Skip to main content

Gaya Hidup

Jauhi makanan, minuman ini yang paling memudaratkan gigi anda

Bakteria berbahaya memecahkan gula daripada makanan serta minuman dan menukarkannya kepada asid, yang kemudian boleh menarik mineral penting dari gigi anda dan menyebabkan rongga pada gigi atau kaviti.

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: "Jangan makan gula-gula (banyak sangat), nanti gigi rosak." Setiap daripada kita pasti sudah pernah terdengar 'nasihat' ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Kemudian, ia membuatkan kita terfikir makanan atau minuman apa lagi yang boleh memudaratkan gigi?

Meskipun benar bahawa segala jenis makanan dan minuman boleh menyebabkan kerosakan gigi - atau kerosakan pada permukaan, atau enamel gigi anda - tidak semua makanan mahupun minuman membawa bahaya yang sama.

Sesetengah orang pula mungkin lebih terdedah kepada kerosakan gigi berbanding yang lain.

MENGAPA SESETENGAH MAKANAN LEBIH TERUK UNTUK GIGI BERBANDING YANG LAIN?

Apabila menilai betapa teruk sesuatu hidangan, kudapan, pencuci mulut atau minuman untuk kesihatan gigi anda, ada dua perkara utama untuk dipertimbangkan: komposisi dan mutunya.

Demikian menurut Dr Apoena de Aguiar Ribeiro, seorang doktor gigi pediatrik dan ahli mikrobiologi di Universiti North Carolina di Chapel Hill yang mengkaji tentang mikrobiom mulut dan bagaimana ia menjejas kerosakan gigi.

Dalam mulut kita, ada lebih 700 spesies bakteria - ada yang berguna, namun ada yang berbahaya.

Bakteria berbahaya memecahkan gula daripada makanan serta minuman dan menukarkannya kepada asid, yang kemudian boleh menarik mineral penting dari gigi anda dan menyebabkan rongga pada gigi atau kaviti.

Jika anda tidak menggosok gigi dengan betul, bakteria juga boleh membentuk satu lapisan lembut - atau plak - pada permukaan gigi anda. Ini boleh meningkatkan lagi tahap asid pada gigi, lantas mewujudkan persekitaran yang baik untuk lebih banyak bakteria membiak.

Jika plak pada gigi sudah mengeras, ia boleh menjadi tartar. Ini juga boleh menyebabkan gusi anda rasa tidak selesa, sekali gus keradangan pada gusi, atau gingivitis.

JENIS MAKANAN TIDAK BAIK UNTUK KESIHATAN GIGI

Makanan bergula - khususnya yang mengandungi sukrosa atau gula pasir - terutamanya tidak baik untuk gigi anda kerana ia mendorong pertumbuhan bakteria, menurut Dr. de Aguiar Ribeiro dalam laporan The New York Times.

Sukrosa biasanya didapati dalam kebanyakan makanan diproses dan minuman bergula seperti gula-gula, jus buah-buahan dan air soda.

Bukan itu sahaja, mana-mana makanan yang melekit atau kenyal - seperti gula-gula 'gummy', buah-buahan kering dan sirap - melekat di celah-celah gigi serta ruang di antaranya.

Apabila terdapat gula berlebihan pada gigi anda, bakteria berbahaya boleh menyimpannya di dalam sel. Ini, jelas Dr de Aguiar Ribeiro, menyebabkan bakteria itu terus menghasilkan asid selama berjam-jam setelah anda mengambil makanan tersebut.

Sesetengah minuman - seperti air soda bergula, jus, minuman tenaga dan minuman 'milkshake' - juga 'dalang' di sebalik kerosakan gigi anda.

Semua minuman itu ibarat mencuci gigi anda dalam cecair yang melekit serta bergula dan malah, ia amat berasid.

"Gigi kita mula rosak apabila tahap asid dalam mulut jatuh ke bawah paras pH5.5," kata Dr. Rocio Quinonez, seorang profesor pergigian pediatrik di Universiti North Carolina di Chapel Hill.

"Soda cenderung mempunyai paras pH antara 3 dan 4," tambahnya.

Minuman berkarbonat lain juga berasid, sebagaimana kopi, yang lazimnya diminum dengan ditambah sirap bergula.

Sesetengah buah-buahan segar, sayur-sayuran serta makanan berkanji - seperti kentang, nasi dan bahkan pisang - seringkali dianggap sebagai tidak baik untuk gigi anda kerana ia mungkin mengandungi gula atau asid yang boleh merosakkan gigi.

Namun, ia juga mengandungi nutrien yang boleh meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan anda, yang kemudian mendatangkan kemaslahatan buat gigi anda.

Ini menurut Dr Dorota Kopycka-Kedzierawski, seorang doktor gigi di Universiti Pusat Perubatan Rochester yang juga seorang penyelidik dalam kariologi atau kajian kaviti dan kerosakan gigi.

Oleh itu, sekalipun ia makanan yang bergula atau cenderung melekat pada gigi anda, tukar gantinya mungkin berbaloi, kata beliau.

Jika anda mempunyai alur yang sangat dalam pada gigi anda atau gigi yang amat rapat, makanan kenyal atau melekit mungkin satu keprihatinan buat anda, tambah Dr. Quinonez.

Dalam hal ini, anda perlu lebih berhati-hati bukan hanya dalam bab pemakanan tetapi juga tabiat membersihkan gigi.

Selagi anda terus memberus gigi dua kali sehari - pada sebelah pagi dan sebelum masuk tidur - dan membuat flos gigi setiap hari, manfaat pemakanan semua makanan tersebut akan melebihi risiko mengalami kerosakan gigi.

Soal pengambilan buah-buahan pula, Dr Kopycka-Kedzierawski berkata adalah lebih elok untuk makan buah itu daripada minum jusnya memandangkan banyak jus buah-buahan yang dijual di kedai atau bahkan yang dibuat sendiri mengandungi gula sukrosa.

Pokoknya, tabiat yang baik untuk kesihatan gigi secara amnya amalan yang baik untuk keseluruhan kesihatan seseorang, kata Dr. Quinonez.

Ini bermakna, kurang ambil makanan diproses serta bergula, menjalani pemeriksaan secara berkala setiap enam bulan dan elak daripada mengunyah makanan ringan atau kudapan antara waktu makan - mentelah lagi jika ia makanan, minuman bergula dan melekit.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita