sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Disneyland atau peminat tegar watak kartun Mickey Mouse serta teman-temanya, anda tidak perlu lagi pergi jauh untuk berjumpa dengan watak kegemaran anda itu!
(Gambar: Pembangunan Jewel Lapangan Terbang Changi)
SINGAPURA: Jika anda sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Disneyland atau peminat tegar watak kartun Mickey Mouse serta teman-temanya, anda tidak perlu lagi pergi jauh untuk berjumpa dengan watak kegemaran anda itu!
Pergi sahaja ke Jewel Lapangan Terbang Changi dan anda akan dapat berjumpa dengan pelbagai watak Disney, lengkap dengan pertunjukan lampu dan bunyi.
Semua ini sempena pameran Disney100 bagi meraikan ulang tahun ke-100 syarikat hiburan itu.
Antara daya tarikan utama adalah pertunjukan 'Disney100 Light and Sound' di HSBC Rain Vortex yang mana beberapa watak Disney juga akan membuat penampilan.
Pertunjukan itu diadakan setiap hari pada pukul 7.30 malam. Namun pada hujung minggu pelancarannya pada 12 hingga 15 Januari, anda disarankan untuk ke sana terlebih awal.
Terdapat juga persembahan khas dan penampilan beberapa watak Disney sebelum pertunjukan cahaya itu yang akan memainkan lagu-lagu tema Disney termasuk 'A Whole New World' dan 'You've Got a Friend in Me'.
Selepas minggu pelancaran itu, versi pertunjukan 'Light & Sound Disney100' yang lebih singkat akan diadakan dari 16 Januari hingga 9 April.
Selain itu, pastikan anda tidak terlepas peluang untuk bergambar di 10 tempat di sekitar Shiseido Forest dan Canopy Park yang dihias khas untuk membolehkan pengunjung mengambil gambar. 10 tempat bergambar itu disediakan mulai 12 Januari hingga 9 April.
Tempat-tempat bergambar diilhamkan daripada filem-filem terbitan Disney, Pixar, Marvel dan Star Wars termasuk 'Lion King', 'Toy Story' dan 'Inside Out'.
Pastikan juga anda bergambar di gerbang Disney dan bersama sebuah patung Mickey Mouse setinggi empat meter di Shiseido Forest Valley. Jika anda bernasib baik, anda mungkin dapat menyertai sesi 'meet and greet' yang diadakan pada beberapa waktu dari 13 hingga 15 Januari di pintu masuk bahagian utara.
Lebih istimewa lagi, jika anda mengenakan kostum watak-watak Disney pada hari itu, anda juga boleh masuk percuma ke Canopy Park!
Untuk mereka yang berminat membeli cenderamata Disney untuk dibawa pulang, terdapat sekitar 15 kedai di merata Jewel yang menjual pelbagai cenderamata bertemakan Disney termasuk di kedai kasut Charles & Keith dan kedai perhiasan Pandora.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.