Skip to main content

Gaya Hidup

Jangan terikut trend beli perkakas dapur semata-mata kerana tular di pasaran

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan terikut trend beli perkakas dapur semata-mata kerana tular di pasaran

(Gambar: Todd Quackenbush/Unsplash)

Diterbitkan : 01 Feb 2022 10:34PM

KUALA LUMPUR: Trend sekarang ini, macam-macam perkakas dapur yang lawa-lawa dan murah dijual di pasaran. 

Boleh rambang mata nak membelinya. 

Kadang-kadang tak ada kepentingan pun, tapi sebab cantik, belilah juga.

Dalam hal ini, pengguna perlu lebih peka tentang bahan asas yang digunakan. 

Menurut seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim, komponen perkakas yang bercampur dengan komponen makanan berpotensi menghasilkan tindak balas kimia. Berikut antara perkongsiannya dengan majalah Pa&Ma yang diterbitkan oleh Astro AWANI.

MENGAPAKAH SET PERKAKAS VIRAL BAHAYA DIGUNAKAN?

Sesetengah orang tidak kisah, asalkan cantik, murah dan mudah digunakan. 

Kerana ada potensi tindak balas kimia antara komponen perkakas itu dengan komponen makanan kita. Terutamanya makanan yang panas, berminyak dan bersifat asidik (atau masam).

Ada yang mungkin kurang faham tentang penggunaan kuali non-stick – selamatkah kuali non-stick digunakan jika terdapat calar?

Selamat. Cuma fungsi non-stick akan berkurangan dan mungkin lebih melekatkan makanan pada bahagian yang calar. Selaput non-stick ini diperbuat daripada bahan kimia polimer yang dikenali dengan polytetrafluoroethylene (PTFE). 

Ia adalah molekul yang besar, tiada tindak balas kimia dalam sistem penghadaman yang mampu menguraikannya. Maka badan tidak akan serap dan hanya dibuang bersama dengan najis.

Ada juga yang mengaitkan selaput ini dengan kanser. Sebenarnya bahan kimia yang dimaksudkan ialah perfluorooctanoic acid (PFOA) yang digunakan dalam pembuatan selaput ini. Namun hasil rawatan suhu akhir terhadap selaput non-stick ini memastikan bahan kimia PFOA ini termusnah dek haba.
 
Isu PFOA lebih kepada keselamatan pekerja dalam industri ini yang terdedah secara terus dan bukan pada lapisan non-stick ini. Atas desakan, maka, sejak tahun 2015 ia tidak lagi digunakan dalam pembuatan selaput non-stick.

Selain daripada selaput PTFE, terdapat juga pilihan peralatan memasak non-stick lain seperti seramik, enamel, silicon dan graniteware (porcelain enamel).

PALING PENTING AMBIL TAHU TENTANG PENJAGAAN PERALATAN MEMASAK 

- Elakkan mengalirkan air sejuk (paip) pada peralatan memasak yang mengandungi selaput kalis lekat yang masih lagi panas (walaupun bunyi tindak balas pindaan haba ini ‘sedap’ didengar). 

Ini kerana ikatan yang membentuk selaput ini akan termusnah (degrades) disebabkan perubahan suhu yang mendadak.

- Elakkan mencuci di dalam 'dish washer' atau menggunakan sabun yang kuat untuk peralatan memasak kalis lekat, kecuali dinyatakan selamat pada produk. 

Ia akan merosakkan selaput kalis lekat dan akhirnya rekahan akan berlaku.

- Cuci permukaan kalis lekat ini dengan sabun dan span yang bersesuaian. Sekiranya terdapat makanan melekat, rendamkan dengan air sabun bagi memudahkan proses mencuci. Jangan 'scrub'!

PANDUAN MEMBERSIHKAN PERKAKAS DAPUR TERUTAMA KUALI, PAPAN PEMOTONG 

Peralatan yang diperbuat daripada aluminium tanpa selaput jangan scrub. Ini kerana ia mempunyai selaput penghalang kebocoran secara semula jadi yang dikenali sebagai aluminium oksida. 

Walaupun rupanya tidak cantik, selaput ini adalah penyelamat terutamanya apabila komponen masakan itu berasid (contoh asam pedas).

Aluminium dikaitkan dengan masalah kesihatan berkaitan saraf, tulang dan otak (terutamanya autisme dalam kalangan kanak-kanak adan Alzheimer). Walaupun tiada kaitan yang konklusif, namun sesetengah individu yang sensitif atau mempunyai masalah dalam mengumuhkan aluminium berpotensi menghadapi masalah ini.
 
Bagi yang sudah scrub, boleh bentuk semula selaput ini dengan merebus air kosong beberapa kali dalam bekas memasak ini sehingga lingkaran terbentuk di dalamnya.

Papan pemotong boleh dibersihkan dengan larutan peluntur (Clorox). Namun berhati-hati semasa pengendaliannya. 

Pastikan pengudaraan baik (tempat terbuka atau ada tingkap) agar gas klorin yang terhasil tidak mengurangkan kualiti udara di sekeliling kita. Ada yang risau saki baki cecair peluntur tertinggal pada papan pemotong.

Pastikan cuci bahan kimia aktif dalam cecair peluntur Clorox ini mudah larut air dan meruap. Cara untuk pastikan kesemua cecair peluntur tiada pada permukaan papan pemotong ialah tiada lagi bau klorin yang dapat dihidu.

APAKAH KANDUNGAN PADA PINGGAN MANGKUK BERCORAK VIRAL YANG MENYEBABKANNYA BAHAYA UNTUK DIGUNAKAN?

Pinggan mangkuk bercorak dan berwarna-warni ini dikaitkan dengan bahan kimia plumbum. Ia digunakan pada perkakas seramik sebagai hiasan (pewarna terang) dan selaput lutsinar supaya pinggan nampak cantik. 

Bahan kimia ini ada potensi 'leak' jika dimasukkan makanan panas, makanan disimpan lama atau makanan berasid (yang masam).

Risiko kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu menyusu.

Apakah peralatan memasak yang selamat digunakan – kuali, pinggan mangkuk?

Kesemuanya peralatan memasak selamat digunakan. Cuma pastikan cara pengunaan dan penjagaan yang betul. 

Pastikan juga ia dibeli daripada pengeluar yang anda yakini dan mempunya reputasi yang baik. Selebihnya bergantung kepada tujuan dan kemampuan masing-masing.

Untuk pinggan mangkuk pula pilih bekas seramik tanpa corak berwarna putih atau jika bercorak, pilih yang corak di luar ruang makanan atau beli daripada pengeluar yang ada reputasi.

BENARKAH PERKAKAS KAYU PALING SELAMAT DIGUNAKAN UNTUK MEMASAK?

Sebagai senduk ya. Sebab ia tidak bertindak balas (inert) dan tahan haba tinggi jika dibandingkan dengan senduk plastik. 

Cuma perlu berhati-hati jika terdapat rekahan, ia perlu dibersihkan untuk mengelakkan pembiakan kuman yang berpotensi bercampur dengan makanan kita.
 
Senduk plastik yang berwarna hitam diperbuat daripada plastik bahan kimia polyamide (PA). Namun isunya timbul apabila barangan plastik hitam ini dikitar semula, sukar diasingkan kerana warna yang hitam. Maka, dikaitkan dengan kitar semula komponen plastik barangan elektronik seperti papan kekunci, komputer dan sebagainya, terutamanya daripada pengeluar yang tidak bertanggungjawab. 

Ini boleh guna untuk senduk makanan yang tidak melebihi 70 darjah Selsius panasnya.

Ada juga yang diperbuat daripada silikon. 

Bergantung kepada komponen binaan ia boleh tahan haba 160 – 260 darjah Selsius. 

Namun sentuhan terus kepada kuali akan yang membuatkan integriti bahan binaannya terganggu.

PANDUAN MEMILIH PERKAKAS DAPUR YANG DIYAKINI KUALITINYA

Pilih daripada pengeluar, pengedar dan penjual yang anda yakini dan mempunyai reputasi yang baik. 

Gunakan peralatan ini dengan cara yang betul dan sesuai dengan tujuan dan fungsinya. 

Jangan jadi terlalu kreatif sehinggakan plastik yang digunakan untuk tahan suhu rendah dijadikan bekas memasak lemang pula. 

Selebihnya bergantung kepada keperluan, tujuan dan kemampuan poket masing-masing.

Sesetengah orang tidak mengetahui kesan atas penggunaan perkakas dapur dan membelinya atas sebab cantik dan murah – bagaimana cara untuk mendidik golongan ini supaya selidik terlebih dahulu bahan perkakas.

Rajinkan membaca dan mengambil tahu tentang perkakas dapur. Jangan ikut trend viral saja. Ini adalah benda yang penting kerana segala masakan akan masuk dalam badan kita dan anak-anak kita. 

Dan makan itu adalah asas kepada pembentukan badan dan minda yang sihat.

Sumber : Agensi berita/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita