Jenama tuala wanita ini tarik balik iklan selepas dibantah badan agama
Satu jenama produk tuala wanita menarik semula iklan mereka selepas sebuah jabatan agama membantah iklan yang menumpukan motif vulva atau kemaluan wanita.
Gambar: Libresse Malaysia
KUALA LUMPUR: Satu jenama produk tuala wanita menarik semula iklan mereka selepas sebuah jabatan agama membantah iklan yang menumpukan motif vulva atau kemaluan wanita.
Pada Khamis (16 September), Libresse Malaysia menjelaskan tujuan mereka di sebalik kempen tersebut.
"Terima kasih banyak atas maklum balas anda yang sangat dihargai. Kami memahami kebimbangan anda dan kami telah menarik semula iklan tersebut dari pelbagai saluran.
"Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan mana-mana wanita atau masyarakat.
"Kami sentiasa mempertahankan semua wanita dan niat kami adalah untuk menggalak semua wanita untuk menerima kewanitaan dan potensi penuh mereka," kata syarikat itu.
Libresse Malaysia menambah bahawa ia turut terlibat secara aktif dengan mereka yang bersuara menentang kempen tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan kepada Malaysiakini iklan yang ditarik balik itu.
Eksploitasi tubuh wanita
Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Wanita Islam Yadim (Maya) mengeluarkan kenyataan yang mendesak Libresse Malaysia supaya menarik balik dua kempen - "V-Kebaya" dan "Know Your V".
Maya adalah sebuah majlis wanita di bawah Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) - iaitu sebuah yayasan kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan berkenaan isu hal ehwal Islam.
Melalui kempen "V-Kebaya", jenama tersebut telah melancarkan pembalut tuala wanita edisi terhad dengan kemasan yang dihiasi dengan motif bunga dari ilham kebaya Nyonya dan vulva.
Ia dilaporkan bertujuan untuk melawan stigma berkaitan faraj dan mendorong wanita untuk berasa yakin dengan tubuh mereka.
"Know Your V" adalah sebahagian daripada kempen jangka panjang jenama tersebut untuk mendidik wanita mengenai alat kelamin mereka.
Ia termasuk tutorial mengenai cara melipat kertas origami yang menyerupai vulva.
Dengan menampilkan vulva dalam iklan dan pembungkusan produknya, pengerusi Maya, Safinar Salleh berpendapat bahawa jenama itu "mengeksploitasi" dan “tidak menghormati” bahagian tubuh dan wanita.
"Menyalahgunakan gambar bahagian peribadi wanita pada reka bentuk iklan produk kebersihan anda adalah tidak menghormati wanita.
"Untuk mempromosikannya secara meluas sebagai tujuan utama dalam pembalut tuala wanita anda, reka bentuk kebaya warisan nasional dalam kempen 'V-Kebaya' anda dan origami dalam kempen 'Know Your V' juga dianggap sebagai eksploitasi badan wanita dalam iklan,” katanya kepada Malaysiakini.
Safinar juga berpendapat bahawa kempen tersebut tidak dapat diterima dari segi budaya atau dibenarkan oleh "nilai agama".
"Menampilkan motif vulva secara terbuka pada pakaian, bungkusan, beg, origami dan barang-barang lain tidak boleh diterima dalam budaya kita atau tidak dibenarkan mengikut nilai agama kita," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.