Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jangan sayang bantal; ganti baru bila tiba masanya

Bilakah kali terakhir anda menukar atau membeli bantal baru? Adakah bantal di rumah sudah bertompok-tompok ibarat peta?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bilakah kali terakhir anda menukar atau membeli bantal baru? Adakah bantal di rumah sudah bertompok-tompok ibarat peta?

Jika 'ya', maka sudah tiba masanya anda cari bantal baru!

Bantal ada kaitan dengan kesihatan. Ia digunakan setiap hari dan haruslah bersih, bebas daripada kotoran agar dapat memberi keselesaan pada bahagian kepala dan leher.

Bantal merupakan keperluan penting untuk mendapatkan tidur yang lebih bermutu setelah sehari penat bekerja atau beriadah.

Menukar bantal secara berkala adalah rutin yang sangat penting. Ia dapat membantu mencegah bakteria dan kuman dari terus menyerap dan membiak.

Demi kebersihan dan keselesaan, anda digalakkan supaya menukar bantal setiap dua hingga tiga tahun. Pada masa yang sama, bantal juga harus dibersihkan atau dicuci dari masa ke semasa. Ini juga akan membantu memanjangkan lagi jangka hayat bantal.

Namun tidak ramai yang akan mencucinya dan akan terus menggunakannya, dengan hanya setakat menukar sarung bantal sahaja. Mungkin dek sudah terlalu serasi dan sebati dengan bau bantal kesayangan, mereka tidak terfikir untuk beli yang baru.

Menurut kajian, menggantikan bantal baru harus dijadikan satu rutin demi menjaga kebersihan. Kotoran yang ada pada bantal tidak dapat dilihat sehinggalah sarung bantal ditanggalkan. Walaupun sarung bantalnya baru dan coraknya cantik, bantal di dalamnya tetap kotor dan berkuman jika tidak digantikan bila sudah tiba masanya.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

Tidak kira jenama atau harga, setiap bantal tidak dapat bertahan buat selama-lamanya. Lambat laun, bantal yang dibeli ratusan dolar juga akan berbau, kotor dan menjadi tempat bakteria dan kuman membiak. Bantal yang sudah lama digunakan boleh menjejas tidur anda tanpa diketahui dan menjadi punca leher atau bahu kerap berasa kejang dan sakit bila bangun tidur.

KEBERSIHAN & ALAHAN

Tempat tidur merupakan persekitaran yang memudahkan kuman dan bakteria membiak dan melekat dan ia akan memakan sel-sel kulit mati kita, terutama pada ruang panas dan lembap.

Kuman-kuman ini juga boleh membuat mata dan hidung berair selain membuat anda bersin. Ia mudah menjejas golongan yang sensitif kepada alahan. Jika tidak menanganinya, lama-kelamaan gejala tersebut akan menjadi lebih buruk dan menjejas mutu tidur dan kesihatan diri.

Bayangkan anda menggunakan bantal yang sudah bertahun-tahun lamanya. Pasti bau badan akan melekat pada bantal anda. Dari peluh, rambut hinggalah air liur, minyak dari badan dan sel-sel kulit mati semuanya akan diserap oleh bantal kegemaran anda.

Berdasarkan satu kajian oleh para penyelidik di Universiti Manchester, mereka menemui 16 jenis cendawan pada satu bantal apabila ia tidak ditukar buat masa yang sangat panjang.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

Bukan saja ia menjadi tempat bakteria berkumpul tapi pelbagai mikro organisme lain juga boleh membiak di dalam bantal yang kotor itu.

Jadi, jangan terlalu ‘sayang-sayang’ dengan bantal empuk yang sudah berusia hampir sedekad itu. Bila sudah tiba masa untuk ditukar dengan yang baru, usah berfikir dua atau tiga kali.

CARA JAGA & BERSIHKAN BANTAL

Cuci bantal secara rutin sekurang-kurangnya dua kali setahun. Sebelum mencuci pastikan cuaca panas terik agar dapat menjemur bantal dan ia cepat kering dan tidak lembap. Setiap bantal mempunyai panduan cara mencuci yang berbeza-beza bergantung kepada jenis bantal. Baca dulu panduan atau label yang ada pada bantal.

Anda juga perlu rajin menepuk-nepuk bantal agar bentuk aslinya dapat dikekalkan. Dengan menepuk bantal, habuk yang melekat akan tanggal. Kemudian anginkan atau jemur bantal di tempat yang mempunyai cahaya matahari.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

JIKA TIDAK TUKAR BANTAL

Bukan makanan sahaja ada tarikh luput. Bantal juga mempunyai jangka hayatnya.

Jika sudah bertahun-tahun menggunakan bantal yang sama, anda pasti perasan mutunya tidak sama semasa baru-baru beli dulu. Lebih-lebih lagi jika ia sudah tidak dapat berfungsi untuk menyokong leher dan kepala dengan baik semasa anda tidur.

Terdapat pelbagai jenis bantal di pasaran yang memenuhi gaya hidup anda. Pilihlah jenis yang dapat menampung berat kepala selain selesa untuk leher dan bahu.

Ini boleh menjejas kesihatan jika anda tidak dapat tidur lena akibat menahan sakit leher, kejang otot atau sengal bahu secara berlarut-larut. Jika kerap berdepan dengan masalah ini, cubalah tukar bantal lama anda.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

5 TANDA BANTAL PERLU DITUKAR

• Setiap kali bila bangun tidur anda mengalami sakit leher, kekejangan otot di bahagian bahu dan mengalami kesukaran tidur lena kerana sakit kepala.

• Tiba-tiba terdapat alahan yang berulang-ulang seperti mata berair, hidung dan tekak gatal, ruam panas dan sebagainya.
• Jika warna bantal yang putih bertukar menjadi kekuningan atau berbintik hitam di permukaannya akibat kesan peluh, air liur, habuk dan sebagainya.

• Apabila bentuk bantal berubah dan bau hapak yang tidak hilang walaupun selepas mencucinya.

• Jika tiba-tiba muka, leher atau badan anda naik jerawat padahal sebelum ini anda jarang atau tidak pernah mengalami masalah jerawat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan