Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Benarkah kurang tidur boleh tingkatkan risiko demensia?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Benarkah kurang tidur boleh tingkatkan risiko demensia?

Pelbagai faktor boleh mempengaruhi kualiti tidur. (Gambar hiasan: iStock)

NEW YORK: Kurang tidur semasa usia senja kini dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit Alzheimer.

Walaupun para saintis yakin terdapat hubungan antara tidur dan demensia, kaitannya dianggap rumit. Mungkin tidur yang kurang baik mencetuskan perubahan pada otak yang menyebabkan demensia. Atau tidur yang mungkin terganggu disebabkan oleh masalah kesihatan sedia ada yang turut menjejaskan kesihatan otak. Dan perubahan pada corak tidur boleh menjadi tanda awal demensia itu sendiri.

Begini cara pakar berfikir tentang pelbagai kaitannya dan cara mengukur risiko anda berdasarkan tabiat tidur anda sendiri.

TERLALU KURANG TIDUR

Tidur bertindak seperti mandi malam untuk otak, membersihkan sisa selular yang terkumpul pada siang hari. Semasa proses ini, cecair yang mengelilingi sel-sel otak membuang sisa molekul dan memindahkannya ke dalam aliran darah, di mana ia kemudiannya ditapis oleh hati dan buah pinggang dan dikeluarkan dari badan.

Sisa itu termasuk protein amyloid, yang dianggap memainkan peranan penting dalam penyakit Alzheimer. Otak setiap orang menghasilkan amiloid pada siang hari, tetapi masalah boleh timbul apabila protein terkumpul menjadi gumpalan melekit, yang dipanggil plak. Semakin lama seseorang terjaga, semakin banyak amiloid terkumpul dan semakin sedikit masa untuk otak menghapuskannya.

Para saintis tidak tahu sama ada kerap kurang tidur - biasanya dianggap enam jam atau kurang daripada itu setiap malam - sudah cukup untuk mencetuskan pengumpulan amiloid dengan sendirinya. Tetapi kajian mendapati bahawa dalam kalangan orang dewasa berumur 65 hingga 85 tahun yang sudah mempunyai plak dalam otak mereka, semakin kurang tidur mereka, maka semakin banyak amiloid dan semakin teruk kognisi mereka.

“Adakah kurang tidur sudah cukup untuk menyebabkan demensia? Mungkin bukan dengan sendirinya,” kata Dr Sudha Seshadri, pengarah pengasas Institut Glenn Biggs untuk Penyakit Alzheimer dan Neurodegeneratif di Pusat Sains Kesihatan Universiti Texas di San Antonio. "Tetapi nampaknya ia pasti menjadi faktor risiko untuk meningkatkan risiko demensia, dan mungkin juga kemerosotan yang sangat ketara."

Orang yang menghidap penyakit Alzheimer mungkin mula mengalami gejala pada usia 60-an atau 70-an tahun, tetapi amiloid boleh mula terkumpul sehingga dua dekad lebih awal. Itulah sebabnya mengapa penting untuk mengutamakan tidur, menyasarkan tujuh hingga sembilan jam setiap malam, bermula pada usia 40-an atau 50-an tahun, jika tidak sebelum ini, kata Joe Winer, zamil neurologi dan sains saraf di Pusat Tidur dan Sains Sirkadian di Universiti Stanford.

"Kami tidak mempunyai jawapan yang hebat, seperti, adakah tidur anda dalam usia 20-an tahun memberi kesan kepada risiko lewat hayat anda?" kata Dr Winer.

"Tetapi saya fikir tanda-tanda itu menunjukkan mungkin pada pertengahan usia, apabila anda menuju ke arah 60-an dan 70-an tahun, tidur anda akan menjadi penting."

Sesetengah gangguan tidur, terutamanya apnea tidur, juga dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia. Ini mungkin kerana apnea tidur mengganggu tidur seseorang, atau kerana ia cenderung berlaku pada orang yang berlebihan berat badan atau menghidap diabetes (kencing manis), yang juga dikaitkan dengan demensia.

Tetapi walaupun anda mengetepikan kesan isu-isu lain ini, apnea tidur nampaknya memberikan risiko tersendiri yang bebas untuk demensia, kata Dr Diego Carvalho, penolong profesor neurologi di Pusat Perubatan Tidur Klinik Mayo. Ini mungkin kerana apnea tidur menghadkan jumlah oksigen yang sampai ke otak, yang boleh meningkatkan keradangan otak dan merosakkan saluran darah dan sel.

TERLALU BANYAK TIDUR

Di hujung spektrum yang lain, terlalu banyak tidur juga nampaknya dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia, walaupun mungkin secara tidak langsung.

Jika seseorang itu kerap berbaring di atas katil selama lebih daripada sembilan jam setiap malam, atau beberapa kali tidur pada siang hari, ini mungkin tanda bahawa mereka kurang tidur, yang boleh meningkatkan risiko penyakit Alzheimer kerana sebab-sebab yang disenaraikan di atas.

Sebagai alternatif, memerlukan tidur yang berlebihan mungkin berkaitan dengan kecacatan mental atau fizikal. Keadaan kesihatan mental, seperti kemurungan, dan keadaan kesihatan fizikal, seperti diabetes atau masalah kardiovaskular, dikaitkan dengan risiko demensia yang lebih tinggi, seperti ketidakaktifan fizikal, kesunyian dan pengasingan.

"Pada ketika ini, tidak ada penyebab jelas tidur panjang dalam kaitannya dengan demensia," kata Dr Carvalho. "Ia mungkin lebih seperti gejala masalah asas daripada punca masalah itu."

SIMPTOM AWAL?

Beberapa bahagian pertama dalam otak yang terjejas oleh Alzheimer adalah yang membantu mengawal tidur dan irama sirkadian.

Akibatnya, orang yang mengalami keadaan ini mungkin mengalami masalah tidur walaupun sebelum mereka menunjukkan tanda-tanda kehilangan daya ingatan atau gejala lain.

Bersama-sama dengan amiloid, protein utama lain yang dianggap boleh menyebabkan penyakit Alzheimer dipanggil tau.

Seperti amiloid, tau juga terkumpul di dalam otak, akhirnya merosakkan sel-sel otak. Salah satu tempat pertama pembentukan tau "adalah bahagian batang otak (brainstem) yang penting untuk mengawal tidur dan bangun tidur," kata Dr Winer.

"Jadi kami fikir bahawa tau muncul di bahagian ini pada awal-awal lagi akan mengganggu kitaran tidur dan bangun tidur seseorang."

Masalah tidur juga boleh menjadi tanda awal jenis demensia biasa yang lain. Dalam demensia badan Lewy dan demensia penyakit Parkinson, sebagai contoh, tidur pergerakan mata yang cepat kadang-kadang terganggu, menyebabkan seseorang bermimpi dalam tidur - sesuatu yang mungkin diperhatikan oleh pasangan anda, kata Dr Seshadri.

"Biasanya, apabila anda mempunyai pergerakan mata yang cepat ketika itu, inilah masa apabila nada otot badan turun hampir kepada sifar, dan otot tidak bergerak," jelasnya. "Dalam gangguan tingkah laku REM, nada otot ini hilang, dan oleh itu otot sebenarnya bergerak seperti anda dalam mimpi anda."

Para pakar mengatakan bahawa adalah satu perkara biasa bagi orang dewasa yang lebih tua untuk kurang tidur selepas bersara, atau bangun dan tidur lebih awal atau lewat daripada biasa. Tetapi jika terdapat perubahan dramatik, anda harus berjumpa doktor atau pakar tidur.

"Jika seseorang bangun pada pukul 2.00 pagi atau 3.00 pagi, atau tidur selama tiga jam pada siang hari, itu membimbangkan," kata Dr Seshadri.

"Jika seseorang bangun sejam lebih awal daripada biasa dan mungkin tidur siang 30 hingga 60 minit pada siang hari, itu lebih berkemungkinan hanya penuaan biasa."
Sumber : AGENCIES/AT/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita