Skip to main content

Gaya Hidup

Jerebu dan kesihatan kulit: Perlukah rutin penjagaan kulit diubah?

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu dan kesihatan kulit: Perlukah rutin penjagaan kulit diubah?

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 23 Oct 2026 01:25PM Dikemas Kini : 23 Oct 2026 01:37PM
Haze and skin health: Should you change your skincare routine?
  • In Singapore, haze caused by smoke from regional forest fires can expose the skin to fine particles and pollution, which are linked to disruption of the skin barrier and irritation, especially for people with sensitive skin or eczema.
  • Symptoms such as dry, itchy, red or stinging skin are not necessarily caused by haze; other factors can also affect the skin, so changes should be monitored without jumping to conclusions.
  • The article recommends a basic routine: wash the face gently, use moisturiser and sunscreen, and avoid washing excessively, harsh scrubs and buying many new products. New products can be tried one at a time.
  • Check air quality and reduce exposure when the PSI rises, as skincare does not replace health precautions. If irritation is severe or prolonged, seek advice from a doctor or dermatologist.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Apabila udara berjerebu, perhatian kita biasanya tertumpu pada kesihatan pernafasan. Namun, bagaimana pula dengan kulit yang terdedah kepada persekitaran yang sama? Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menilai semula rutin penjagaan wajah, tanpa perlu membeli terlalu banyak produk baharu.

Sejak kebelakangan ini, bila kita bangun pagi langit kelihatan kelabu. Udara terasa kurang menyegarkan dan apabila keluar rumah, bau asap yang samar-samar mungkin mula disedari. Di Singapura, keadaan berjerebu bukanlah sesuatu yang asing, terutama apabila kebakaran hutan di rantau ini menyebabkan asap dibawa angin ke negara kita.

Dalam situasi begini, perkara pertama yang sering terlintas di fikiran ialah kesihatan paru-paru, mata dan tekak. Ramai yang mula memeriksa bacaan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI), mengehadkan aktiviti di luar selain menutup tingkap apabila mutu udara merosot. Namun, ada satu lagi bahagian tubuh yang turut terdedah kepada persekitaran tersebut setiap hari, iaitu kulit.

Pernahkah kulit wajah anda terasa lebih kering daripada biasa atau mudah gatal selain produk penjagaan wajah yang selama ini selesa digunakan tiba-tiba terasa pedih? Walaupun keadaan ini tidak semestinya berpunca daripada jerebu, pencemaran udara boleh menyumbang kepada kerengsaan dan memburukkan masalah kulit tertentu, terutama bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, ekzema dan lain-lain. 

Namun, ia tidak bermakna kita perlu mengubah keseluruhan rutin kecantikan setiap kali udara berjerebu. Sebaliknya, inilah masa untuk memberi perhatian kepada keperluan kulit dan memilih penjagaan yang lebih lembut.

KULIT PERLUKAN PERHATIAN

Ia merupakan lapisan perlindungan tubuh yang membantu mengekalkan kelembapan serta menghalang bahan luar daripada mudah menembusi permukaannya. Lapisan pelindung ini penting untuk memastikan kulit kekal selesa dan tidak mudah mengalami kerengsaan.

Menurut kajian, ketika jerebu, udara mengandungi zarah halus dan bahan pencemar yang boleh memberi kesan kepada kulit. Pendedahan kepada pencemaran dikaitkan dengan tekanan oksidatif dan gangguan pada lapisan pelindung kulit. Kesannya berbeza bagi setiap individu, bergantung pada keadaan dan jenis kulit serta tahap pendedahan dan faktor lain.

Bagi sesetengah orang, perubahan mungkin tidak begitu ketara. Ada pula yang mendapati kulit terasa tegang selepas mencuci muka, lebih mudah mengelupas atau mengalami kemerahan. Mereka yang mempunyai masalah kulit sedia ada mungkin menyedari gejala menjadi lebih sukar dikawal.

Bagaimanapun, jangan terus menganggap setiap jerawat yang muncul atau kegatalan pada wajah berpunca daripada jerebu. Perubahan hormon, tekanan, cuaca panas, produk baharu dan tabiat penjagaan kulit juga boleh memainkan peranan.

Apa yang boleh kita lakukan ialah memerhatikan perubahan pada kulit tanpa terburu-buru membuat kesimpulan. Jika kulit mula menunjukkan tanda-tanda tidak selesa, rutin yang ringkas dan lembut mungkin lebih sesuai berbanding mencuba pelbagai produk untuk mendapatkan hasil segera.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

TIDAK PERLU BELI PRODUK BAHARU

Lazimnya, apabila timbul masalah kulit, ramai yang mudah tertarik dengan produk yang menjanjikan perlindungan daripada pencemaran. Cuba perhatikan, apabila berada di kedai yang menjual produk kecantikan, di rak-raknya terdapat pelbagai pilihan produk. Dari serum antioksidan hingga pelembap yang dikatakan mampu menguatkan lapisan pelindung kulit.

Produk tertentu memang mempunyai fungsi yang bermanfaat. Namun, label seperti 'anti-pollution' tidak bermakna sesuatu produk dapat menghalang semua kesan pencemaran atau melindungi kulit sepenuhnya daripada jerebu.

Bagi kebanyakan orang, langkah yang lebih munasabah ialah mengekalkan rutin asas yang sesuai dengan keadaan kulit setiap hari. Pembersih wajah yang lembut, pelembap dan pelindung matahari masih menjadi pilihan penting.Tidak perlu menambah beberapa lapisan serum atau menukar semua produk yang digunakan hanya kerana keadaan udara berubah. Jika rutin sedia ada tidak menyebabkan masalah, teruskan menggunakannya sambil memerhatikan tindak balas kulit.

Bagi mereka yang mahu mencuba produk baharu, perkenalkan satu produk pada satu masa. Dengan cara ini, lebih mudah untuk mengenal pasti produk yang sesuai atau yang mungkin menyebabkan kerengsaan pada kulit anda.

BERSIHKAN WAJAH TETAPI JANGAN 'OVER'

Selepas seharian berada di luar, terutama ketika cuaca panas dan udara berjerebu, kita mungkin berasa ingin mencuci muka berkali-kali kerana wajah terasa melekit atau kotor.

Namun, mencuci muka terlalu kerap atau menggunakan pembersih yang terlalu kuat boleh menyingkirkan minyak semula jadi yang membantu melindungi kulit. Tapi kesannya, kulit mungkin akan menjadi lebih kering, tegang dan sensitif.

Cukup dengan membersihkan wajah secara lembut pada waktu yang sesuai, contohnya pada waktu pagi dan juga sebelum tidur. Gunakan air suam, tidak terlalu panas dan elakkan menggosok wajah dengan kuat.

Jika memakai solekan atau pelindung matahari yang sukar ditanggalkan, pastikan untuk memilih kaedah pembersihan yang sesuai tanpa perlu menggosok berulang kali. Selepas mencuci muka, tepuk kulit perlahan-lahan menggunakan tuala bersih sebelum menyapu bahan pelembap.

Selain itu, jangan pula terburu-buru menggunakan skrub kasar atau melakukan pengelupasan kulit secara agresif dengan harapan dapat menyingkirkan segala kotoran akibat jerebu. Ketika kulit sedang merengsa, langkah sedemikian juga boleh memburukkan keadaan.

Related article image
Gambar hiasan seorang wanita menggunakan produk kecantikan. (Gambar: Unsplash)

PELEMBAB BUKAN HANYA UNTUK KULIT KERING

Ada yang menganggap pelembap hanya diperlukan oleh mereka yang mempunyai kulit kering. Sebenarnya, kulit berminyak juga memerlukan kelembapan yang seimbang dan mencukupi.

Ketika lapisan pelindung kulit terganggu, kelembapan lebih mudah hilang. Pelembap yang sesuai membantu mengekalkan air dalam kulit dan menyokong fungsi lapisan pelindungnya.

Bagi yang mempunyai kulit kering atau sensitif, bahan seperti ceramida dan gliserin boleh dijadikan pilihan. Asid hialuronik lazimnya digunakan untuk membantu mengekalkan kelembapan. Jika mempunyai jenis kulit berminyak, anda boleh memilih tekstur lebih ringan, manakala kulit kering mungkin lebih selesa dengan krim yang lebih pekat.

Satu lagi, tidak semestinya produk paling mahal yang dapat memberikan hasil terbaik. Perkara yang lebih penting ialah memilih formula yang sesuai dengan jenis kulit anda agar ia tidak menyebabkan rasa pedih, gatal atau kemerahan.

Jika sesuatu produk yang selama ini digunakan mula terasa menyengat ketika disapu, hentikan penggunaannya buat sementara waktu dan perhatikan keadaan kulit. Jika gejala berterusan, dapatkan nasihat doktor atau pakar dermatologi.

PELINDUNG MATAHARI

Udara berjerebu dan langit yang kelihatan kelabu mungkin membuatkan kita menyangka pelindung matahari tidak lagi diperlukan. Namun, keadaan berjerebu tidak bermakna sinaran ultraungu (UV) terus hilang.

Bagi yang rajin menggunakan pelindung matahari, ia ternyata dapat melindungi daripada sinaran UVA dan UVB, sebaik-baiknya dengan SPF 30 atau lebih tinggi. Sapukan mengikut arahan produk dan ulang penggunaan apabila perlu, terutama selepas berpeluh atau mengelap wajah.

Pastikan untuk memilih formula yang selesa pada kulit. Jika pelindung matahari menyebabkan pedih atau kemerahan, cuba formula lain yang lebih sesuai, terutama jika kulit anda sensitif. Pada masa yang sama, penjagaan kulit tidak sepatutnya membuatkan kita berasa perlu menghabiskan lebih banyak wang. 

Cuba semak dahulu produk yang sudah ada di rumah sebelum membeli yang baharu. Rutin yang mudah dan konsisten lazimnya lebih mudah dikekalkan berbanding penjagaan yang mempunyai terlalu banyak langkah.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

5 CARA JAGA KULIT KETIKA JEREBU

  • Kekalkan rutin kecantikan asas

Gunakan pembersih lembut, pelembap dan pelindung matahari. Elakkan menambah terlalu banyak produk baharu serentak.

  • Elak mencuci muka berlebihan

Bersihkan wajah dengan lembut dan elakkan skrub kasar atau pengelupasan agresif, terutama jika 
kulit mula terasa pedih atau kering.

  • Pilih pelembap menepati keperluan kulit

Cari formula yang membantu mengekalkan kelembapan. Ceramida dan gliserin antara bahan yang boleh dipertimbangkan, bergantung pada kesesuaian kulit.

  • Kurangkan pendedahan kepada udara tercemar

Semak bacaan mutu udara sebelum melakukan aktiviti luar. Apabila paras PSI semakin meningkat, kurangkan pendedahan mengikut panduan kesihatan semasa. Penjagaan kulit tidak menggantikan langkah melindungi kesihatan daripada jerebu.

  • Dapatkan rawatan jika masalah berlarutan

Jika kegatalan, kemerahan dan ruam menjadi teruk, berpanjangan atau tidak pulih dengan penjagaan biasa, dapatkan pemeriksaan doktor. Mereka yang mempunyai ekzema atau masalah kulit lain juga perlu memastikan penjagaan yang tepat.

PENJAGAAN BIJAK TIDAK PERLU BERLEBIHAN

Walaupun udara berjerebu, kita tidak perlu menukar keseluruhan rutin kecantikan. Setiap daripada kita mempunyai keperluan kulit yang berbeza dan tidak semua orang akan mengalami masalah yang sama. Ada kalanya, langkah paling baik ialah kembali kepada penjagaan asas seperti membersihkan wajah, agar kulit mendapat kelembapan yang mencukupi dan menggunakan pelindung matahari. 

Dan, jika kulit mula terasa tidak selesa, berikan perhatian tanpa terburu-buru untuk membeli produk baru di pasaran. Percayalah penjagaan kulit yang baik bukan tentang berapa banyak produk yang ada atau yang baru dibeli, tetapi sejauh mana kita memahami keperluan kulit sendiri.

Walaupun kehadiran jerebu berada di luar kawalan kita, yang pasti pilihan penjagaan harian masih di tangan kita. Dengan rutin yang sesuai dan langkah berjaga-jaga, kita boleh terus menjaga kulit tanpa menjadikan musim berjerebu sebagai alasan untuk berbelanja berlebihan.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita