Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jamu selera bertemakan kolong blok retro di Buey Tahan See-Food Downtown East

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Di zaman media sosial ini, ramai yang gemar ke tempat-tempat makan yang bertema kerana inilah peluang untuk memetik gambar dari pelbagai sudut. Gambar kemudian dimuat naik online dan lebih ramai orang berminat untuk ke tempat yang sama kerana turut tertarik dengan konsep yang unik.

Bercakap tentang unik pula, restoran Buey Tahan See-Food yang terletak di tingkat empat bangunan E!Hub di Downtown East, menawarkan pengalaman kolong blok 'old school'!

Ini merupakan cawangan restoran Buey Tahan See-Food yang kesembilan, dengan konsep yang berbeza daripada cawangan-cawangan sebelum ini.

Bila berada di sana anda pasti akan dapat mengimbau kenangan mengunjungi kedai mama di kolong-kolong blok perumahan HDB, yang sangat popular pada suatu ketika dulu kerana terdapat sebuah replika dipanggil 'Buey Tahan Mama Shop',yang menjadi daya tarikan pelanggan.

Malah, kedai mama itu siap menjual aneka cemilan, biskut dalam tin, gula-gula, minuman, selain permainan yang membangkitkan nostalgia seperti kapal terbang dan bola kertas, capteh, catur dan banyak lagi.  

Selain itu, meja makan yang berbentuk bulat dengan bangku ala tempat duduk bawah blok turut menarik perhatian pelanggan.

Untuk melengkapkan suasana retro, terdapat juga peti surat lama, telefon antik berwarna jingga, sangkar burung vintaj serta papan-papan tanda yang sering dilihat di tembok kolong blok HDB. Semua elemen ini ternyata menyerlahkan lagi dekor dalaman restoran tersebut. 

Keunikannya membuat ramai mengambil kesempatan untuk 'selfie' atau bergambar di pelbagai sudut restoran. Antaranya di ruang yang berlatarkan 'feature wall' lampu neon berwarna-warni yang bertemakan makanan. 

Bagi mereka yang datang bersama anak kecil untuk menjamu selera, restoran itu turut menyediakan ruang permainan yang dilengkapi dengan sorot-sorot. Anak-anak boleh bermain di sudut tersebut selepas mereka makan. Ibu bapa pasti akan rasa lebih tenang untuk menikmati sajian sementara anak-anak bermain.

Dibuka dari pagi hingga lewat malam, nikmati sarapan selain pelbagai pilihan sajian makanan laut, mi, nasi dan banyak lagi. Yang pasti sajian enak dan harganya berpatutan. Buey tahan, pasti nak cuba!

MAKAN APA?

Jadi, apakah antara hidangan yang dijual di Buey Tahan See-Food ini?

Bila membelek-belek menunya pasti akan membuat anda rambang mata untuk membuat pilihan makanan. Terdapat kepelbagaian sajian yang menepati citarasa ramai tidak kira usia.

Sarapan pagi bermula dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 2.00 petang dan antara hidangan yang ditawarkan – Champion’s Breakfast ($12.90) yang merangkumi daging salai ayam dan ayam belanda, cendawan, ayam chipolata, telur, kentang hash brown, tomato, roti, baked beans dan campuran salada mesclun. 

Selain itu terdapat juga croissant, wafel dan gelato.

Lumayan sajiannya dan pasti akan membuat perut kenyang hingga berjam-jam lamanya.

Jika berada di restoran itu selepas jam 12.00 tengah hari hingga ke larut malam, anda berpeluang menjamu selera sajian aneka mi, nasi, makanan laut dan banyak lagi. 

Bagi penggemar ketam, anda boleh menikmati Crab in Da Bag yang dilabel sebagai ‘best seller’. Hidangan itu merangkumi ketam, udang, remis, kentang dan jagung. 

Selain itu anda juga boleh mencuba Butter Milk Crab, Black Pepper Crab, Chili Crab, Salted Egg Crab yang semuanya berharga antara $35 dengan $37. Bagi peminat udang, Prawn Paste Chicken yang enak menanti anda! Cuba gandingkannya dengan sambal belacan. Syiok! 

Jika terasa ingin menjamu selera nasi dan mi pula, anda juga tidak akan hampa kerana terdapat pilihan yang luas. Antaranya Sambal Dry Hor Fun, Kway Teow Soup, Fish Slice Hor Fun, Seafood Hokkien Prawn Mee, Claypot Noodle, Mee Goreng, Bee Hoon Soup Crab dan banyak lagi. Harganya bermula dari $5.50 mengikut pilihan saiz hidangan. 

MINUM APA?

Sambil menikmati sajian, basahkan tekak yang kering dengan pelbagai pilihan minuman moktel yang berwarna-warni. Antaranya Marley B yang dihasilkan dengan gabungan sirap ros, laici, epal dan soda. 

Selain itu terdapat juga tiga pilihan moktel signature – Granny’s Tree yang mengandungi sirap yuzu, blue lagoon, jus epal dan soda. 

Sementara itu Madam Rose pula mempunyai rasa yang menyegarkan dengan kombinasi sirap ros, tembikai, epal dan soda. Yang terakhir, Mister Apple yang warnanya kehijauan dan mengandungi campuran sirap dan jus epal, laici dan soda. Harga moktel hanya $4.90 satu jag!

Tunggu apa lagi? Jika ada berura-ura untuk makan luar pada hujung minggu ini, boleh lah ke Buay Tahan See-Food di Downtown East!

Alamat: Downtown East, E!Hub #04-101 Tel: 6555 5300. Dibuka setiap hari 8.00 pagi – 11.30 malam 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan