Jangan tinggalkan sarapan pagi: Ini senarai makanan yang bantu tajamkan minda pada musim peperiksaan
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
Menurut kajian, otak manusia memerlukan zat dan khasiat tertentu bagi memastikan ia dapat berfungsi secara optimum, lebih-lebih lagi semasa berada dalam keadaan tertekan seperti pada musim peperiksaan.
Makan mengikut waktu dan pemilihan makanan yang tepat bukan sahaja dapat membekalkan tenaga, tapi juga ia dapat membantu meningkatkan daya ingatan, menenangkan emosi dan sekaligus mengukuhkan keupayaan berfikir secara menyeluruh.
Ia adalah waktu makan yang paling penting untuk memulakan hari anda, apatalah lagi pada hari peperiksaan. Selepas tubuh ‘berpuasa’ sepanjang malam, otak memerlukan bekalan glukosa yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.
Menurut kajian tanpa glukosa, proses kognitif akan terjejas dan menjadikan seseorang mudah berasa letih dan penat selain hilang tumpuan serta kurang bertenaga. Otak manusia walaupun kecil ia menggunakan kira-kira 20 peratus daripada tenaga harian badan. Dalam situasi berfikir intensif seperti peperiksaan, keperluan ini pasti meningkat dengan ketara.
Kajian turut menunjukkan pelajar yang tidak mengambil sarapan cenderung untuk mengalami keletihan lebih awal, menjadi mudah terganggu dan berisiko makan berlebihan selepas peperiksaan. Ini sering melibatkan pemilihan makanan yang tinggi gula dan lemak. Walaupun mengenyangkan, ia hanya dapat memberi tenaga sementara dan akan membuat tubuh kembali letih.
Untuk menyediakan sarapan pagi ia tidaklah sukar seperti yang anda bayangkan. Pilihan menu sarapan yang ideal haruslah ringkas, seimbang dan mudah disediakan. Gabungan karbohidrat kompleks, protein, lemak sihat, vitamin dan mineral adalah kunci untuk bekalan tenaga yang berpanjangan. Antaranya, roti gandum, telur rebus, susu rendah lemak dan juga pisang. Semua ini merupakan antara kombinasi yang baik.
10 SAJIAN BERKHASIAT
Lemak Omega-3
Ia adalah antara nutrien utama yang diperlukan oleh otak dan membantu untuk tingkatkan daya ingatan serta keupayaan fokus dan sekaligus mengurangkan tekanan. Antara sumber terbaik lemak omega-3 adalah ikan salmon, tenggiri dan juga tuna. Selain itu, biji chia dan biji bunga matahari turut diperkaya dengan asid lemak dan sesuai dijadikan snek sihat.
Air
Otak memerlukan lebih banyak air berbanding organ lain kerana ia memerlukan tenaga yang tinggi untuk berfungsi. Kekurangan air atau dehidrasi boleh menyebabkan sakit kepala dan susah memberi tumpuan. Pastikan pelajar minum sekurang-kurangnya 1.5 liter air sehari agar minda kekal cergas. Elak minuman bergas dan manisan.
Telur
Diperkaya dengan protein penting untuk perkembangan memori. Kuning telur juga mengandungi vitamin A, D, E, B12 selain zat besi yang dapat menyokong kesihatan otak secara keseluruhan. Sarapan dengan telur rebus atau telur dadar boleh membuat anda tampil lebih bertenaga.
Sayuran hijau
Baik untuk kesihatan otak, sayuran hijau seperti bayam, brokoli selain kangkung mengandungi vitamin A dan K yang juga dapat memperlahankan kemerosotan fungsi mental. Pada masa yang sama, ia juga baik untuk penglihatan selain dapat menyokong kesihatan otak secara menyeluruh.
Ia merupakan sumber antioksidan semulajadi dan sesuai untuk dijadikan sebagai snek seharian. Antaranya, epal dan buah plum mengandungi sejenis antioksidan yang dapat melindungi otak daripada kerosakan. Selain itu, buah beri turut diperkaya dengan vitamin dan antioksidan yang dapat meningkatkan daya ingatan dan keupayaan belajar.
Jika dibandingkan dengan minuman berkafein tinggi, teh hijau adalah pilihan yang lebih sihat kerana ia mengandungi antioksidan dan membantu meningkatkan fokus. Minuman semula jadi yang lain seperti air kelapa, jus buah tanpa gula dan lassi bukan sahaja menyegarkan tetapi ia juga dapatu menghidratkan tubuh dan menenangkan minda.
Sajiannya nampak ringkas, tapi bijirin dapat memberi tenaga. Contohnya, oatmeal diperkaya dengan vitamin B, E, zinc dan kalium yang penting untuk prestasi otak. Bijirin penuh seperti gandum dan beras perang pula dapat membekalkan tenaga melalui glukosa secara berterusan. Secara tidak langsung ia dapat membantu tingkatkan daya tumpuan dan fungsi sistem saraf.
Ia antara cemilan yang digelar snek pintar! Contohnya, walnut, kacang tanah, biji labu dan kuaci. Ia mengandungi lemak sihat, vitamin E dan thiamine yang dapat menyokong fungsi otak dan sistem saraf. Lantas, menjadikannya cemilan atau snek yang sesuai dinikmati ketika belajar.
Pilihlah coklat gelap dengan kandungan koko sekurang-kurangnya 70 peratus. Ia didapati boleh meningkatkan mood dan fokus kerana mengandungi bahan flavonoid dan sedikit kafein. Namun, pengambilannya harus sederhana agar tidak memberi kesan negatif.
Yogurt
Baik untuk pencernaan, ia mengandungi protein selain vitamin B12 yang penting untuk fungsi otak. Sesuai untuk dinikmati dan dijadikan sebagai snek petang yang sihat lagi menyegarkan.
RUTIN SEHARIAN
Akhir sekali, selain mengamalkan sarapan dan pemakan yang sihat dan baik, pelajar juga harus elakkan makanan segera yang bergoreng, minuman bergula dan berkarbonat termasuk minuman tenaga. Makanan seperti ini boleh menyebabkan keletihan, kurang fokus dan membuat tenaga tidak stabil.
Pada masa yang sama, penting juga untuk dapatkan tidur yang cukup antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam selain rehat berkala setiap 40 hingga 60 minit semasa belajar. Dan, anda juga digalakkan untuk melakukan senaman ringan seperti berjalan kaki atau regangan untuk mengurangkan tekanan dan bantu untuk tingkatkan pengaliran oksigen ke otak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.