Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Mengapa salmonela boleh buat ramai jatuh sakit dan bagaimana untuk elak jangkitannya

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa salmonela boleh buat ramai jatuh sakit dan bagaimana untuk elak jangkitannya

Gambar: iStock/stephanie phillips

SINGAPURA: Bawang dadu, doh biskut, tepung, pucuk alfalfa, mentega kacang – apakah persamaan makanan yang sangat berbeza ini?

Semuanya dicemari oleh salmonela, yang menyebabkan sekitar 1.35 juta penduduk di Amerika Syarikat jatuh sakit setiap tahun. Jangkitan daripada bakteria - punca penyakit bawaan makanan yang paling kerap dilaporkan, menurut Jabatan Pertanian Amerika - boleh membawa kepada gejala seperti demam, cirit-birit dan sakit perut yang mungkin berlarutan selama beberapa hari.

Orang ramai sering jatuh sakit akibat 'salmonellosis', jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, selepas makan daging yang kurang masak atau makanan tercemar, tetapi mikrob boleh bersembunyi di banyak tempat lain. "Terdapat semua laluan berbeza ini yang boleh membawa kepada penyakit manusia," kata Dr Louise Francois Watkins, seorang doktor dengan Cawangan Epidemiologi Penyakit Enterik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika.

Berikut adalah perkara-perkara yang anda perlu tahu tentang bakteria licik ini dan cara-cara bagi memastikan anda dan keluarga anda sentiasa selamat.

BAGAIMANA JANGKITAN BERLAKU?

Satu sebab ramai orang dijangkiti salmonela setiap tahun ialah bakteria secara semula jadi yang tumbuh di dalam usus sesetengah haiwan, termasuk ayam, burung dan lembu, kata Martin Wiedmann, doktor haiwan dan saintis makanan di Kolej Pertanian dan Sains Hayat Universiti Cornell.

Haiwan yang menyimpan bakteria biasanya tidak kelihatan sakit, kata Dr Francois Watkins.

Apabila haiwan ternakan disembelih, bakteria dalam usus haiwan tersebut boleh mencemari daging. Satu daripada setiap 25 bungkusan ayam yang dijual di kedai runcit mengandungi salmonela, menurut CDC.

Apa-apa sahaja yang menyentuh daging mentah boleh menjadi tercemar, kata Dr Wiedmann. Jika anda menyentuh bakteria pada permukaannya dan kemudian menyentuh mulut anda, anda boleh jatuh sakit.

Oleh kerana bakteria membiak dalam usus haiwan, ia juga berakhir dalam najis haiwan - dan kemudian, kadang-kadang pada kaki dan bulu haiwan.

Dengan itu, ia membenarkan salmonela merebak ke lokasi lain, termasuk ladang tanaman dan kilang pemprosesan makanan, di mana bakteria boleh mencemari hasil pertanian dan makanan yang dibungkus.

APA YANG AKAN BERLAKU JIKA SAYA DIJANGKITI SALMONELA?

Individu yang terdedah kepada salmonela biasanya mula berasa sakit enam jam hingga enam hari kemudian, kata Dr Francois Watkins.

Kebanyakan jangkitan adalah jangkitan ringan dan berlarutan antara empat dan tujuh hari. Walaupun salmonela boleh menyerang semua peringkat umur, jangkitan paling kerap berlaku pada kanak-kanak berusia bawah umur 5 tahun, sebahagiannya kerana sistem imun mereka tidak berkembang sepenuhnya.

Jangkitan biasanya hilang dengan sendirinya, kata Dr Francois Watkins.

Tetapi CDC mengesyorkan untuk berjumpa doktor jika anda mengalami cirit-birit dan demam melebihi 38.9 darjah Celsius; jika cirit-birit berterusan selama lebih daripada tiga hari tanpa bertambah baik atau menjadi berdarah; atau jika anda mengalami dehidrasi sehingga anda membuang air kecil dengan sangat sedikit.

Disebabkan tidak ramai yang berjumpa doktor apabila mereka jatuh sakit akibat salmonela, dan jumlah individu yang diuji bagi mengesan jangkitannya juga sangat rendah, maka ramai yang tidak akan tahu bahawa mereka menghidapinya.

"Hanya satu daripada 30 kes salmonela sebenarnya dikesan dan disahkan oleh sistem penjagaan kesihatan," kata Andrea Etter, seorang saintis makanan dan penyelidik salmonela di Universiti Vermont.

Sesetengah orang menghidapi arthritis reaktif selepas jangkitan salmonela dan mengalami sakit sendi, kerengsaan mata atau mengalami kesakitan semasa membuang air kecil yang boleh berterusan walaupun selepas jangkitan pulih.

Dalam keadaan yang jarang berlaku, salmonela boleh merebak melalui darah dan menyebabkan jangkitan darah, meningitis dan jangkitan lain, kata Dr Wiedmann.

Jangkitan Salmonela bertanggungjawab ke atas 26,500 kemasukan ke hospital dan 420 kematian di Amerika Syarikat setiap tahun.

APA YANG BOLEH SAYA LAKUKAN UNTUK MENGELAKKANNYA?

Jika anda memiliki haiwan peliharaan atau haiwan ternakan, jangan sesekali menciumnya dan sentiasa membasuh tangan anda selepas menyentuhnya, kata Dr Etter. Sebaik-baiknya, basuh bekas makanan dan air minum haiwan tersebut di dalam sinki atau dalam tab mandi, tetapi jika anda perlu menggunakan sinki dapur atau bilik mandi, pastikan anda melakukan pembasmian kuman.

Sentiasa masak daging pada suhu yang disarankan, kata Dr Wiedmann. "Sangat penting untuk tidak hanya bergantung kepada deria anda sahaja, tetapi juga memeriksa suhu," katanya.

Apabila anda tidak memakan makanan yang dimasak, simpannya dalam peti sejuk. "Kehangatan boleh membuat bakteria membiak, jadi anda harus memasukkan makanan anda ke dalam peti sejuk di bawah 4 darjah Celsius secepat mungkin," kata Dr Francois Watkins.

Untuk mengelakkan pencemaran dapur anda dan makanan lain semasa menyiapkan makanan menggunakan daging mentah, gunakan papan pemotong dan perkakas yang berasingan, kata Dr Wiedmann. Perlu diingat bahawa bungkusan yang mengandungi daging mentah boleh bocor, jadi simpannya selain daripada makanan lain atau bungkusnya dalam beg untuk perlindungan yang lebih rapi.

Selepas memasak daging mentah, basuh tangan anda dan bersihkan permukaan yang mungkin tercemar, kata Dr Francois Watkins. Dr Etter mencadangkan agar mana-mana span yang digunakan semasa proses pembersihan dibersihkan selama satu minit di atas gelombang mikro ketika span dalam keadaan basah, yang boleh membunuh kebanyakan bakteria.

Akhir sekali, jangan sekali-kali membilas daging mentah - termasuk ayam atau ayam belanda - dengan air sebelum anda memasaknya. "Ia tidak melakukan apa-apa," kata Dr Etter, "kecuali merebakkan salmonela ke seluruh sinki anda."
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita