Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Gedung serbaneka makin berkurangan, adakah era penyewa utama sudah berakhir?

Pada zaman awal pembangunan pusat beli-belah di Singapura, gedung serbaneka sering menjadi sinonim dengan pusat beli-belah yang menjadi lokasi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Gedung serbaneka makin berkurangan, adakah era penyewa utama sudah berakhir?

Cawangan gedung serbaneka Metro di Causeway Point. (Gambar fail: laman web Metro)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 10:06AM
SINGAPURA: Pada zaman awal pembangunan pusat beli-belah di Singapura, gedung serbaneka sering menjadi sinonim dengan pusat beli-belah yang menjadi lokasi mereka.

Sebut sahaja The Centrepoint, ramai akan teringat akan Robinsons. Begitu juga dengan Ngee Ann City, yang sering dikaitkan dengan Takashimaya.

Namun, dengan Metro bakal menutup cawangannya di Paragon dan Causeway Point apabila tempoh sewanya tamat, para pakar runcit berkata penyewa utama tidak lagi menjadi tarikan utama seperti suatu ketika dahulu.

Daripada bergantung kepada satu penyewa utama untuk menarik orang ramai, pengendali pusat beli-belah kini semakin memberi tumpuan kepada gabungan premis makanan dan minuman (F&B), jenama gaya hidup serta penyewa hiburan bagi menarik para pengunjung.

Peranan penyewa utama turut berubah seiring dengan perubahan cita rasa pengguna, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Komersial CapitaLand Investment, Ervin Yeo.

Tambah beliau, kejayaan sesebuah pusat beli-belah kini bergantung kepada kekuatan gabungan penyewanya secara keseluruhan, dan bukan kepada mana-mana penyewa tunggal.

"Pembeli di Singapura hari ini lebih banyak keluar negara dan lebih arif dalam membuat pilihan, mereka mencari pengalaman membeli-belah yang lebih tersusun, berbeza dan berasaskan pengalaman. Pengendali pusat beli-belah juga kini lebih berkeupayaan untuk menyusun gabungan penyewa secara lebih strategik."

Menurut beliau, penyewa utama kini lebih berperanan membentuk identiti sesebuah pusat beli-belah berbanding menjadi tarikan utamanya.

PENYEWA UTAMA SUATU KETIKA DAHULU

Penyewa utama, seperti namanya, secara tradisi menjadi tunjang kepada sesebuah pusat beli-belah, kata Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Asia Tenggara, Dr Chua Yang Liang.

Gedung serbaneka, misalnya, membantu meningkatkan jumlah pengunjung selain mengukuhkan penjenamaan sesebuah pusat beli-belah.

Sebagai contoh, gedung serbaneka Jepun, Yaohan, merupakan penyewa utama bagi pusat beli-belah seperti Plaza Singapura dan Thomson Plaza dari tahun 1970-an hingga 1990-an.
Related article image
Apabila cawangan pertama Yaohan dibuka di Plaza Singapura pada 1974, ia menjadi pasar raya dan gedung serbaneka terbesar di Singapura. (Gambar fail: Mediacorp)
Apabila landskap runcit Singapura menjadi semakin berdaya saing dan para pengguna semakin berkemampuan, gedung serbaneka secara beransur-ansur kehilangan peranannya sebagai destinasi beli-belah sehenti.

"Jenama-jenama yang sebelum ini dijual menerusi gedung serbaneka kini menjual produk mereka secara langsung sama ada melalui kedai fizikal atau platform e-dagang," kata Dr Chua.

"Jadi, kepentingan gedung serbaneka pada hari ini semakin berkurangan," kata beliau, sambil menambah bahawa gedung serbaneka masih kekal relevan di beberapa segmen pasaran di Singapura.

Metro pada 20 Julai mengumumkan bahawa penutupan gedung serbanekanya dibuat selepas satu "semakan strategik" dijalankan terhadap operasi runcit syarikat itu bagi menyesuaikannya dengan perubahan cita rasa para pengguna, tabiat membeli-belah dan trend pasaran.

Tarikh operasi terakhirnya bagaimanapun belum diumumkan.

Pengunduran Metro merupakan yang terbaharu dalam siri penutupan melibatkan gedung serbaneka terkenal.

Isetan menutup cawangannya di Nex awal tahun ini selepas menamatkan operasi di Tampines Mall pada 2025, manakala BHG pula keluar dari Junction 8.

Kemerosotan gedung serbaneka mencerminkan perubahan lebih besar terhadap penakrifan para penyewa utama di pusat beli-belah.

"Hari ini, konsep penyewa utama juga telah berubah. Dahulu ia melibatkan penyewa yang jauh lebih besar, tetapi kini terdapat lebih banyak penyewa utama bersaiz lebih kecil dalam pusat beli-belah yang sama," kata Dr Chua.

Pertimbangan komersial turut mengubah peranan penyewa yang menggunakan ruang berskala besar.

Profesor Madya Adjung Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Lynda Wee, berkata antara kelemahan penyewa utama bersaiz besar ialah mereka lazimnya membayar kadar sewa yang lebih rendah bagi setiap kaki persegi kerana keluasan ruang yang digunakan.

Namun, memandangkan kebanyakan pusat beli-belah utama dimiliki oleh amanah pelaburan hartanah (REIT), para pelabur menjangkakan pengendalinya memaksimumkan pulangan, kata beliau.

Daripada bergantung kepada penyewa utama untuk menarik para pengunjung, tugas itu kini dipikul sendiri oleh pengendali pusat beli-belah.

Para pengendali pusat beli-belah kini mempunyai kad kesetiaan pelanggan yang membolehkan mereka mengumpul data dan menentukan jenis tawaran yang sesuai, manakala jenama runcit juga lebih peka terhadap pemasaran dan mampu menarik pelanggan sendiri.

"Peranan penyewa utama adalah untuk menarik orang ramai kembali ke pusat beli-belah. Cara untuk berbuat demikian ialah dengan memahami apa yang penting kepada mereka dan mengapa mereka mahu kembali," kata Dr Wee.

Beliau menambah: "Kini anda tidak lagi memerlukan penyewa utama untuk melakukan perkara itu. Anda boleh melakukannya sendiri."

PERANAN PENGENDALI PUSAT BELI-BELAH

Dalam landskap ini, para pakar berkata pengendali pusat beli-belah memainkan peranan strategik dalam menarik kehadiran pengunjung.

Ketua Pengurusan Runcit dan Ruang Kerja Lendlease, Jenny Khoo, berkata kejayaan sesebuah pusat beli-belah kini semakin bergantung pada gabungan penyewa yang "dirancang dengan teliti dan saling melengkapi", selaras dengan keperluan masyarakat setempat serta profil demografinya.

Jenis penyewa utama juga memainkan peranan penting.

Sebagai contoh, pasar raya menawarkan kemudahan dan menggalakkan kunjungan yang lebih kerap.

Sementara itu, penyewa dalam sektor hiburan, gaya hidup, kesejahteraan dan kecergasan pula mampu menggalakkan para pengunjung untuk meluangkan lebih banyak masa di pusat beli-belah dan kembali berkunjung, kata Cik Khoo.

Beliau menambah bahawa gedung serbaneka yang menawarkan pilihan produk yang unik dan tersusun masih mampu memberikan pengalaman membeli-belah yang dihargai para pengguna di kawasan tertentu.

"Gabungan yang paling sesuai akhirnya bergantung pada jenis aset, kawasan yang diliputinya serta perubahan cita rasa para pengunjung," kata beliau.

Jurucakap Frasers Centrepoint Trust pula berkata usaha menghidupkan suasana pusat beli-belah dan keupayaan mewujudkan pengalaman membeli-belah yang menarik serta pelbagai kini semakin menjadi faktor utama kejayaan sesebuah pusat beli-belah.
Related article image
Bahagian dalam gedung serbaneka Metro di Causeway Point pada 21 Julai 2026. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)
"Ini selaras dengan strategi pengurusan aset kami secara keseluruhan, di mana kami sentiasa menilai semula susun atur pusat beli-belah, gabungan penyewa dan penggunaan ruang. Dalam menyusun gabungan penyewa, penyewa utama juga dipilih dengan teliti," kata jurucakap itu.

Peranan pengendali pusat beli-belah menjadi lebih penting apabila penyewa utama yang sudah lama bertapak meninggalkan premis, sekali gus mewujudkan ruang kosong yang besar dan ketara.

Terdapat risiko terhadap reputasi sekiranya pengendali mengambil masa terlalu lama untuk mengisi ruang tersebut, kata Dr Chua dari JLL, sambil menambah ia boleh memberi tanggapan bahawa prestasi pusat beli-belah itu tidak memberangsangkan.

"Namun begitu, keadaan ini juga membuka peluang kepada pengendali untuk menjenamakan semula aset tersebut atau membahagikan ruang itu kepada unit-unit yang lebih kecil, yang mungkin mampu menjana kadar sewa lebih tinggi, tetapi pada masa yang sama melibatkan pertukaran penyewa yang lebih kerap serta kos operasi yang lebih tinggi," kata beliau.

Di Paragon, kajian daya maju sedang dijalankan bagi mengoptimumkan dan menyusun semula beberapa kawasan secara terpilih, termasuk ruang yang kini diduduki Metro, kata Encik Yeo dari CapitaLand.

CapitaLand Integrated Commercial Trust baru-baru ini mengambil alih pusat beli-belah itu menerusi urus niaga bernilai S$3.9 bilion.

Beliau berkata Metro turut menyatakan minat untuk terus beroperasi di Paragon menerusi konsep kedai runcit baharu, dan perbincangan masih dijalankan.

Menurut Encik Yeo, apabila menilai mana-mana ruang berskala besar, perancangan bermula dengan menentukan kedudukannya dalam pusat beli-belah serta kesesuaiannya dengan kawasan sekitar.

"Bergantung pada kesesuaian, ia mungkin melibatkan pengenalan penyewa utama baharu yang berskala besar, mengecilkan saiz penyewa utama sedia ada, atau membahagikan ruang kepada gabungan konsep yang lebih kecil yang secara bersama mampu menjadi tarikan kepada para pengunjung," kata beliau.

Di Junction 8, bekas ruang BHG kini menempatkan beberapa jenama termasuk Uniqlo dan jenama kelengkapan rumah dari Jepun, Nitori, bersama gabungan kedai kecantikan dan kesejahteraan.

Di Tampines Mall, pelan pembaharuan sudah pun dimulakan sebelum Isetan menutup operasinya, kata Encik Yeo. Beliau menambah, inisiatif menaik taraf aset bernilai S$24 juta yang dijadual siap pada suku keempat tahun ini akan memperbaharui persekitaran pusat beli-belah tersebut.

Jurucakap Frasers berkata pengumuman Metro untuk keluar dari Causeway Point selaras dengan rancangan pengendali itu untuk melaksanakan inisiatif menaik taraf aset pada tahun depan.

Menurutnya, pihaknya sedang berbincang dengan Metro berhubung aturan masa depan, termasuk peluang untuk memperkenalkan konsep-konsep runcit yang "baharu dan menarik".

"Kami juga sedang meneliti pembahagian ruang penyewa utama sedia ada, yang akan membolehkan kami memperbaharui tawaran pusat beli-belah serta memperluaskan pilihan runcit untuk para pengunjung dalam kategori makanan dan minuman, gaya hidup serta hiburan," tambah jurucakap itu.

Di Nex, jumlah pengunjung kekal kukuh selepas Isetan menamatkan operasinya pada April, tambah jurucakap tersebut.

"Fasa pertama melibatkan penyusunan semula ruang yang sebelum ini menempatkan Isetan merentasi beberapa tingkat bagi memberi laluan kepada konsep-konsep kedai yang lebih baharu dan segar."

PENYEWA UTAMA BAHARU

Jika gedung serbaneka tidak lagi menjadi penyewa utama pilihan, bagaimana sesebuah pusat beli-belah kekal menonjol?

Menurut para pakar, jawapannya tidak semestinya dengan menggantikan gedung serbaneka tersebut dengan sebuah lagi peruncit berskala besar, tetapi menawarkan sesuatu yang memberi sebab kepada orang ramai untuk datang dan kembali berkunjung.

Sebagai contoh, ION Orchard tidak bergantung pada gedung serbaneka tradisional. Sebaliknya, ia mempunyai beberapa butik dua tingkat di aras pertama yang secara bersama menjadi tarikan kepada para pengunjung.

Medan selera di ruang bawah tanah serta ION Art di tingkat empat turut menambah keunikan pusat beli-belah itu.

"Jadi, daripada bergantung pada satu penyewa utama yang besar, kini kami beralih kepada penyewa utama sekunder, atau apa yang kami panggil konsep kedai utama (flagship store)," kata Dr Wee.

Para pakar bersetuju bahawa dengan kemerosotan sektor runcit fizikal akibat peningkatan e-dagang, penyewa utama generasi baharu akan lebih tertumpu kepada konsep yang berasaskan pengalaman dan gaya hidup.

Menurut Encik Yeo dari CapitaLand, antara contohnya termasuk destinasi sukan dan kesejahteraan, ruang hiburan dan kebudayaan, serta pengalaman jenama utama yang lebih interaktif.

Sebagai contoh, kemudahan memanjat tembok di Kallang Wave Mall dan Funan, serta Yamaha dan Spotlight di Plaza Singapura merupakan antara jenis penyewa utama yang menyumbang kepada identiti unik pusat beli-belah berkenaan, kata beliau.

Dr Chua pula berkata kemunculan pasar raya premium yang digabungkan dengan konsep makanan dan minuman, taman permainan dalaman, serta studio yoga dan pilates merupakan contoh penyewa utama yang semakin mendapat tempat di pusat beli-belah.

Perubahan peranan penyewa utama juga mencerminkan perubahan lebih besar terhadap fungsi pusat beli-belah.

Beliau menarik perhatian kepada trend perpustakaan yang kini disepadukan ke dalam pusat beli-belah.

"Perpustakaan kini memainkan peranan itu dalam pusat beli-belah, sekali gus menjadikannya lebih menyerupai sebuah pusat bandar. Ia turut mempunyai unsur sosial," kata beliau.

Dr Wee berkata jawapan kepada persoalan bagaimana pusat beli-belah boleh terus menarik pengunjung secara konsisten mungkin terletak pada jenama yang memenuhi keperluan gaya hidup.

"Apa yang akan membawa saya ke pusat beli-belah bukan lagi semata-mata untuk membeli-belah. Ia juga bukan sekadar untuk makan," kata beliau. "Saya fikir, selain konsep penyewa utama, pusat beli-belah pada masa depan akan berubah menjadi pusat gaya hidup."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita