Jangan bazir! Kulit tembikai kaya khasiatnya
Jika anda penggemar buah tembikai, sudah tiba masanya untuk fikir dahulu sebelum membuang kulit buah itu begitu sahaja selepas menikmati isinya - yang rendah kalori dan terdiri daripada 90 peratus air lantas cukup menyegarkan.
(Gambar: pexels)
Apa kata anda mula manfaatkan khasiat yang terkandung dalam kulit tembikai dan dalam pada itu, mengurangkan sisa sekali gus?
Lazimnya, kulit tembikai dibuang ke dalam tong sampah, menyumbang kepada jumlah sisa yang terkumpul.
Walhal, kulit tembikai itu boleh dimakan dan bahkan disyorkan oleh ramai karyawan kesihatan kerana ia mengandungi banyak manfaat.
Kulit tembikai kaya dengan vitamin-vitamin A, C dan B6 serta juga nutrien lain termasuk asid amino 'citrulline' dan antioksidan 'lycopene' yang mana kedua-duanya baik untuk kesihatan jantung, menurut agensi berita Malay Mail menukil ETX Studio.
Selain sifat antikeradangannya, kulit tembikai juga sarat dengan potasium, zink dan magnesium iaitu nutrien yang penting untuk tubuh kita berfungsi dengan betul.
Malah, ia juga boleh membantu melambatkan proses penuaan kulit, meningkatkan penghasilan kolagen selain membantu melembapkan kulit.
Biarpun rasanya sedikit pahit seperti kulit limau, anda boleh cuba menikmati kulit tembikai sekali harung dengan isinya.
Jika tidak, anda juga boleh mencuba pelbagai resipi lain untuk menyediakan pencuci mulut atau minuman menarik yang menggunakan kulit tembikai.
Apa sekalipun cara yang dipilih, harapnya apabila ingin menikmati semangka selepas ini, anda akan mula mengubah cara menghidangkannya dalam usaha mengurangkan sisa di muka bumi ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.