‘Jangan tertekan’: Mengapa nasihat ini mungkin tidak membantu ibu hamil?
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan “Happy mother, happy baby” (ibu gembira, bayi pun gembira). Kini, ada kajian baharu yang mengaitkan kesihatan mental wanita hamil dengan perkembangan anak mereka.
Kesihatan mental yang baik ketika hamil lebih kepada keupayaan menangani tekanan dan keresahan, bukan untuk berasa gembira sepanjang masa. (Gambar: iStock/Nastasic)
- Kajian Singapura 2026 dalam Psychological Medicine mengaitkan kesihatan mental ibu hamil dengan perkembangan kognitif awal anak dan risiko gejala kemurungan ketika kanak-kanak.
- Dr Chua Tze-Ern, Dr Regina Zuzarte-Ng dan Poh Ping Qi menekankan bahawa kehamilan membawa tekanan fizikal, emosi, kerja dan identiti, bukan sekadar isu kegembiraan.
- Pakar menyarankan bakal ibu menerima emosi negatif, mengekalkan identiti, menikmati kegembiraan kecil, menapis media sosial dan tidak mengejar piawaian keibuan yang sempurna.
- Artikel turut menekankan sokongan pasangan dan keluarga, batas yang sihat, pemakanan serta senaman, terutama bagi kehamilan berisiko tinggi atau wanita berusia 35 tahun ke atas.
Kajian Singapura pada 2026 yang diterbitkan dalam jurnal Psychological Medicine mendapati kesihatan mental ibu mempunyai kaitan dengan perkembangan kognitif awal anak serta risiko mereka mengalami gejala kemurungan pada peringkat kanak-kanak.
Bagaimanapun, ia bukan sekadar soal memastikan ibu sentiasa gembira.
“Menjadi seorang ibu membawa pelbagai emosi,” kata pakar psikiatri dan Pengarah Perubatan Serenity Clinic, Dr Chua Tze-Ern.
Kehamilan juga bukan sesuatu yang mudah.
“Bukan mudah untuk berdepan dengan rasa loya, hilang selera makan, pertambahan berat badan, perubahan postur tubuh, serta sakit belakang, sakit pinggul dan sakit pada bahagian ari-ari akibat tekanan daripada rahim dan bayi yang semakin membesar,” kata Dr Regina Zuzarte-Ng, pakar obstetrik dan ginekologi di GynaeMD Women’s Clinic Clementi.
Selain perubahan fizikal, kehamilan juga merupakan “peristiwa yang mengubah kehidupan apabila mengetahui seorang anak bakal dilahirkan dan akan bergantung sepenuhnya kepada anda”, tambah Dr Zuzarte.
“Ramai bakal ibu kini bekerja sepenuh masa dan ada yang bekerja berjam-jam. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal sambil memastikan tugas di tempat kerja tetap diselesaikan dengan baik,” kata beliau.
Para pakar yang ditemui Mediacorp berkata meminta bakal ibu yang sedang tertekan supaya “berfikiran positif dan gembira” demi bayi mereka mungkin membawa kesan sebaliknya.
1. JANGAN PAKSA DIRI UNTUK GEMBIRA
“Tiada siapa yang gembira sepanjang masa,” kata Dr Chua. “Kehidupan yang sihat dari segi mental tetap mempunyai kesedihan, kemarahan, keresahan, kekecewaan dan kedukaan.”
Dalam kehidupan sebagai ibu bapa, emosi tersebut bukan petanda bahawa “sesuatu sudah tidak kena”, tambah beliau.
“Ia sebahagian daripada menyayangi seseorang dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berterusan.”
Menurut Dr Chua, kesihatan mental yang baik bermula dengan kesedaran terhadap emosi.
“Ia bermaksud mampu mengenal pasti apa yang anda rasakan dan cuba memahami mengapa anda berasa demikian, dan bukannya terus menganggap emosi itu baik atau buruk.”
Pakar psikologi klinikal utama di Alvernia Psychological Health Centre, Mount Alvernia Hospital, Poh Ping Qi berkata kajian menunjukkan keupayaan mengalami emosi negatif tanpa terus terperangkap dengannya dikaitkan dengan tekanan keibubapaan yang lebih rendah serta kesihatan mental yang lebih baik ketika melalui perubahan besar dalam kehidupan.
Jadi, daripada bertanya, “Bagaimana saya boleh berhenti berasa cemas?”, Cik Poh menyarankan bakal ibu memikirkan, “Bagaimana saya boleh menerima rasa cemas ini sambil tetap melakukan perkara yang penting hari ini?”
2. KEKALKAN IDENTITI DIRI
“Menjadi seorang ibu membawa perubahan besar kepada identiti seseorang, terutama apabila mendapat anak pertama. Penting untuk mengekalkan sesuatu yang menjadi sebahagian daripada diri anda sebagai individu, bukan hanya sebagai seorang ibu,” kata Dr Chua.
Cik Poh menyarankan supaya bakal ibu memikirkan aspek kehidupan yang penting bagi identiti mereka seperti persahabatan, kerjaya, nilai hidup atau hobi.
Walaupun keutamaan mungkin berubah, perkara tersebut boleh membantu seseorang mengekalkan sebahagian daripada identiti dirinya.
3. LUANGKAN MASA UNTUK KEGEMBIRAAN KECIL
“Orang ramai sering membayangkan penjagaan diri sebagai sesuatu yang istimewa seperti menghabiskan masa di spa atau bercuti ke luar negara. Bagi ibu yang mempunyai anak kecil, perkara seperti itu mungkin jarang atau langsung tidak berlaku,” kata Dr Chua.
Daripada menunggu peluang sedemikian, beliau menyarankan supaya ibu menikmati perkara kecil dalam kehidupan seharian.
“Minum secawan kopi ketika masih panas, duduk di luar selama 10 minit atau membaca buku. Kesejahteraan dibina daripada kehidupan seharian dan kehidupan seharian berlaku dari satu detik ke satu detik,” kata beliau.
Apabila sesuatu yang menyenangkan berlaku, Dr Chua menyarankan supaya seseorang memberikan perhatian sepenuhnya walaupun hanya untuk beberapa saat dan tidak terus beralih kepada perkara lain.
Kajian menunjukkan bahawa meluangkan masa untuk benar-benar menghayati pengalaman positif dapat menguatkan dan memanjangkan emosi positif.
4. TAPIS KANDUNGAN MEDIA SOSIAL
Elakkan saluran media sosial yang membuat anda berasa cemas.
“Sesetengah catatan mengenai keibuan memberi gambaran seolah-olah orang lain melalui ‘kehamilan sempurna’. Mereka dilihat mampu menghias bilik bayi serta mengimbangi kerja dan kecergasan dengan sempurna. Ini boleh mendorong kita membandingkan diri dengan orang lain walaupun kita tahu kandungan tersebut sudah dipilih dan disusun,” kata Cik Poh.
“Ikuti akaun yang memberi maklumat, mengetengahkan pengalaman sebenar, membincangkan cabaran yang dihadapi dan membuat anda berasa disokong, bukannya serba kekurangan,” tambah beliau.
5. JANGAN TERLALU KEJAR KESEMPURNAAN
“Terdapat terlalu banyak maklumat mengenai perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang ibu – makanan yang terbaik, gaya keibubapaan yang ideal, sekolah yang sesuai dan sebagainya,” kata Dr Chua.
Walaupun setiap nasihat mungkin munasabah jika dilihat secara berasingan, cuba mengikuti semuanya sekali gus boleh menjadi mustahil.
“Kadangkala, untuk meningkatkan kesejahteraan seorang ibu, kita hanya perlu memberi kebenaran kepadanya untuk menggugurkan tiga perkara daripada senarai tugasnya,” kata Dr Chua.
6. BINA RANGKAIAN SOKONGAN YANG ANDA PERLUKAN
“Salah satu petunjuk utama kesihatan mental ibu ialah sejauh mana mereka merasakan adanya sokongan sosial,” kata Cik Poh.
Beliau menyarankan supaya pasangan meluangkan masa untuk berbincang secara terbuka mengenai jangkaan, pembahagian tanggungjawab dan bentuk sokongan yang diperlukan apabila berdepan tekanan.
Bagi pasangan dan anggota keluarga yang mahu membantu, jangan sekadar berkata, “Beritahu saya jika perlukan apa-apa.”
Sebaliknya, tawarkan bantuan secara khusus seperti menyediakan makan malam atau menemani bakal ibu ke janji temu.
Cik Poh turut menyarankan supaya emosi bakal ibu diakui dan difahami tanpa terus cuba menenangkannya. Ungkapan yang bermula dengan “Sekurang-kurangnya...” atau “Jangan risau...” kadangkala boleh membuat seseorang berasa seolah-olah emosinya dipandang ringan.
7. TETAPKAN BATAS DENGAN KELUARGA
Tidak semua bantuan semestinya membantu.
“Jika pelibatan seseorang secara berterusan menyebabkan bakal ibu berasa lebih cemas, letih atau dipandang rendah, tidak salah untuk mengubah aturan tersebut walaupun orang yang membantu mempunyai niat yang baik,” kata Dr Chua.
Menurut beliau, biasanya lebih mudah bagi suami menetapkan batas dengan ibu bapanya sendiri dan isteri berbuat demikian dengan keluarganya, berbanding membiarkan pasangan sentiasa dianggap sebagai menantu yang bermasalah.
8. AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT
Kadangkala, rasa tidak sihat mungkin berpunca daripada masalah fizikal.
“Satu kajian pada 2019 mendapati hampir tiga perempat wanita Singapura mengalami kekurangan zat besi pada awal trimester ketiga kehamilan. Keadaan ini boleh menyebabkan keletihan dan sesak nafas, yang mungkin disalah anggap sebagai gejala biasa kehamilan dan menyukarkan seseorang menghadapi tempoh kehamilan,” kata Dr Zuzarte.
Beliau menasihatkan wanita hamil supaya mengambil protein yang mencukupi serta makanan kaya zat besi seperti daging tanpa lemak, kekacang dan sayuran berdaun hijau gelap.
Aktiviti fizikal, senaman dan amalan kesedaran minda ketika hamil juga boleh membantu mengurangkan gejala kemurungan atau keresahan serta meningkatkan kesejahteraan, tambah beliau.
Amalan gaya hidup sihat amat penting bagi wanita yang mengalami komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi, tekanan darah tinggi dan praeklampsia. Ia juga penting bagi ibu berusia 35 tahun ke atas.
9. HADAPI TEKANAN KEHAMILAN BERISIKO TINGGI
Bagi wanita yang pernah mengalami keguguran, melalui kehamilan berisiko tinggi atau berdepan komplikasi perubatan seperti keadaan genetik, mereka mungkin “mengalami ketakutan yang mendalam terhadap keselamatan bayi serta keresahan mengenai masa depan anak dan keluarga yang tidak menentu”, kata Dr Zuzarte.
Menurut Cik Poh, perasaan tersebut boleh difahami dan bakal ibu tidak perlu berasa bersalah apabila mengalaminya.
“Sebaliknya, akui bahawa harapan dan ketakutan boleh wujud pada masa yang sama. Beri tumpuan kepada perkara yang boleh dikawal hari ini dan bukannya cuba meramalkan apa yang akan berlaku.
“Kekal berhubung dengan individu yang membuat anda berasa selamat dari segi emosi dan terus lakukan aktiviti yang menimbulkan emosi positif.”
10. JANGAN BIARKAN USAHA UNTUK KEKAL POSITIF JADI PUNCA RASA BERSALAH
Memberitahu bakal ibu yang sedang tertekan bahawa “Segala-galanya berlaku dengan sebab tertentu”, “Jangan stres – bayi boleh merasakan tekanan anda” atau “Sekurang-kurangnya anda boleh hamil” mungkin tidak membantu, malah boleh mencetuskan tekanan dalam sesetengah keadaan.
“Adalah satu tanggapan salah bahawa kesihatan mental ibu merupakan tanggungjawab ibu sepenuhnya. Kita memberitahu wanita supaya tidur, bersenam, bermeditasi, bersyukur dan meminta bantuan,” kata Dr Chua.
“Kemahiran individu untuk menangani tekanan memang penting, tetapi tidak semua masalah boleh diselesaikan hanya dengan menjaga diri sendiri.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.