Jangan minum kopi berlebihan atau anda mungkin alami simptom ini
Pada masa kini, kopi tidak lagi dianggap sebagai sekadar sejenis minuman untuk menghilangkan haus atau mengelakkan rasa mengantuk semata-mata.

Gambar fail kopi. (Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Pada masa kini, kopi tidak lagi dianggap sebagai sekadar sejenis minuman untuk menghilangkan haus atau mengelakkan rasa mengantuk semata-mata.
Ia sudahpun perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada produk gaya hidup yang diambil secara rutin.
Malah jika ada pertemuan sama ada santai atau profesional, di situlah kopi akan menjadi sasaran.
Bagi golongan yang bekerja pula, meminum kopi boleh menjadi pemangkin ‘pembuka selera’ untuk mereka berdepan dengan pelbagai tugasan di pejabat atau tempat kerja.
Namun, ramai yang kadang-kadang lupa bahawa kopi mengandungi kafein. Dengan kesan kafein inilah yang boleh membuat anda kurang rasa mengantuk dan kadangkala berdebar-debar.
Bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia juga boleh memberikan kesan tidak baik pada kesihatan.
Jika anda mengalami beberapa gejala seperti MASKULIN yang dikongsi di bawah, ia petanda anda harus kurangkan pengambilannya dengan segera.
SERING SAKIT PERUT
Selepas minum kopi sahaja, anda mula sakit perut yang memulas. Ia mungkin disebabkan berlakunya gangguan pada proses pencernaan. Kopi boleh menjadi punca kepada refluks gastroesofageal. Jadi kurangkan minum kopi buat sementara waktu.
MUDAH CEMAS
Individu yang terlalu banyak minum kopi didapati akan mudah berasa cemas. Selain itu, mereka juga berdepan masalah kurang tidur dan sukar mendapatkan mutu tidur yang baik.
JANTUNG BERDEGUP KENCANG
Jika mula rasa jantung semakin pantas berdegup, itu petanda besar bahawa anda perlu kurangkan minum kopi. Kandungan kafein mencetuskan denyutan jantung yang pantas lalu boleh menyebabkan anda juga berasa sakit kepala.
SUKAR TIDUR
Inilah antara sebab mengapa ramai meminum kopi iaitu untuk mengelak dari rasa mengantuk. Namun, jika diambil dengan banyak atau tidak kena pada waktunya - sebagai contoh waktu malam, maka ia boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur. Apabila tidur tidak cukup, keesokannya anda minum lagi kopi untuk elak rasa mengantuk di pejabat. Ini memburukkan lagi keadaan.
SAKIT KEPALA
Bagi penggemar kopi, minuman ini mampu meredakan rasa tekanan mereka. Namun dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Johns Hopkins, ia mendapati individu yang minum lebih lima cawan kopi akan berdepan sakit kepala.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.