Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Berapa jumlah garam dikira terlalu banyak? Pakar menjawab soalan mengenai sodium

Anggaran Waktu Membaca:
  jelasBERITA: Berapa jumlah garam dikira terlalu banyak? Pakar menjawab soalan mengenai sodium

Berapa jumlah garam dikira terlalu banyak? Pakar menjawab soalan mengenai sodium. (Gmbar: The New York Times/ Tyler Comrie)

Diterbitkan : 24 Mar 2024 12:06PM Dikemas Kini : 24 Mar 2024 12:09PM
NEW YORK: Tanpa sodium, anda tidak dapat hidup. Saraf tidak dapat berfungsi dengan baik; otot tidak akan dapat mengecut.

Namun para pakar berkata kebanyakan orang yang mengambil sodium dalam jumlah yang terlalu tinggi, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Meskipun demikian, sejak beberapa dekad lalu, para pengkaji berbeza pendapat tentang jumlah sodium yang dikatakan tinggi. Malahan sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa garis panduan pihak persekutuan Amerika Syarikat mengenainya, terlalu ketat.

Kajian-kajian terkini menjelaskan kekeliruan itu, kata Dr Lawrence Appel, seorang profesor di Sekolah Perubatan Universiti John Hopkins.

BAGAIMANA SODIUM JEJAS KESIHATAN?

Kajian saintifik sejak kira-kira 50 tahun lalu menunjukkan corak yang jelas: "Lebih banyak garam diambil, lebih tinggi tekanan darah kita," kata Cheryl Anderson, seorang profesor kesihatan awam di University California, San Diego.

Misalnya, dalam satu semakan ke atas 85 ujian klinikal pada tahun 2021, para saintis melihat apa yang berlaku kepada tekanan darah seseorang apabila dia makan 400 hingga 7,600 miligram sodium setiap hari, menurut laporan New York Times.

Apabila pengambilannya meningkat, begitu juga tekanan darah mereka, menurut para pengkaji.

Kesannya paling ketara bagi mereka yang memang sudah mengalami tekanan darah tinggi tetapi para pengkaji juga melihat keadaan itu pada mereka yang tiada isu tekanan darah tinggi.

Menguruskan tekanan darah tinggi adalah salah satu perkara penting yang boleh anda lakukan untuk mengurangi risiko penyakit jantung atau serangan angin ahmar, kata Dr Anderson.

Hampir separuh orang dewasa di Amerika Syarikat mengalami tekanan darah tinggi, lapor New York Times.

Menurut para pengkaji, dalam banyak masalah berkait pemakanan kita, sodium adalah yang paling berbahaya kepada kesihatan global. Pengambilan garam berlebihan menyebabkan hampir dua juta kematian setiap tahun, sebahagian besarnya kerana penyakit kardiovaskular.
BERAPA BANYAK SODIUM DIANGGAP TERLALU BANYAK?

Menurut panduan pemakanan Amerika Syarikat, orang dewasa tidak seharusnya mengambil lebih 2,300 miligram atau kira-kira satu sudu teh garam sehari.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Antarabangsa Tekanan Darah Tinggi pula mengatakan jumlahnya tidak boleh lebih daripada 2,000 miligram sehari.

Persatuan Jantung Amerika menyatakan meskipun tidak lebih 2,300 miligram sehari adalah sasaran yang baik, lebih baik lagi jika garam tidak diambil melebihi 1,500 miligram sehari, terutama sekali jika anda mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Panduan ini berdasarkan bukti terbaik sedia ada berkaitan tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, kata Dr Frank Hu, profesor khasiat dan epidemiologi di Sekolah Kesihatan Awam TH Chan Harvard.

Sungguhpun demikian, tidak semua pakar bersetuju, menurut New York Times.

Dalam beberapa kajian yang sudah diterbitkan dalam tempoh sedekad yang lalu, contohnya, para pengkaji melaporkan hanya orang-orang yang mengambil terlalu banyak garam - sekitar 5,000 miligram sehari - berisiko lebih tinggi diserang sakit jantung atau mati lebih awal.

Dapatan tersebut membayangkan bahawa panduan sodium oleh pertubuhan-pertubuhan kesihatan terlalu ketat, kata Dr Martin O'Donnell, profesor perubatan neurovaskular di Universiti Galway di Ireland.

Perspektif itu menarik begitu banyak perhatian, kata Dr Appel.

Namun para pengkaji lain mengesan kelemahan-kelemahan serius dalam kajian sedemikian; dengan isu utama adalah ia tidak dapat dengan tepat mengira berapa jumlah sodium yang diambil, tambah beliau.

Dalam analisis tahun 2022, Dr Hu dan rakan sekerjanya mengumpulkan keputusan daripada kajian yang menggunakan kaedah lebih teliti. Daripada 10,700 orang dewasa yang dikaji selama hampir sembilan tahun, kebanyakan mereka mengambil antara 2,250 dengan 5,250 miligram garam sehari.

Para pengkaji mendapati mereka yang mengambil jumlah sodium paling rendah mempunyai risiko rendah mengalami sakit jantung.

Begitu pula sebaliknya. Risiko mengalami sakit jantung meningkat dengan pengambilan sodium yang lebih tinggi, menurut dapatan garis panduan Amerika Syarikat.
JADI, HARUSKAH SAYA KURANGKAN SODIUM?

Jika anda ada masalah tekanan darah tinggi, mengurangkan pengambilan sodium berkemungkinan besar membantu mengurangkannya, kata Dr Deepak K. Gupta, seorang pakar kardiologi di Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt di Nashville.

Ini dapatan bagi banyak kajian, termasuk kajian tahun 2023 yang diterajui Dr Gupta. Ia menunjukkan, bagi kebanyakan orang pemakanan rendah sodium mengurangkan tekanan darah sebaik makan ubat-ubatan.

Namun anda tidak harus menunggu sehingga mengalami tekanan darah tinggi sebelum memikirkan tentang pengambilan sodium, kata Alta Schutte, seorang profesor perubatan kardiovaskular di Institut George bagi Kesihatan Global di Australia.

Sodium berlebihan sepanjang hayat boleh, secara bertahap-tahap, merosakkan pembuluh darah dan akhirnya menyebabkan tekanan darah tinggi. "Ia adalah kesan kumulatif," kata beliau.

BAGAIMANA HENDAK TAHU JIKA SAYA AMBIL JUMLAH SODIUM YANG BETUL?

Purata orang dewasa di Amerika Syarikat mengambil sekitar 3,500 miligram sodium sehari.

Mungkin sukar untuk mengurangkannya kepada 2,300 miligram sehari tanpa membuat perubahan drastik kepada pemakanan.

Sukar juga untuk mengetahui sama ada anda sudah mengambil sodium berlebihan kerana tiada cara mudah untuk mengiranya.

Namun, ini bukan masalah yang tiada huraiannya. Sebarang pengurangan dalam jumlan sodium boleh membantu kebanyakan orang.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita