jelasBERITA: Apa itu kayap ular? Betulkah boleh bawa maut?

Gambar: iStock
Ini mencetuskan rasa cemas dan takut dalam kalangan mereka yang dijangkiti kayap, yang juga dikenali sebagai 'shingles' atau nama saintifiknya 'herpes zoster'. Dalam kalangan masyarakat Melayu, penyakit itu biasanya dipanggil kayap ular.
Apabila dijangkiti, seseorang akan mengalami ruam merah serta luka menggelembung pada bahagian kulit badan. Sakitnya dibayangkan sebagai bukan kepalang!
Namun, betulkah kayap boleh bersambung dan pasti membawa maut? apakah pula punca virus itu, gejalanya dan cara merawatnya?
APA PUNCA KAYAP?
Kayap ular terjadi disebabkan oleh virus 'Varicella-zoster' iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air atau 'chicken pox'.
Sesiapa yang dijangkiti cacar air boleh mendapat jangkitan kayap ular.
Selepas pesakit pulih daripada jangkitan cacar air dan tidak dirawat dengan sempurna, virus yang masih hidup dan berbaki boleh memasuki sistem saraf pesakit dan kekal tidak aktif selama bertahun-tahun.
Akhirnya, apabila daya tahan bekas pesakit cacar air ini menjadi lemah semula, virus tersebut akan menjadi aktif semula dan bergerak sepanjang laluan saraf pada kulit, dan menyebabkan lepuhan dan kayap.
Menurut Raffles Medical Group, dianggarkan bahawa satu di antara lima orang yang pernah menghidap cacar air, mengalami kayap pada usia dewasa.

Kejadian kayap ini juga boleh berulang.
KAYAP ATAU KAYAP ULAR? BOLEH BAWA MAUT?
Pergerakan sepanjang saraf itu ibarat ular yang membelit, lalu dinamakan kayap ular. Kayap ini biasanya akan menyerang satu saraf pada satu bahagian badan sahaja.
Setiap akar saraf mempunyai dua set yang sama untuk memberikan deria sentuhan pada kedua-dua belah kiri dan kanan bahagian badan.
Maka, apabila virus tadi kembali aktif, kayap ular hanya terjadi di sebelah kiri atau kanan bahagian kecil badan sahaja, bergantung kepada saraf mana duduknya virus tersebut.
Lantaran itu, agak mustahil untuk kayap ular mengelilingi badan kita, menurut pakar perubatan dari Malaysia, Dr Ahmad Samhan, menerusi akaun TikTok beliau.
Ia biasanya melibatkan bahagian dada dan muka. Ada segolongan kecil pesakit mungkin mengalami kayap ular di lebih daripada satu bahagian badan tetapi tidak mungkin di kiri dan kanan serentak. Ia takkan bersambung.
Maka terbukti, kepercayaan bahawa kayap ular boleh membawa maut adalah mitos!

ADAKAH IA VIRUS YANG BERJANGKIT?
Secara amnya, kayap bukanlah penyakit yang dianggap sebagai boleh berjangkit. Bahkan, ia dianggap kurang berjangkit berbanding cacar air.
Sekalipun demikian, virus itu masih boleh merebak jika ruam berada di dalam keadaan yang melepuh. Lepuh yang pecah boleh menjangkiti mereka yang lebih mudah terjejas.
Ini termasuk kanak-kanak, orang tua, mereka yang menghidapi penyakit kronik lain serta mereka yang belum pernah menghidap cacar air.
GEJALA YANG BOLEH DIPERHATIKAN
Justeru itu, penting untuk mengenal pasti gejala-gejalanya supaya ia boleh dirawat dengan segera.
Penyakit itu sering bermula dengan rasa sakit, gatal-gatal dan berdenyut-denyut pada sebahagian badan.
Ruam dan lepuh atau luka menggelembung yang dipenuhi cecair pula akan muncul beberapa hari kemudian. Bahagian kulit itu juga akan mula rasa sensitif jika disentuh.
Kayap sering diperhatikan di bahagian tepi badan, seperti dada. Namun, ia juga boleh melibatkan bahagian kepala, muka dan mata.
Lepuh yang muncul pula akan mula berkudis selepas tujuh hingga 10 hari.
Segolongan lain yang menghidap kayap juga mungkin akan mengalami gejala berikut:
- demam
- sakit kepala
- sakit perut
- keletihan
- kesejukan sehingga menggigil
- sensitif kepada cahaya
RAWATAN
Pengesanan awal juga dapat membantu usaha merawat penyakit itu.
Kayap boleh dirawat melalui rawatan antivirus, yang paling berkesan jika diberikan dalam masa 72 jam selepas timbulnya ruam.
Untuk mengurangkan tahap teruk dan kesakitan penyakit itu, rawatan antivirus biasanya diberikan kepada individu yang terjejas.
Analgesik dan kortikosteroid juga antara ubat yang biasa digunakan untuk melegakan rasa tidak selesa yang berkaitan dengan kayap.
BAGAIMANA MENGELAK KAYAP?
Mengurangkan tekanan serta menjalani gaya hidup yang lebih sihat, seperti diet yang kaya dengan khasiat serta kerap melakukan senaman, dapat membantu meningkatkan daya imun, sekaligus mencegah virus itu.
Namun, cara yang lebih berkesan lagi adalah vaksinasi.
Vaksinasi bagi kayap digalakkan oleh Persatuan Penyakit Berjangkit Singapura (SIDS) bagi golongan dewasa yang lebih tua.
Terdapat dua jenis vaksin kayap:
- Zostavax, vaksin yang mengandungi versi lemah virus itu
- Shingrix, vaksin yang tidak mengandungi virus

Sekalipun demikian, memandangkan Zostavax merupakan vaksin hidup, ia tidak disyorkan bagi golongan yang mengalami gangguan imun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.