Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

jelasBERITA: Kenapa kita jadi tua? Saintis kaji punca, cara untuk lambatkan proses

Buat masa ini, cara terbaik yang boleh dilakukan untuk menua dengan baik adalah mengamalkan tabiat gaya hidup sihat, seperti senaman dan pemakanan yang baik.

Anggaran Waktu Membaca:

NEW YORK: Setiap tahun, perbelanjaan bagi rawatan "anti penuaan" dianggarkan mencecah AS$62 bilion (S$84 bilion). Sementara bahan-bahan seperti krim, pewarna rambut dan Botox boleh membuat seseorang itu nampak lebih muda daripada usia sebenarnya, namun ia tidak dapat memutar balik masa.

Para saintis sedang berusaha untuk memahami punca biologi penuaan dengan harapan suatu hari nanti dapat menawarkan cara untuk melambatkan atau menghentikan tanda-tanda yang boleh dilihat dan, lebih penting, penyakit berkaitan usia. 

Setakat ini, penyelidikan dijalankan pada haiwan, namun pakar secara beransur-ansur melanjutkannya kepada manusia. 

Para pakar berkongsi tentang ciri-ciri penuaan, bagaimana ia boleh membawa kepada penyakit dan bagaimana saintis cuba mengubah suainya. 

Banyak perubahan berkaitan usia bermula dengan sel kita, dan juga gen kita, yang mengalami kerosakan dan mula memberi masalah apabila kita meningkat tua.

1. MASALAH DENGAN DNA

Walaupun kita menganggap gen kita telah ditetapkan sejak lahir, profil DNA juga melalui perubahan tahun demi tahun. Mutasi juga boleh berlaku akibat pendedahan kepada  sekitaran, seperti sinaran ultraungu dari matahari.

Sel-sel kita mempunyai cara untuk membaiki mutasi genetik ini, tetapi ia menjadi kurang cekap dengan usia, yang bermakna kesilapan boleh berlaku. 

Para saintis tidak pasti mengapa mekanisme pembaikan DNA kita merosot mengikut usia.

Dalam senario terburuk, mutasi boleh berlaku pada gen yang mencegah tumor, yang menyebabkan barah.

2. MASALAH KROMOSOM

Setiap kali sel dalam tubuh kita menciptakan penggantinya sendiri (replicate) dan DNAnya disalin, hujung kromosom menjadi lebih pendek. Bahagian istimewa genom ini dipanggil telomer dan sering disamakan dengan penutup plastik di hujung tali kasut yang menghalangnya daripada terungkai.

Apabila telomer sel menjadi terlalu pendek, proses menambah sel berhenti. Keadaan ini sesuatu yang positif ketika kita masih muda, kerana ia membantu menghalang sel daripada terus-menerus bertambah dan menjadi barah. Tetapi seiring dengan peningkatan usia, ia menjadi masalah, terutamanya dalam sel tunjang, yang digunakan oleh badan untuk menambah kulit, darah dan tisu lain.

Kekurangan sel tunjang adalah penyumbang utama kepada beberapa tanda penuaan fizikal, termasuk uban dan kulit yang lebih nipis dan kurang anjal. Sesetengah produk penjagaan kulit mendakwa mampu menggantikan sel tunjang anda, tetapi buktinya adalah terlalu sedikit untuk mengesahkan sama ada ia benar-benar berkesan.

3. MASALAH EPIGENOME

Perubahan lain berlaku melalui apa yang dikenali sebagai epigenetik - pengubahsuaian kimia kepada genom yang mempengaruhi gen yang dihidupkan atau dimatikan dalam sel. Beberapa perubahan epigenetik berlaku secara semula jadi manakala yang lain disebabkan oleh persekitaran kita. Sesetengah pakar mengatakan bahawa perubahan epigenetik boleh digunakan untuk menentukan "umur biologi" seseorang.

Para saintis telah menemui banyak mekanisme epigenetik yang membantu mengawal aktiviti dan juga identiti sel kita yang mula merosot dengan usia. Jika ini berlaku dalam terlalu banyak sel, ia boleh menjejaskan kesihatan dan fungsi organ. 

Sebagai contoh, perubahan epigenetik dalam sel jantung boleh menyumbang kepada arteri yang menebal atau mengurangkan keupayaan jantung untuk bertindak balas secara positif terhadap senaman.

4. MASALAH DENGAN MITOCHONDRIA

Satu komponen penting bagi kesihatan sel ialah penghasilan tenaga, yang berasal dari mitokondria, juga dikenali sebagai loji kuasa sel. Apabila usia semakin meningkat, mitokondria juga berhenti berfungsi seperti sebelumnya, menjadi kurang cekap dan menghasilkan kurang tenaga.

"Jika anda tidak menjana tenaga yang mencukupi, secara tiba-tiba semua proses selular yang lain tidak akan berfungsi dengan cekap," kata Dr Eric Verdin, presiden Institut Buck mengenai Penuaan. 

Mitokondria yang rosak juga boleh bocor keluar dari sel, menyebabkan keradangan - satu lagi aspek penuaan yang dikaitkan dengan banyak keadaan kesihatan kronik.

Senaman yang kerap adalah salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan mitokondria.

Selain sel yang rosak disebabkan usia, cara badan melupuskannya juga menjadi tidak menentu.

1. MASALAH "HAPUSKAN' SEL ROSAK

Sel yang tidak lagi berfungsi dan mula mengeluarkan bahan kimia radang memberi isyarat kepada sistem imun untuk membuangnya.

Biasanya, ini bukan satu masalah dan bahagian penting dalam penggantian sel normal. Tetapi dengan meningkatnya usia, dua perkara berlaku. Pertama, terdapat lebih banyak sel yang perlu dibuang. Kedua, sistem 'pelupusan sel' mula rosak. Akibatnya, sel sedemikian  terkumpul, menyebabkan lebih banyak keradangan.

"Apabila kita masih muda, biasanya sistem imun kita dapat menanganinya," kata Matthew Kaeberlein, ketua pegawai eksekutif syarikat Optispan dan bekas pengarah Institut Kajian Penuaan Sihat Universiti Washington. 

"Tetapi apabila kita semakin tua, sebahagiannya disebabkan keradangan kronik, sistem imun kita tidak dapat melakukannya lagi. Jadi anda mendapat pengumpulan sel ini, yang kemudiannya mendorong lebih banyak kerosakan, lebih banyak keradangan, kurang fungsi imun."

Para saintis sedang meneroka cara untuk meningkatkan fungsi ini dengan kelas ubat dikenali sebagai senolitik, walaupun penyelidikan masih dalam peringkat awal.

2. MASALAH HAPUSKAN PROTEIN ROSAK

Kebanyakan sel menjalankan fungsinya melalui protein yang dicipta. Jika DNA diibaratkan sebagai pelan rumah, dan sel adalah pekerja binaan, maka protein adalah kayu, paku dan dinding kering.

Namun, adalah satu perkara biasa bagi protein menjadi kucar-kacir, dan terdapat banyak cara untuk membetulkannya. Tetapi, sekali lagi, proses tersebut mula merosot apabila kita semakin tua. Satu penyakit ketara yang dikaitkan dengan protein yang rosak ialah Alzheimer.

Pakar bersetuju bahawa terapi anti penuaan yang masih diuji belum lagi sedia untuk digunakan secara meluas.

Buat masa ini, cara terbaik yang boleh dilakukan untuk menua dengan baik adalah mengamalkan tabiat gaya hidup sihat, seperti senaman dan pemakanan yang baik.


Artikel ini disadur dari The New York Times.

Sumber : Agensi berita/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan