Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Mengapa ramai pemain pakai but merah jambu di Piala Dunia FIFA 2026?

Pada suatu ketika dahulu, but bola sepak tersedia dalam satu warna - hitam.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa ramai pemain pakai but merah jambu di Piala Dunia FIFA 2026?

Beberapa orang pemain kelihatan memakai but berwarna merah jambu semasa kejohanan Piala Dunia FIFA 2026. (Gambar: REUTERS/Raquel Cunha)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 Jun 2026 11:58AM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 02:56PM
LONDON: Pada suatu ketika dahulu, but bola sepak tersedia dalam satu warna - hitam.

Namun, keadaan itu berubah sejak kira-kira 25 tahun lalu apabila pelbagai warna mula digunakan, dengan jenama-jenama utama berusaha untuk menonjolkan diri daripada pesaing.

Bagaimanapun, di Piala Dunia FIFA 2026, keadaan seolah-olah kembali ke titik asal apabila para pemain sekali lagi memakai but dengan warna yang sama - cuma kali ini warnanya ialah merah jambu.

Sebab utamanya ialah jenama global terkemuka seperti Nike, Adidas dan Puma masing-masing menghasilkan but dengan reka bentuk dan tona warna yang hampir serupa bagi kejohanan berprestij itu.

Perkara itu jelas kelihatan semasa perlawanan pembukaan antara Mexico dengan Afrika Selatan di Mexico City, apabila hampir semua pemain di padang dilihat memakai but berwarna merah jambu terang.

Berikut sebab warna itu dijangka menjadi pilihan utama sepanjang Piala Dunia FIFA.

Bagaimana jenama-jenama tahu warna merah jambu akan menjadi trend pada 2026?

Pada masa lalu, jenama terkemuka seperti Nike, Adidas dan Puma sering memilih reka bentuk yang lebih sederhana dengan warna hitam dan putih. Namun, bagi keluaran terbaharu musim panas ini, tumpuan diberikan kepada warna-warna terang dan menyerlah untuk menarik perhatian.

Pada 2024, syarikat ramalan trend pengguna WGSN meramalkan bahawa "Electric Fuchsia" akan menjadi antara warna utama bagi musim panas 2026.

Syarikat itu menggambarkannya sebagai "warna neon terang dengan ciri dinamik dan digital" serta "tona bercahaya yang berada di antara warna merah jambu dan ungu".

Sama ada ramalan tersebut mempengaruhi para pereka di Nike, Adidas dan Puma, tidak dapat dipastikan.

Jadi, adakah ia satu kebetulan apabila hampir semua model but utama ditampilkan dalam warna merah jambu?

Apabila pengeluar mula mereka bentuk but baharu - satu proses yang boleh memakan masa sehingga dua tahun sebelum ia dilancarkan - mereka sering mendapatkan pandangan daripada peramal trend seperti WGSN untuk mengetahui warna, tema dan gaya yang dijangka menjadi pilihan apabila produk itu dipasarkan.

Namun terdapat juga faktor lain yang menjadikan warna merah jambu begitu popular dalam bola sepak.

Para pemain kini lebih terbuka untuk memakai but yang lebih menonjol berbanding generasi terdahulu.

Namun sebab paling mudah mengapa syarikat-syarikat tersebut memilih warna merah jambu ialah disebabkan oleh kontrasnya dengan warna hijau padang.

Warna itu mudah menonjol sama ada ditonton melalui kaca televisyen, di stadium atau menerusi telefon bimbit.

But berwarna merah jambu juga mudah dilihat dalam rakaman gerak perlahan atau di bawah cahaya lampu stadium.

Ringkasnya, ia sangat menyerlah.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita