Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Sejauh mana peralatan cekap tenaga boleh jimatkan bil elektrik?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Sejauh mana peralatan cekap tenaga boleh jimatkan bil elektrik?

(Gambar: iStock/Ake Ngiamsanguan)

Diterbitkan : 09 Apr 2026 09:01PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 09:02PM
SINGAPURA: Lonjakan harga tenaga global yang dicetuskan oleh perang di Timur Tengah boleh menyebabkan bil elektrik menjadi lebih mahal dalam beberapa bulan akan datang.

Dengan saranan pemerintah agar isi rumah dan perniagaan mengurangkan penggunaan tenaga, adakah ini masanya untuk mempertimbangkan penggunaan baucar iklim S$400 sebagai cara untuk menjimatkan perbelanjaan api air?

Di bawah Program Isi Rumah Mesra Iklim (CFHP) yang dipertingkatkan, baucar ini membolehkan isi rumah yang layak membeli peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga - sekali gus mengurangkan penggunaan elektrik secara keseluruhan.

Walaupun Amerika Syarikat dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu pada Selasa (7 Apr), kerosakan pada prasarana minyak dijangka akan mengehadkan bekalan dan menyebabkan harga tenaga kekal tinggi selama berbulan-bulan.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata tarif elektrik terkawal, yang dibayar oleh kebanyakan isi rumah di Singapura, meningkat sebanyak 2.1 peratus kepada 27.27 sen/kWh bagi suku kedua 2026.

Beliau menambah bahawa kenaikan ini adalah "sederhana" berbanding lonjakan harga bahan api.Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa isi rumah harus menjangkakan kenaikan yang jauh lebih mendadak pada pelarasan tarif akan datang, yang akan mencerminkan sepenuhnya kos bahan api yang lebih tinggi.

BERAPAKAH PENJIMATAN DENGAN PERALATAN CEKAP TENAGA?

Jadi, apakah maksudnya untuk poket anda - dan apa yang boleh anda lakukan?

Salah satu cara untuk menguruskan bil yang meningkat adalah dengan memilih peralatan yang mempunyai penarafan bintang (tanda rait) yang lebih tinggi.

Semakin banyak bintang yang diterima, semakin cekap tenaga peralatan tersebut.

Peralatan yang menggunakan kurang elektrik untuk menjalankan tugas yang sama adalah lebih cekap, dan akan memberi kesan langsung kepada bil elektrik anda.

Walaupun model cekap tenaga ini mungkin lebih mahal pada mulanya, ia dapat mengurangkan bil elektrik anda dalam jangka masa panjang.

Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), menukar kepada alat penghawa dingin lima bintang boleh menjimatkan sekitar S$303 setahun berbanding model dua bintang. Ini berdasarkan kos elektrik 29.9 sen/kWh sebelum GST, dan penggunaan lapan jam sehari.

Menukar daripada peti sejuk dua bintang kepada tiga bintang pula boleh menjimatkan kira-kira S$59 setahun.

Dengan tarif yang dijangka lebih tinggi pada suku-suku akan datang, jumlah penjimatan ini kemungkinan besar akan meningkat.

Profesor Lee Poh Seng, pengarah eksekutif Institut Kajian Tenaga di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata penjimatan boleh menjadi ketara - tetapi ia bergantung kepada peralatan apa yang diganti dan kekerapan anda menggunakannya.

"Penjimatan bil terbesar biasanya bukan datang daripada barangan elektrik kecil, tetapi daripada peralatan utama yang digunakan lama, terutamanya penyaman udara, diikuti oleh peti sejuk dan pemanas air," katanya.

Tambah beliau, barangan ini merangkumi kira-kira 80 peratus penggunaan elektrik di rumah biasa.

APA YANG BOLEH SAYA BELI DENGAN BAUCAR IKLIM SAYA?

Sehingga 1 April, terdapat 775 kedai runcit yang mengambil bahagian di mana anda boleh menggunakan baucar iklim anda untuk membeli:

Peti sejuk: 3 bintang ke atas

Alat Penghawa dingin: 5 bintang

Kipas arus terus (DC): Kipas berdiri, kipas siling, dan kipas meja yang menggunakan motor DC (kipas DC dengan lampu bukan LED tidak layak)

Lampu LED: 2 bintang ke atas

Pemanas air: 5 bintang

Mesin basuh: 4 bintang

Mangkuk tandas: 3 bintang

Singki, besen atau kepala paip: 3 bintang

Kelengkapan pancuran mandi: 3 bintang

Bermula 15 April, program ini akan diperluaskan untuk merangkumi pengering pakaian lima bintang dan dapur induksi.

BAGAIMANA CARTA PILIH PERALATAN YANG BETUL?

Alat penghawa dingin: Penting untuk memilih kapasiti penyejukan yang betul. Jika terlalu besar atau kecil untuk ruang anda, ia tidak akan berjalan dengan cekap dan boleh meningkatkan bil anda.

Kos Kitaran Hayat: Jangan hanya melihat harga pembelian - pertimbangkan "kos kitaran hayat". Ini bermakna mencampurkan harga beli dengan anggaran kos elektrik selama kira-kira tujuh tahun.

Peti Sejuk: Pilih saiz terkecil yang memenuhi keperluan anda. Fungsi tambahan seperti pembuat ais atau mesin air mungkin memudahkan, tetapi ia juga menggunakan lebih banyak tenaga.

MENGAPA PERLU BAIKI JIKA TIDAK ROSAK?

Jika peralatan anda masih berfungsi dengan baik, adakah anda perlu menggantikannya juga?

Jawapan ringkasnya: Bergantung.

Prof Lee berkata soalan yang lebih baik bukannya "Adakah ia masih berfungsi?" tetapi "Adakah ia masih cukup cekap untuk disimpan?" - satu ujian yang lebih berguna dari segi ekonomi dan alam sekitar.

Jika anda mempunyai alat penghawa dingin lama yang tidak cekap dan digunakan berjam-jam sehari, menggantikannya adalah langkah yang sangat menguntungkan, terutamanya dengan bantuan baucar CFHP yang menampung sebahagian kos awal.

Dari sudut pandangan alam sekitar, mungkin bukan langkah terbaik untuk menggantikan peralatan yang agak baharu dan jarang digunakan.

Namun, jika anda mempunyai unit lama yang "makan elektrik", menggantikannya adalah tindakan yang baik untuk alam sekitar.

Prof Lee menambah bahawa penjimatan terpantas selalunya datang daripada menggunakan peralatan besar dengan lebih bijak - terutamanya alat penghawa dingin.

Sebagai contoh, menggunakan kipas berbanding alat penghawa dingin boleh menjimatkan kira-kira S$441 setahun.

GANJARAN LEBIH UNTUK GAYA HIDUP HIJAU

Selain baucar iklim, terdapat skim sedia ada untuk menggalakkan isi rumah beralih kepada peralatan cekap tenaga dan air.

Sebagai contoh, Daerah Barat Laut mempunyai skim yang mengajak penduduk "menghijaukan" rumah mereka dengan memenuhi kriteria tertentu, seperti menggunakan peralatan penarafan tinggi dan memasang pemanas air yang cekap.

Isi rumah yang memenuhi kriteria ini boleh menerima ganjaran tunai antara S$100 hingga S$500.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita