Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jangan tidur jika rambut masih basah

Anggaran Waktu Membaca:
 Jangan tidur jika rambut masih basah

Tidur dengan rambut basah tidak bagus untuk anda? (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Pasti ramai dalam kalangan kita yang pernah tidur dengan rambut masih basah.

Mungkin disebabkan kesuntukan masa, anda hanya dapat membasuh rambut ketika mandi sebelum tidur.

Kita juga mungkin pernah dengar bahawa perbuatan ini tidak baik untuk kesihatan kerana ada kemungkinan ia boleh menjejaskan kesihatan rambut anda dan menyebabkan selesema.

Padahal, hakikatnya selesema dijangkiti daripada virus.

Jadi, adakah benar perbuatan tidur dengan rambut masih basah tidak harus digalakkan? Jika benar, mengapa?

Berikut jawapan pakar mengenai masalah yang boleh timbul akibat terus tidur sedangkan rambut masih basah dan apa yang boleh dilakukan untuk menjaga rambut sedang kita tidur.

TIDUR DENGAN RAMBUT BASAH BOLEH SEBABKAN RAMBUT ROSAK

"Ketika rambut basah, ia akan mengembang. Tekanan berpanjangan dari dalam ke luar melemahkan korteks dan kutikel, menjadikan rambut rapuh," jelas Pengarah Bersekutu Chez Vous: Private Space, Dee Toh.

Pengurus Kanan Pendidikan divisyen salun Kao, Kuah Beng Lee menambah: "Jika anda sememangnya sudah ada rambut yang rosak, perbuatan itu akan menyebabkan rambut mudah putus."

Bukan itu sahaja, beliau menarik perhatian bahawa "kelembapan yang tidak diperlukan juga boleh menyebabkan mikrobiom kulit kepala menjadi tidak seimbang".
Tidur dengan rambut basah tidak bagus untuk anda? (Gambar: iStock)
SENTIASA PASTIKAN RAMBUT KERING SEBELUM TIDUR

Kami faham. Agak memenatkan untuk mengeringkan rambut, lebih-lebih lagi setelah penat seharian dan pulang lewat malam.

Namun, ini satu berita baik. Anda boleh mempercepat proses mengeringkan rambut.

Menurut Encik Toh, anda harus menggunakan krim atau 'masker' rambut yang tinggi protein selepas syampu rambut.

Ini membantu memperkuat rambut dengan amino asid yang boleh memulihkan, sekali gus menjadikan setiap helaian rambut kurang menyerap.

"Apabila rambut kurang menyerap, kurang kelembapan tersekat di dalamnya," jelas Encik Toh.

Kurang kelembapan bermakna rambut akan kering dengan lebih cepat.

BERUS RAMBUT SEBELUM TIDUR

Kalau anda pernah menonton drama-drama televisyen yang menunjukkan gadis-gadis memberus rambut 100 kali sebelum tidur, ada sebab mengapa mereka melakukan demikian.

Mungkin anda juga boleh contohinya. Cuma tidak perlu sehingga 100 kali!
Berus rambut sebelum tidur. (Gambar: iStock)
Ini kerana "memberus memastikan rambut tidak kusut, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlaku kerosakan", jelas Encik Kuah.

Memberus rambut semasa ia masih basah juga boleh mengurangkan kerinting halus dan menjadi mudah dikawal selepas ia kering, kata Encik Toh.

Beliau menambah "menyikat atau memberus rambut semasa ia basah, sama ada ia dikeringkan menggunakan alat pengering atau secara semula jadi, akan dapat mengurangkan kerinting halus".

Untuk mengurangkan sebarang kerosakan akibat memberus, Encik Toh menyarankan agar anda menggunakan produk perapi yang tidak perlu dicuci selepas digunakan.

Selain itu, gunakan berus yang lebar dan besar atau 'paddle brush' kerana ia boleh membantu peredaran darah yang baik, dan rambut tumbuh dengan baik secara keseluruhannya.

GUNA MASKER SEMALAMAN

Jika anda rasa malas untuk mengeringkan rambut, Encik Toh menyarankan anda gunakan serum atau masker yang boleh dipakai semalamam untuk mengurangkan kerosakan.

Masker sedemikian tidak perlu dicuci pada keesokan harinya.

IKAT, TONCET HANYA DI SIANG HARI, KETIKA RAMBUT KERING
Toncet rambut pada siang hari sahaja. (Gambar: iStock)
Pastikan anda tidak toncet rambut sejurus selepas mencucinya.

"Elakkan toncet rambut ketika ia basah dan biar ia kering semula jadi semalaman. Rambut yang mengembang serta ketegangan akibat ikatan boleh menyebabkan rambut mudah putus," jelas Encik Toh.

SARUNG BANTAL SUTERA

Mungkin berlaku pergeseran apabila rambut dan bantal bersentuhan semasa kita bergerak ketika tidur, namun kerosakannya hanya minimum, kata Encik Toh.

Namun jika anda mahu melindungi dan mengurangkan risiko kerosakan pada rambut, gunakan sarung bantal sutera untuk mengurangkan pergeseran.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan