Skip to main content

Gaya Hidup

Jangan salah pilih makanan semasa perut kosong, ada makanan yang patut dielak

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lazimnya apabila perut sudah terasa lapar, apa sahaja makanan yang ada di atas meja pastinya akan nampak enak dan anda akan capai untuk menikmatinya untuk alas perut.

Makanan itu mungkin dapat menghilangkan rasa lapar buat seketika. Namun, apa yang tidak disedari makanan yang dimakan itu boleh memberi kesan pada perut yang kosong.

Apabila perut kosong dan tidak diisi dengan makanan untuk masa yang lama, ia akan menjadi lebih sensitif. Jika anda menikmati sesuatu yang mengandungi bahan asid ia boleh mendatangkan tidak keselesaan pada perut. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai perut yang sensitif. Makanan yang berasaskan asid itu, ia boleh merosakkan lapisan perut.

Ramai yang bertanggapan menikmati buah-buahan ketika perut kosong adalah pilihan yang tepat kerana ia diperkaya dengan pelbagai khasiat yang cepat diserap oleh tubuh selain menganggapnya sebagai antara sajian yang sihat.

Tidak kiralah sama ada ingin menikmati buah-buahan sebelum atau sesudah makan, penting untuk memastikan anda tidak menikmatinya dalam jumlah yang terlalu banyak. Menurut pakar pemakanan, kita disarankan untuk mengambil anggaran 150gm buah-buahan seharian.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Selain itu, tidak semua buah-buahan sesuai untuk dinikmati semasa perut kosong terutama bagi mereka yang mempunyai masalah asid refluks.

ELAK BUAH-BUAHAN INI SEMASA PERUT KOSONG

Terdapat beberapa buah-buahan yang mudah dicerna dan memberikan manfaat tertentu apabila ia dinikmati semasa perut kosong. Tapi, walaupun buah-buahan diperkaya dengan pelbagai manfaat, ada juga yang tidak serasi bagi yang perut sensitif semasa sedang lapar. Antaranya buah pir.

Kandungan serat kasar yang ada dalam buah ini didapati boleh mencederakan dinding perut terutamanya jika diambil semasa perut kosong. Sebaliknya, anda digalakkan untuk makan buah pir selepas menikmati sajian utama.
Selain pir, tomato juga merupakan antara buah yang boleh membuat perut rasa tidak selesa bagi sesetengah individu yang mempunyai perut sensitif. Menurut kajian, apabila mereka menikmati tomato semasa perut kosong, ia akan tingkatkan kadar asid dalam perut kerana kandungan asidnya yang tinggi. Jika perut sensitif anda boleh mendapat gastrik dan juga ulser perut.

Selain pir dan tomato, buah pisang juga terdiri dalam golongan buah-buahan yang mengandungi khasiat magnesium yang tinggi. Apabila menikmatinya semasa perut kosong, kandungan magnesium dalam darah boleh meningkat dan ia juga dikatakan tidak baik untuk jantung.

Apa pun buah-buahan yang ingin dinikmati, pastikan ia serasi dengan perut anda. Sebaik-baiknya alas perut dulu dengan makanan yang lain sebelum menikmati buah-buahan ini.

13 CEMILAN SIHAT UNTUK ALAS PERUT

Roti gandum


Jika ingin menikmati roti, pilihlah jenis yang bebas yis. Contohnya, roti gandum penuh yang diperkaya dengan pelbagai khasiat. Roti ini amat sesuai untuk semua tidak kira usia.
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Gandum hitam

Juga digelar 'buckwheat', ia dapat membantu untuk merangsang sistem penceranan. Gandum diperkaya dengan sumber zat besi selain vitamin dan protein
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Bubur 'cornmeal'

Sajian ringan ini dikatakan dapat membantu untuk membuang toksin dalam tubuh selain membaikpulih sistem usus. Pada masa yang sama, ia juga mudah membuat perut rasa kenyang.

Germa gandum

Juga dikenali sebagai wheatgerm, dengan menikmati 2 sudu besar gandum ini setiap hari, tubuh akan memperolehi anggaran 15 peratus vitamin E selain 10 peratus asid folik. Pada masa yang sama ia juga dapat membantu dalam proses pencernaan.

Bijirin oat

Ini antara pilihan yang tepat kerana ia dapat membantu melindungi lapisan perut dan pada masa yang sama menghalang asid daripada menjejas dinding perut. Selain itu sajian yang diperkaya dengan serat ini juga mudah larut dan bantu dalam proses penurunan kolesterol.
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Kekacang

Cuba sertakan kekacang semasa bersarapan pagi atau semasa perut kosong. Snek ini berupaya untuk memperbaiki sistem penghadaman selain membantu menormalkan kadar pH di dalam perut.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Madu

Mengandungi pelbagai khasiat, madu dapat memberi tenaga dan kekuatan kepada sistem tubuh pada waktu pagi. Selain itu madu juga dapat tingkatkan pengeluaran hormon yang akan menceriakan anda selain memberi mood yang baik.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Tembikai

Inilah antara buah-buahan yang mengandungi kandungan air melebihi 90 peratus. Ia dapat membantu menghidratkan tubuh selain diperkaya dengan antioksidan yang baik untuk kulit dan jantung.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Beri biru

Jadikan beri biru ini sebagai cemilan seharian anda. Pengambilan secara konsisten terutama untuk sarapan sangat digalakkan. Kajian mendapati pengambilan buah beri biru ini dapat menguatkan daya ingatan, menangani tekanan darah selain metabolisme.

Selain itu, kandungan vitamin dan antioksidannya juga baik untuk fungsi kognitif atau aktviti mental dan juga kesihatan jantung.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Betik

Diperkaya dengan serat dan enzim yang dapat merangsangkan pencernaan selain membantu masalah sembelit.
Kiwi

Mengandungi enzim yang dapat membantu dalam perncernaan selain tingkatkan sistem imunisasi.
 
Nanas

Kehadiran vitamin C dalam buah ini baik untuk sistem ketahanan tubuh dan sekaligus dapat membantu dalam masalah perut kembung. Tapi, jika mempunyai perut sensitif, pastikan untuk alas perut dulu sebelum menikmati buah ini dan makan dalam jumlah yang kecil.
Telur

Menurut kajian, jika kita menikmati telur setiap pagi, ia dapat membantu untuk mengurangkan pengambilan kalori sepanjang hari. Oleh itu, pastikan untuk sertakan telur dalam menu pagi seharian anda.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita