Skip to main content

Gaya Hidup

Jangan biar jerebu suramkan hujung minggu anda

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan biar jerebu suramkan hujung minggu anda

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 09:01AM Dikemas Kini : 02 Oct 2026 09:02AM
  • Di Singapura, jerebu dan mutu udara yang berubah boleh mengganggu rancangan hujung minggu seperti berlari, berbasikal, berkelah atau membawa anak ke taman permainan.
  • Orang ramai digalak menyesuaikan aktiviti dengan bersenam di rumah, melakukan yoga, regangan, kerja rumah atau aktiviti ringan dalam bangunan mengikut kemampuan.
  • Ibu bapa boleh mengurangkan masa skrin anak melalui permainan ruang tamu, memasak bersama, mengemas rumah atau memilih aktiviti tertutup seperti boling dan berenang.
  • Jika perlu keluar, semak udara, pendekkan masa di luar, guna pelitup muka, tutup tingkap, bersihkan habuk dengan kain lembap, minum air dan makan seimbang.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Jerebu tidak semestinya bermakna semua rancangan hujung minggu perlu dibatalkan. 

Daripada mengubah rutin senaman hinggalah melakukan aktiviti baharu bersama keluarga, banyak cara untuk kekal aktif dan menikmati masa bersama tanpa perlu lama berada di luar.

Walaupun keadaan jerebu di Singapura mungkin semakin reda, mutu udara masih boleh berubah dan aktiviti luar yang lasak atau berpanjangan mungkin kurang sesuai apabila pencemaran meningkat.

Jika anda sudah merancang aktiviti hujung minggu, keadaan seperti ini mungkin boleh mengganggu sedikit perancangan. 

Larian pagi mungkin ditangguhkan, rancangan untuk ke berkelah juga diubah dan kunjungan ke taman permainan bersama anak-anak mungkin bukan lagi pilihan apabila keadaan udara kurang baik.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

Namun, jerebu tidak semestinya bermakna hujung minggu perlu berakhir sebelum ia bermula. Apa yang diperlukan hanyalah sedikit penyesuaian. Jika biasanya anda menghabiskan Sabtu pagi dengan berlari di taman atau tepi pantai, mungkin kali ini anda boleh bersenam di rumah.

Bagi yang mempunyai anak-anak kecik, jika mereka rasa bosan kerana tidak dapat bermain di luar, anda juga boleh adakan permainan sendiri di ruang tamu. 

Jika rancangan berkelah terpaksa ditangguhkan, gunakan masa tersebut untuk memasak bersama keluarga atau mencuba sesuatu yang sudah lama ingin dilakukan. Mudah kata, jerebu atau udara yang kurang sihat diluar mungkin mengubah rancangan hujung minggu tetapi tidak semesti menghalangnya.

MASIH BOLEH AKTIF

Bagi mereka yang biasa memulakan pagi hujung minggu dengan berlari-lari anak, berbasikal, berjalan kaki atau bersenam di taman, perubahan kecil mungkin diperlukan jika keadaan udara kurang baik.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Aizam)

Aktiviti luar memang menyeronokkan, tetapi jika kualiti udara kurang baik, aktiviti lasak atau berpanjangan mungkin kurang sesuai.

Namun, anda masih boleh kekal aktif di rumah. Bentangkan tikar untuk yoga, regangan atau senaman menggunakan berat badan sendiri. Tidak perlu peralatan mahal, yang penting, tubuh terus bergerak.

Jika rumah mempunyai tangga, menaiki dan menuruni tangga beberapa kali juga boleh menjadi sebahagian daripada aktiviti fizikal harian, selagi dilakukan dengan selesa dan sesuai dengan kemampuan masing-masing.  

Anda tidak semestinya perlu melakukan sesi senaman yang panjang. Pergerakan kecil sepanjang hari juga sudah memadai. Bangun daripada kerusi, berjalan sebentar, meregangkan badan atau sekadar berdiri selepas duduk terlalu lama boleh membantu mengurangkan tempoh tidak aktif.

Malah, kerja rumah pun dikira sebagai pergerakan. Mengemas bilik, menyusun barang, melipat pakaian atau membersihkan rumah boleh membuatkan kita terus bergerak. 

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

Bagi yang sudah biasa bersenam di luar rumah, jika anda tetap mahu melakukan aktiviti di luar, semak keadaan udara terlebih dahulu dan pertimbangkan aktiviti yang lebih ringan atau tempoh yang lebih pendek. Jika biasanya anda berlari, mungkin berjalan santai menjadi pilihan yang lebih sesuai. Jika gemar berbasikal, pendekkan laluan atau tukarkannya kepada aktiviti dalam bangunan.

Paling penting, jangan paksa diri. Jika mula mengalami batuk, sesak nafas, dada terasa ketat, pening atau rasa tidak sihat ketika melakukan aktiviti fizikal, berhenti dan berehat. Tidak ada salahnya menangguhkan sesi senaman sehingga keadaan udara kembali lebih baik.

Cara mudah jaga diri semasa jerebu

  • Pilih buah yang tinggi air antaranya tembikai, oren dan strawberi yang dapat membantu menambah pengambilan cecair.
  • Jangan tunggu haus. Minum air dengan kerap sepanjang hari, terutama jika banyak berada di dalam bangunan berhawa dingin.
  • Pilih makanan yang berkhasiat. Buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang kaya antioksidan boleh menjadi sebahagian daripada diet seimbang.
  • Jadikan rumah ruang lebih selesa. Kurangkan membuka tingkap ketika keadaan jerebu teruk dan pilih aktiviti ringan di dalam rumah.
  • Minuman yang menyegarkan. Antaranya, air kosong, sup atau minuman tanpa gula berlebihan boleh membantu memenuhi keperluan cecair harian.
Kurangkan Artikel

AKTIVITI & PEMAKANAN

Bagi ibu bapa, jerebu membawa satu lagi cabaran, iaitu bagaimana hendak memastikan anak-anak tidak menghabiskan seluruh hujung minggu di hadapan telefon, tablet atau TV? Anda mungkin memerlukan sedikit kreativiti. Apabila taman permainan, padang atau aktiviti luar bukan pilihan, ibu bapa boleh membawa keseronokan itu ke dalam rumah. Antaranya anda boleh melakukan pelbagai aktiviti bersama. 

Tidak perlu terlalu rumit. Kadangkala permainan paling mudah yang tidak memerlukan banyak persediaan boleh menjadi yang paling menyeronokkan. Ibu bapa juga boleh turut serta. Selain memastikan anak-anak bergerak, aktiviti yang dilakukan bersama pasti dapat memberi peluang kepada seluruh keluarga untuk meluangkan masa bersama tanpa terlalu bergantung kepada skrin.  

Jika keluarga mahu keluar rumah, aktiviti dalam bangunan juga boleh menjadi pilihan, bergantung pada keadaan udara dan keselesaan masing-masing. Badminton, boling, berenang di kolam tertutup atau sekadar berjalan-jalan di pusat beli-belah boleh memberikan perubahan suasana tanpa perlu menghabiskan masa yang panjang di ruang terbuka.

Yang penting, jangan anggap rancangan asal anda gagal hanya kerana lokasinya perlu ditukar. Kadangkala, anda cuma perlu mencari alternatif lain untuk aktiviti yang sama. Jerebu juga boleh menjadi alasan untuk melakukan perkara yang selama ini sering ditangguhkan.

Contohnya, mencuba resipi baharu bersama anak-anak, susun semula rak buku atau kemas sudut rumah yang berselerak. Mungkin pada mulanya anak-anak mengeluh kerana tidak dapat keluar. Tetapi selepas beberapa jam bermain, memasak atau melakukan aktiviti bersama-sama, mereka mungkin langsung tidak teringat tentang taman permainan.

Pada masa yang sama, anda juga harus kekalkan amalan pemakanan yang seimbang dengan mengambil buah-buahan, sayur-sayuran, sumber protein dan makanan berkhasiat sebagai sebahagian daripada diet harian. Pastikan juga anda minum air secukupnya, terutama jika tekak terasa kering atau tidak selesa.

Tidak perlu mencari minuman khas hanya kerana keadaan berjerebu. Asas penjagaan diri yang baik masih sama seperti biasa. Mata pula mungkin menjadi antara bahagian yang cepat terasa kesannya apabila udara kurang baik. Mata mungkin menjadi gatal, merah, berair atau terasa seperti terdapat pasir di dalamnya. Cuba elakkan menggosok mata kerana ia boleh menyebabkan iritasi menjadi lebih teruk.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Aizam)

JIKA PERLU KELUAR LAKUKAN DENGAN BIJAK

Sudah tentu bukan semua orang mempunyai pilihan untuk duduk di rumah apabila jerebu atau udara kurang sihat. Ada yang perlu ke pejabat, menghantar anak ke sekolah, ke pasar dan kedai atau menyelesaikan urusan lain yang tidak dapat dielakkan.

Jika ingin keluar, cuba kurangkan tempoh berada di luar apabila keadaan kurang baik. Jika sesuatu urusan tidak perlu dilakukan dengan segera, anda mungkin boleh menangguhkannya sehingga keadaan bertambah baik.

Pelitup muka yang sesuai juga boleh digunakan sebagai salah satu langkah berjaga-jaga apabila perlu berada di luar. Namun, pemakaian pelitup muka tidak bermakna seseorang perlu menghabiskan lebih banyak masa di luar apabila keadaan udara kurang baik.

Di rumah pula, pintu dan tingkap boleh ditutup apabila keadaan luar tidak sesuai bagi membantu mengurangkan kemasukan udara dari luar. Jika habuk atau partikel sudah masuk ke dalam rumah, gunakan kain lembap untuk mengelap permukaan dan mop lantai berbanding menyapu secara kering, yang boleh menyebabkan habuk berterbangan semula.

Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

HUJUNG MINGGU TETAP MERIAH

Ada sesuatu yang menarik tentang jerebu. Ia membuatkan kita sedar betapa banyak rancangan hujung minggu bergantung kepada ruang luar. Contohnya, larian pagi, berbasikal, berkelah, berjalan di taman atau membawa anak bermain dan lain-lain.

Apabila semua itu tiba-tiba tidak menjadi pilihan, kita terpaksa mencari alternatif. Dan sebenarnya, pilihannya banyak. Mungkin larian pagi perlu ditukar kepada sesi yoga di ruang tamu. Aktiviti berbasikal boleh digantikan dengan senaman ringan di rumah. Rancangan berkelah pula boleh ditukar kepada sesi memasak bersama keluarga. Permainan papan yang selama ini tersimpan di dalam almari boleh dikeluarkan semula.

Anda juga boleh membaca buku yang sudah lama dibeli tetapi belum sempat dibaca, menonton Netflix bersama keluarga, mencuba resipi baharu atau mengemas rumah bersama-sama. Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, hujung minggu di rumah juga boleh menjadi peluang untuk mencipta kenangan tanpa memerlukan aktiviti yang mahal atau perjalanan yang jauh.

Kadangkala, permainan ringkas di ruang tamu sudah cukup untuk membuatkan anak-anak lupa bahawa mereka tidak dapat ke taman. Mungkin itulah sisi lain jerebu yang jarang kita fikirkan. Ia memaksa kita memperlahankan rentak dan mencari keseronokan di tempat yang selama ini dianggap biasa.

Jadi bila bacaan PSI mula meningkat, jangan terus menganggap hujung minggu anda akan menjadi bosan. Semak keadaan udara, jaga diri dan keluarga, ubah sedikit rancangan dan teruskan menikmati masa bersama. Dan yang penting, jangan biarkan jerebu suramkan hujung minggu anda!

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita