Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Khasiat jamu & masa depannya dalam arus moden

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Khasiat jamu & masa depannya dalam arus moden

Pelbagai jenis jamu. (Gambar: Canva)

Diterbitkan : 22 May 2026 09:22PM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 10:59PM
SINGAPURA: Sempena Hari Jamu Nasional Indonesia pada 27 Mei, warga Indonesia giat mempromosikan budaya meminum jamu sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat, memelihara kearifan tempatan serta meningkatkan kelestarian pengeluaran jamu tradisional sebagai potensi ekonomi Indonesia.

Hari tersebut juga mula diperingati sejak jamu diiktiraf sebagai kearifan tempatan milik Indonesia pada 27 Mei 2008, lapor detik.com.

Jamu secara rasmi juga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai Indonesia, yang diumumkan pada 6 Disember 2023 lalu, sekali gus menjadikannya warisan budaya tidak ternilai Indonesia yang ke-13 tersenarai dalam UNESCO, seperti dinukil erakini.id.

APA ITU JAMU?

Berasal daripada bahasa Jawa kuno “jampi” yang bermaksud doa atau ubat atau “usodo” iaitu kesihatan, jamu merupakan salah satu khazanah budaya Indonesia yang tidak ternilai dalam bentuk ramuan ubat tradisional yang digunakan secara turun-temurun sejak berabad-abad lamanya.
Related article image
Jamu. (Gambar hiasan: iStock)
Ramuan itu dikenali secara meluas sebagai kaedah untuk menjaga kesihatan, meningkatkan kecergasan, membantu mengatasi pelbagai masalah fizikal, meningkatkan daya tahan tubuh dan melegakan kesakitan.

Bagi sesetengah orang, jamu bukan sekadar minuman, malah mencerminkan kepakaran tempatan dalam memanfaatkan kekayaan alam sebagai huraian kesihatan.
Related article image
Ramuan bagu membuat jamu. (Gambar: Canva)
Secara ringkasnya, jamu ialah ubat tradisional Indonesia yang dirumus daripada bahan semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan mineral, serta diwariskan untuk tujuan rawatan dan penjagaan kesihatan, menurut detik.com

SEJARAH JAMU

Dipetik daripada laman rasmi Dinas Kesihatan Kabupaten Mojokerto, penetapan Hari Jamu Nasional Indonesia bermula disebabkan semakin pudarnya kewujudan jamu di Indonesia.

Ini sehinggalah pada 27 Mei 2008, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Negara menetapkan peringatan tersebut sebagai Hari Kebangkitan Jamu Indonesia, sekali gus mengiktiraf jamu sebagai kearifan tempatan.
Related article image
Penjual jamu di Indonesia. (Gambar: iStock/Lutfi Hanafi)
Pengiktirafan itu juga menjadi tanda bahawa kearifan tempatan milik Indonesia perlu dipertahankan kerana jamu merupakan minuman yang baik untuk kesihatan tubuh.

Encik Wira Hardiyansyah, iaitu pendidik warisan makanan, memberitahu Kompas.com: "Jejak perubatan warisan nenek moyang ini dapat dikesan sejak zaman prasejarah. Manusia purba sudah memanfaatkan tumbuh-tumbuhan sebagai ubat."

Encik Wira menjelaskan bukti kewujudan jamu sejak zaman prasejarah dapat dilihat menerusi alat batu pengisar untuk melumatkan biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan yang disimpan di Muzium Nasional, Jakarta.

Penggunaan tumbuh-tumbuhan sebagai ubat kemudian ditemui dalam manuskrip kuno abad kesembilan, khususnya selepas budaya penulisan semakin berkembang.

Sejak abad ke-17, penggunaan jamu mula dicatatkan dan menjadi tradisi turun-temurun.

Beliau menjelaskan bahawa dalam Serat Primbon Jampi Jawi yang ditulis sekitar abad ke-18 pada zaman Hamengkubuwono II, terkandung pelbagai jenis herba.

Dalam manuskrip tersebut dihuraikan bagaimana bahagian tumbuhan seperti daun, rizom, akar dan kulit kayu daripada pelbagai jenis tanaman diproses secara tradisional.

JENIS JAMU

Antara bahan yang sering digunakan ialah kunyit, halia, kencur, temulawak, asam jawa, serai, kayu manis dan madu.

Dipetik dari laman rasmi Universiti Brawijaya, jamu memiliki banyak jenis dan variannya bergantung kepada bahan yang digunakan atau khasiat yang diinginkan.
Related article image
Jamu. (Gambar: iStock)

Berikut beberapa jenis jamu yang popular di Indonesia:

1. Kunyit Asam

Diperbuat daripada kunyit, asam jawa, dan gula jawa, yang diyakini berkhasiat untuk menjaga kesihatan tubuh dan menguatkan sistem daya tahan tubuh.

2. Beras Kencur

Diperbuat daripada beras pulut, kencur, halia dan gula jawa, ia dikatakan berupaya membantu menghilangkan keletihan, melegakan sakit kepala dan meningkatkan selera makan.

3. Temulawak

Diperbuat daripada temulawak, halia dan gula jawa, ia bermanfaat untuk melegakan sakit perut, membantu penghadaman dan meningkatkan selera makan.

4. Beras Kencur Sirih

Diperbuat daripada beras pulut, kencur, daun sirih dan gula jawa, yang bermanfaat untuk melegakan batuk dan selesema serta menjaga kesihatan tubuh secara keseluruhannya.

5. Wedang Jahe

Diperbuat daripada halia, gula jawa dan air, ia bertujuan memanaskan badan, melegakan sakit kepala dan selesema serta menguatkan sistem daya tahan tubuh.

JAMU SEBAGAI GAYA HIDUP

Antara individu yang menghidupkan tradisi jamu di Singapura serta mendedikasikan lebih dua dekad untuk mengkaji, mengamalkan dan mengajar mengenai jamu ialah Encik Suryakenchana Omar.

Dalam catatan blog di laman MyLustre Singapore bertarikh 31 Ogos 2025, Encik Suryakenchana berkata bahawa jamu jauh lebih daripada sekadar minuman - ia merupakan cara hidup holistik yang dekat dengan alam semula jadi.

Related article image
Encik Suryakenchana Omar semasa mengadakan bengkel jamu. (Gambar: Facebook/Suryakenchana Omar)
“Jamu bukan sekadar resipi. Jamu ialah satu gaya hidup," kata Encik Suryakenchana, yang sejak zaman universitinya meneroka budaya Asia Tenggara, menemui akar warisan Jawa beliau, sehingga akhirnya menjadi antara segelintir tokoh yang menghidupkan semula tradisi jamu di sini.

Dalam catatan blog itu, beliau menjelaskan, walaupun minuman kunyit botol atau serbuk segera boleh disifatkan sebagai jamu, tradisi yang sebenar melibatkan pemahaman tentang tanah, mikroiklim, waktu tuaian, kaedah penyediaan dan juga konteks kesejahteraan spiritual semasa herba itu diambil.

Menerusi catatan blog itu juga, Encik Suryakenchana berkongsi bahawa ibunya memperkenalkan beliau kepada ritual seperti mandi bunga, kepentingan kalendar Jawa (weton), serta penggunaan jamu yang bukan sahaja untuk pemulihan tetapi juga bagi keseimbangan hidup seharian secara keseluruhan.

Bahkan semasa beliau membesar, beliau turut mengingati bagaimana beliau meminum beras kencur sebelum perlawanan ragbi atau latihan ketenteraan bagi meningkatkan tenaga, mempercepatkan pemulihan dan meninggalkan kesan bahawa rawatan semula jadi serta minuman herba boleh sama berkesan seperti suplemen moden.

TRADISI JAMU DI SG

Di Singapura, Encik Suryakenchana berkata jamu hampir-hampir lenyap.

Menjelang tahun 2010-an, hanya segelintir pengamal masih tinggal dan kebanyakan golongan muda mengaitkannya dengan pengalaman pahit jamu cekok semasa kecil.

Namun beliau melihat adanya sinar harapan selepas institusi seperti Taman Warisan Melayu mula mengundang beliau berkongsi pengetahuan. Anak-anak beliau sendiri malah mendekati jamu dengan cara berbeza - seorang menerusi penyelidikan saintifik, seorang lagi pula melalui seni persembahan.
Related article image
Seni persembahan membuat jamu. (Gambar: Facebook/Suryakenchana Omar)
Kerja saya sekarang adalah menjadikan jamu menarik semula," kata beliau, dalam catatan blog tersebut.

Menurut beliau, usaha menghidupkan semula jamu hanya akan mampan jika ia dihargai menerusi tiga teras utama, iaitu kesihatan, warisan dan pelancongan.

Dari segi kesihatan, beliau berkongsi ia boleh dipromosikan sebagai kaedah kesejahteraan menerusi rawatan semula jadi.

Dari aspek warisan pula, jamu memelihara identiti budaya dan pengetahuan tradisional, manakala dari segi pelancongan, jamu boleh diperkenalkan sebagai sebahagian pengalaman budaya Singapura yang rencam.

MASA DEPAN JAMU

Trend jamu moden di Singapura kini turut berkembang melalui kaedah seperti 'wellness shots' berasaskan kunyit dan halia dan produk kesihatan gaya hidup untuk pengguna muda.

Ini termasuk menjualnya dalam bentuk 'sachet' (uncang) yang lebih mudah dibawa, disimpan dan diminum pada bila-bila masa.

Namun, Encik Suryakenchana juga membayangkan pembinaan ekosistem jamu pada masa hadapan, di mana adanya lima aspek - huluan (upstream), penyelidikan, pengilangan, pendidikan dan masyarakat.

Huluan menggalakkan pertanian mampan dan penanaman herba ubatan, manakala penyelidikan mendorong makmal mengkaji fitokimia, toksikologi dan bioavailabiliti.

Pengilangan pula melibatkan pemprosesan dan pembungkusan produk herba yang selamat, sementara pendidikan boleh dilakukan menerusi bengkel, persembahan dan perkongsian budaya.

Dari segi masyarakat pula, kolektif seperti Jamu Makers Collective ditubuhkan bagi memastikan tradisi itu terus hidup dan mekar.

Menurut Encik Suryakenchana dalam catatan blog itu, Singapura mempunyai peluang unik sebagai titik pertemuan tradisi penyembuhan Melayu, Jawa dan Nusantara lain, dengan sokongan industri biosains bertaraf dunia.

Jika dilakukan dengan betul, jamu mampu berdiri setanding Perubatan Tradisional Cina (TCM) dan Ayurveda sebagai tradisi kesejahteraan global yang dihormati, tambah beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita