Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jangan asal beli; pilih kacamata sesuai ikut bentuk wajah anda

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan asal beli; pilih kacamata sesuai ikut bentuk wajah anda

Gambar hiasan kacamata. (Gambar: Pexel)

SINGAPURA: Bila melihat orang lain memakai kacamata dan nampak bergaya, terdetik dalam hati untuk memiliki kacamata yang sama. Namun, setelah membeli dan menggayakannya rasa menyesal pula kerana ia tidak sesuai dengan wajah anda. Mengapa?

Kacamata adalah antara aksesori yang patut diberi perhatian jika anda inginkan penampilan yang selesa, sempurna dan trendy. Tidak kira sama ada kacamata hitam, yang digunakan untuk melihat jarak jauh atau untuk membaca, setiap kacamata boleh dijadikan statement piece dalam gaya seharian anda.

Memilih kacamata yang sesuai dengan wajah adakalanya tidak mudah.

TIP PILIH KACAMATA

Terdapat pelbagai faktor yang harus dipertimbangkan. Dari bentuk dan warna bingkai hinggalah gaya kacamata itu sendiri. Semua itu dapat memberi pengaruh pada gaya keseluruhan seseorang.

Bukan itu saja, penting juga untuk kenali terlebih dulu bentuk wajah anda kerana setiap individu dicipta dengan bentuk muka dan wajah yang berbeza-beza. Ada yang mempunyai wajah bentuk bulat, bujur sirih, lonjong, segi sempat, bentuk hati dan sebagainya.

Bagi wanita berhijab anda juga tidak terkecuali, pastikan kacamata yang dipilih versatil dan mudah dipadankan dengan gaya lilitan hijab seharian anda. Selain gaya berhijab, potongan rambut juga memainkan peranan bila bergaya dengan kacamata. Tidak kira sama ada rambut pendek, panjang, kerinting dan sebagainya.

Setelah semua perkara tersebut diambil kira baru lah anda boleh senarai pendek atau buat pilihan kacamata yang lebih tepat dan sempurna. Bila memilih bingkai kacamata pastikan juga ia mampu menutupi kekurangan wajah anda agar ia dapat membuat bentuk wajah tampil lebih ideal dan sekaligus menyerlahkan lagi gaya peribadi anda.

Setelah anda kenali terlebih dahulu bentuk wajah, cara dandanan dan gaya seharian anda. Panduan berikut pasti dapat membantu semasa ingin membuat pemilihan.

SEGI EMPAT

Jika mempunyai wajah segi empat, anda digalakkan untuk memilih kacamata yang berbentuk bulat atau lonjong.

woman spectacle segi empat

Bingkai jenis ini dapat memberi garis lengkung wajah dan secara tidak langsung membuat wajah kelihatan lebih panjang. Elak dari memilih bingkai yang terlalu kecil atau bentuk empat segi.

BULAT MEMANJANG

women glasses

Jika wajah anda bulat, pilihlah kacamata yang bersegi dan elak daripada bergaya dengan bentuk bingkai yang bulat. Ia akan membuat wajah anda seperti belon.

Bingkai empat persegi atau bentuk kotak dapat membantu membuat wajah tampil lebih panjang. Ia juga dapat memberi keseimbangan pada wajah. Apa pun, cuba elakkan juga dari bingkai kacamata yang tebal atau warna gelap.

BUJUR SIRIH

woman glasses

Inilah antara bentuk yang versatil. Anda boleh memilih apa saja bingkai kacamata. Jika ingin kelihatan lebih menyerlah, pilh bingkai yang sama lebar dengan wajah anda.

Kelebihan memiliki bentuk wajah ini ialah anda dapat mengikut trend kacamata terkini. Tapi awas, elak dari memilih bingkai yang terlampau ekstrim yang melebihi wajah luas anda.

BENTUK HATI

Bagi yang mempunyai wajah ini anda digalakkan untuk cuba gayakan kacamata yang ringkas kerana bahagian dahi anda luas.

Anda mungkin ingin mencuba kacamata 'frameless' atau tanpa bingkai. Ia akan membuat dahi dan bahagian rahang kelihatan seimbang.

WAJAH PANJANG

women glasses

Jika wajah anda memanjang, anda boleh mencuba bingkai berbentuk kotak. Kacamata jenis ini dapat membantu membuat wajah tampil lebih lebar dan pendek.

Jika bentuk muka anda memanjang, cuba elak dari bergaya dengan bingkai kacamata yang lebih besar dari wajah anda.

SOLEKAN WAJAH

woman makeup glasses

Anda seorang yang sering menggunakan solekan mata?

Pastikan untuk memilih bingkai tipis seperti dari bahan titanium. Tampil cantik dengan bingkai warna emas keemasan atau warna kulit agar ia dapat menyerlahkan alis dan bulu mata anda.

GAYA RAMBUT

woman glasses hairstyle

Cuba pilih bentuk bingkai kacamata yang menepati gaya rambut seharian anda. Adakah anda ingin fokus penampilan pada rambut atau wajah atau kedua-duanya sekali?

Dengan pemilihan bingkai yang tebal atau unik. Ia dapat serlahkan penampilan anda seiring dengan gaya rambut dan wajah.

HIJAB

Bagi yang berhijab, bila memilih kacamata pastikan anda menggayakan dengan salah satu daripada tudung kegemaran anda.

Penting untuk padankan kacamata dengan lilitan tudung yang kerap anda gayakan seharian.

wanita hijab glasses story

Sebaik-baiknya pilihlah jenis tangkai bingkai yang lurus dan halus kerana ia adalah lebih sesuai dan praktikal. Ia dapat mengelakkan rambut daripada kelihatan atau terkeluar semasa anda menanggalkan kacamata.

Apa juga pilihan anda, semuanya bergantung kepada diri sendiri, bak kata pepatah tepuk dada tanya selera. Tiada yang betul atau salah. Tip-tip berikut sekadar panduan sahaja.

Yang penting kacamata yag dibeli menepati peruntukan kewangan dan sekaligus membuat anda gembira bila menggayakannya seharian!

 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan