Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Mampukah sains rapatkan jurang antara jangka hayat dengan tempoh hidup sihat rakyat SG?

Singapura perlu memahami dengan lebih mendalam proses penuaan bagi mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal dan, jika boleh, memanfaatkan sains untuk mengalihkan tumpuan daripada merawat penyakit kepada pencegahan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Tan See Leng.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Aug 2026 11:02PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 07:46PM
SINGAPURA: Singapura perlu memahami dengan lebih mendalam proses penuaan bagi mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal dan, jika boleh, memanfaatkan sains untuk mengalihkan tumpuan daripada merawat penyakit kepada pencegahan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Tan See Leng.

Berucap dalam acara berhubung cara sains dan penyelidikan dapat menyokong usia panjang yang sihat pada Selasa (11 Ogos), Dr Tan berkata Singapura akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), di samping memperkukuh kerjasama antara para penyelidik, pakar klinikal dan syarikat.

“Sedang penduduk Singapura terus menua, tidak akan ada penemuan yang mampu mengubah usia panjang yang sihat dalam sekelip mata,” kata beliau.

“Kemajuan akan dicapai menerusi penemuan saintifik yang berterusan, penyelidikan yang teliti, kerjasama kukuh serta kesediaan untuk menterjemahkan pengetahuan kepada huraian yang dapat memperbaiki kehidupan masyarakat.”

BERAPA LAMA KITA KEKAL SIHAT?

Rakyat Singapura kini hidup lebih lama berbanding sebelum ini, namun ia tidak semestinya bermakna mereka menikmati kehidupan yang lebih panjang dalam keadaan sihat, menurut para pakar.

Jangka hayat penduduk Singapura meningkat kepada 83.9 tahun pada 2025, berbanding 83.7 tahun pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Wanita terus mencatat jangka hayat lebih panjang berbanding lelaki, dengan purata 86 tahun, berbanding 81.8 tahun bagi lelaki.

Namun, apabila seseorang hidup lebih lama, masalah kesihatan boleh bertambah - sekali gus mengalihkan tumpuan kepada jangka hayat sihat, iaitu jumlah tahun yang dilalui dalam keadaan sihat.

Kementerian Kesihatan (MOH) menganggarkan rakyat Singapura menikmati kira-kira 75 tahun dalam keadaan sihat.

Menurut kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS), jurang antara jangka hayat dengan jangka hayat sihat melebar lebih dua tahun antara 1990 dengan 2023. Wanita juga menghabiskan lebih banyak masa dalam keadaan kurang sihat berbanding lelaki.

Ini bermakna ramai rakyat Singapura mungkin menghabiskan masa hampir sedekad dalam kehidupan berdepan masalah kesihatan, dalam keadaan tubuh yang lemah atau tidak berupaya.

MENGAPA RAKYAT SG HIDUP LEBIH LAMA?

Antara sebabnya ialah masalah kesihatan yang berpotensi membawa maut kini dapat dikesan dan dirawat lebih awal.

Pengurusan penyakit kronik yang lebih baik dan sistem jagaan kesihatan yang lebih bersepadu turut membantu menangani penyakit seperti barah dan penyakit jantung, manakala kemajuan dalam bidang perubatan dan teknologi pula meningkatkan keupayaan mengesan penyakit pada peringkat awal.

Namun, meskipun perkembangan tersebut membantu seseorang hidup lebih lama, masalah kesihatan yang tidak membawa maut mungkin lebih sukar untuk ditangani.

Masalah kesihatan fizikal dan mental boleh bertambah sepanjang usia dewasa, sehingga menyebabkan kesakitan berpanjangan, ketidakupayaan dan mutu kehidupan yang lebih rendah.

Justeru, cabarannya adalah untuk mencegah atau melewatkan masalah tersebut supaya peningkatan jangka hayat turut disertai dengan peningkatan jangka hayat sihat.

DAPATKAH GAYA HIDUP BAWA PERUBAHAN?

Kajian selama 11 tahun yang melibatkan 5,409 rakyat Singapura menunjukkan bahawa tabiat seharian mempunyai kaitan dengan perbezaan usia biologi - penunjuk bagi seberapa cepat tubuh seseorang mengalami proses penuaan.

Kajian tersebut dijalankan para penyelidik dari Sekolah Perubatan NUS dan Institut Inovasi dan Teknologi Kesihatan NUS (iHealthtech), di bawah Kajian Penuaan Longitudinal Singapura (SLAS).

Tabiat merokok dan obesiti secara konsisten dikaitkan dengan usia biologi yang lebih tua.

Sebaliknya, bersenam secara kerap, mengambil makanan berasaskan tumbuhan dan meminum teh hijau dikaitkan dengan usia biologi yang lebih muda.

Kini terdapat alat-alat yang bertujuan memberi gambaran lebih jelas tentang bagaimana tubuh seseorang mengalami proses penuaan.

Salah satu alat penilaian tersebut, AgeQ, menggunakan keputusan ujian darah rutin untuk menganggarkan usia biologi seseorang. Ia dapat memberi penunjuk lebih awal berhubung potensi risiko kesihatan, selain menggalakkan orang ramai mengambil langkah untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka.

AgeQ dibangunkan berdasarkan kajian SLAS dan disahkan menggunakan data populasi di Amerika Syarikat dan Britain.

Dr Tan Min-Han, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pengasas syarikat kesihatan jitu Lucence Group, yang bekerjasama dengan penyelidik tempatan untuk membangunkan ujian tersebut, berkata pemahaman tentang usia biologi seseorang dapat menjadikan konsep penuaan sihat lebih mudah difahami.

“Ia sebenarnya memastikan seseorang mengambil tanggungjawab terhadap kesihatannya sendiri, dan ia bermula dengan memahami bagaimana dirinya mengalami proses penuaan,” tambah beliau.

Namun, beliau mengingatkan bahawa tiada satu ukuran yang dapat menggambarkan bagaimana setiap organ dalam tubuh mengalami proses penuaan.

“Kita harus berhati-hati apabila melihat kepada satu angka sahaja, berbanding melakukan penilaian yang lebih menyeluruh terhadap kesihatan kita,” kata beliau.

BAGAIMANA KITA BOLEH RAPATKAN JURANG JANGKA HAYAT DENGAN JANGKA HAYAT SIHAT?

Menurut pakar, beberapa kajian menekankan pentingnya menjaga kesihatan sejak usia muda, dan bukannya menunggu sehingga usia senja.

Ini termasuk mengamalkan pemakanan yang baik dan kekal aktif secara fizikal, di samping menguruskan tekanan dan kesejahteraan mental.

Kestabilan kewangan dan sokongan masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam membantu seseorang kekal sihat dan berdikari bagi tempoh lebih lama.

Penolong Profesor Cyrus Ho dari Sekolah Perubatan NUS berkata lebih banyak usaha untuk memperbaiki keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan serta membantu individu menguruskan tekanan boleh menyumbang kepada tahap kesihatan yang lebih baik.

Mempunyai keutamaan lain di luar pekerjaan juga penting, kata beliau, di samping kestabilan ekonomi dan tempat tinggal yang memadai, yang boleh memberikan kestabilan psikososial yang lebih baik.

“Orang ramai secara umumnya lebih peka terhadap kesihatan mereka, jadi mereka mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menjaga diri,” tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita