Skip to main content

Gaya Hidup

jelasBERITA: Adakah pemanis tiruan lebih selamat berbanding gula?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Adakah pemanis tiruan lebih selamat berbanding gula?

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 21 Jul 2024 03:15PM Dikemas Kini : 21 Jul 2024 03:49PM
NEW YORK: Ketika pemanis tiruan diperkenalkan ke dalam pasaran Amerika Syarikat pada 1950-an, syarikat-syarikat pembuat makanan mendakwa bahawa ia dapat memuaskan mereka yang suka memakan manisan tanpa kesan negatif terhadap kesihatan serta kalori daripada gula.

Kini pemanis tiruan dan pengganti gula yang lain lebih mudah untuk ditemui di dalam bekalan makanan. Ini termasuk pelbagai produk seperti minuman gas diet, kepingan roti, yogurt kurang gula serta kopi!

Namun, isu mengenai pengganti gula terus dipersoalkan selama beberapa dekad, dengan para saintis dan pegawai kesihatan awam mencadangkan bahawa ia mungkin menimbulkan beberapa risiko kesihatan yang tersendiri.

Kajian mengenai bagaimana pengganti gula memberi kesan kepada badan kita masih berada di tahap awal, rumit dan kadangkala bercanggah, menurut laporan New York Times.

"Ia belum dikaji secara mendalam pada manusia," kata Dr Dariush Mozaffarian, seorang pakar kardiologi dan pengarah di Institut 'Food is Medicine' di Universiti Tufts.

Jadi bagaimanakah cara untuk menilai potensi risiko atau manfaat pengganti gula ini?

APA ITU PENGGANTI GULA?

Pengganti gula termasuk pelbagai bahan yang rasanya manis, namun tidak mengandungi kalori sebanyak yang ditemui pada gula. Adakalanya, ia juga jauh lebih manis berbanding gula, jadi hanya sedikit sahaja yang diperlukan.

Bahan-bahan ini digunakan untuk menimbulkan rasa manis dalam pelbagai makanan dan minuman yang "tiada gula" dan "diet", termasuk minuman tenaga, gula-gula serta manisan-manisan beku.

Sebilangan besar juga dijual sebagai produknya tersendiri, dalam bentuk serbuk atau cecair.

Pengganti gula ini sering dibahagikan mengikut cara ia dibuat:

Pemanis tiruan adalah pemanis makanan sintetik yang sekitar 200 hingga 20,000 kali jauh lebih manis berbanding gula biasa, menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA).

Sejak 1970-an, agensi itu telahpun meluluskan enam pemanis tiruan: Aspartame (yang dijual bawah jenama-jenama NutraSweet dan Equal), sucralose (Splenda), saccharin (Swwt'N Low), acesulfame potassium (Sweet One, Sunett), neotame (Newtame) dan advantame.

Pemanis yang diperbuat daripada tanam-tanaman dan buah-buahan pula sekurang-kurangnya 100 kali lebih manis berbanding gula, menurut FDA. Ini termasuk ekstrak daripada pokok stevia (Truvia, Pure Via, Enliten) dan buah biksu Cina (monk fruit).

Thaumatin, sebuah pemanis kurang kalori yang kurang ditemui dan dijual di bawah nama Talin, diperbuat daripada buah katemfe Afrika Barat. FDA sering mengenal pasti bahan-bahan pemanis ini sebagai bahan yang selamat, jadi ia boleh digunakan oleh syarikat pembuat makanan dalam makanan dan minuman mereka.

Alkohol gula, yang bukan gula mahupun alkohol, merupakan karbohidrat yang manis, namun mempunyai kalori (dan karbohidrat) yang lebih kurang berbanding gula. Mereka dinamakan sebagai sorbitol, xylitol, mannitol serta erythritol dan boleh didapati secara semula jadi daripada beberapa buah-buahan dan sayuran termasuk nanas, prun, dan cendawan. Jenis yang digunakan dalam produk yang dibungkus pula dihasilkan secara sintetik dan diluluskan oleh FDA untuk digunakan sebagai pengganti gula.

APAKAH MANFAAT DAN RISIKONYA?

Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan jika anda sering meminum minuman yang manis akibat penggunaan gula seperti air gas atau teh yang manis, menukar kepada versi yang diet dapat membantu mengurangkan sedikit berat badan, asalkan anda tidak memakan kalori tambahan daripada sumber lain, menurut Maya Vadiveloo, profesor madya bagi pemakanan di Universiti Rhode Island.

Dalam satu semakan terhadap 12 kajian klinik pada 2022 sepanjang enam minggu, para pengkaji membuat kesimpulan bahawa menukar kepada minuman yang manis akibat gula kepada minuman dengan pemanis yang tidak mengandungi kalori atau kalori yang lebih rendah, dapat mengurangkan berat badan dalam kalangan dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, atau mereka yang berisiko untuk mendapatkan kencing manis.

Namun, kajian jangka panjang mengenai pengganti gula tidak menemui faedah penurunan berat badan, malah ada kemudaratan, lapor New York Times.

Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)pada 2023 mengesyorkan supaya orang ramai mengelak daripada menggunakan pengganti gula untuk mengawal berat badan atau kesihatan yang lebih baik, memetik kajian yang mengaitkan mereka dengan risiko yang lebih besar terhadap masalah kesihatan seperti kencing manis Jenis 2, penyakit kardiovaskular, obesiti dan kematian lebih awal.

Alkohol gula erythritol dan xylitol juga telah dikaitkan dengan risiko lebih besar serangan jantung dan strok.

Bagaimanapun, sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh daripada kajian-kajian sebegini kerana ia dihasilkan menerusi pemantauan. Ini bermakna walaupun ia boleh menyaksikan hubungan antara penggunaan pengganti gula dengan kesan kesihatan tertentu, ia tidak dapat membuktikan sebab atau akibatnya , kata Valisa E Hedrick, seorang profesor madya pemakanan di Virginia Tech.

Oleh itu, untuk menyelesaikan isu ini, para saintis perlu melakukan kajian yang dapat mengukur bagaimana pengganti gula memberi kesan kepada kesihatan manusia secara langsung dalan jangka masa panjang, menurut Marion Nestle, seorang profesor emeritus pemakanan, pendidikan makanan dan kesihatan awam di Universiti New York. Namun, kajian ini mustahil kerana "anda tidak boleh mengunci orang bagi tempoh yang panjang untuk memakan pengganti gula dan memantau kesannya," tambahnya.

Namun, segelintir kajian yang melibatkan haiwan dan manusia yang kecil, yang dapat menunjukkan sebab dan akibatnya, menunjukkan petanda bagaimana pengganti gula dapat menyebabkan masalah kesihatan, kata Dr Krieger.

Beberapa kajian menunjukkan alkohol gula boleh meningkatkan risiko darah yang membeku, dan sekali gus risiko serangan jantung atau angin ahmar. Pengganti gula pula boleh mengubahkan mikrobiom usus dan menjejaskan kawalan gula dalam darah.

JADI APA MAKSUDNYA?

Terdapat kajian yang mencukupi yang menimbulkan kebimbangan mengenai pengganti gula yang menyarankan agar ia terus diteliti, kata Dr Eran Elinav, seorang pakar imunologi dan penyelidik mikrobiom di Institut Sains Weizmann di Israel yang juga telah menjalankan kajian mengenainya.

Sementara itu, persoalan masih wujud sekiranya ada pengganti gula yang lebih selamat berbanding yang lain.

Bagaimanapun, pengambilan gula yang terlalu banyak juga berbahaya kepada kesihatan, kata Dr Elinav, dengan kajian yang mengaitkannya dengan risiko kencing manis Jenis 2, penyakit jantung dan obesiti yang lebih besar.

Persatuan Jantung Amerika menasihatkan bahawa wanita mengambil tidak lebih daripada 25 gram gula setiap hari, dan lelaki tidak lebih daripada 36 gram sehari, memetik laporan New York Times.

Oleh itu, adalah lebih baik untuk memilih minuman manis buatan seperti soda diet berbanding minuman biasa jika anda meminumnya setiap hari, kata Dr Mozaffarian. Namun, beliau menambah bahawa matlamatnya adalah untuk mengurangkan pengambilan kedua-duanya dalam jangka masa panjang.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita