‘Jalani kehidupan lebih bermakna’: Mengapa warga SG tinggalkan dunia korporat untuk menjadi petani di Johor
Di bawah terik matahari pada waktu tengah hari di Ulu Tiram, Johor, Imran Aljunied berdiri di atas tangga, untuk memetik buah lada yang masih belum masak.
Imran Aljunied, pengasas bersama ladang A Little Wild, berkata beliau memilih untuk bertani di Malaysia berikutan kekangan tanah di Singapura. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
- Beberapa warga Singapura seperti Imran Aljunied, Nabilah Bagarib dan Will Chua membuka ladang di Johor dan Malaysia untuk mengejar autonomi serta peluang pertanian yang lebih luas.
- Mereka menukar kerjaya sebelum ini kepada bidang pertanian, mengurus ladang secara lestari dan membekalkan hasil ke Singapura serta Malaysia.
- Cabaran utama termasuk modal, undang-undang pemilikan tanah, keperluan membina kepercayaan dengan komuniti tempatan, dan risiko perniagaan.
- Motivasi mereka ialah keselamatan makanan, kestabilan kewangan, dan keinginan membina kerjaya bermakna, walaupun bidang ini memerlukan pengorbanan dan kerjasama erat.
Peluh membasahi wajahnya yang kemerahan akibat selaran matahari, namun beliau tetap tersenyum.
“Kami menuai lada hitam hari ini,” kata warga Singapura berusia 40 tahun itu.
Encik Imran membantu menguruskan A Little Wild, sebuah ladang seluas 55 hektar yang diasaskannya bersama dua lagi warga Singapura dan seorang rakyat Malaysia pada 2020. Ladang itu, yang dahulunya merupakan sebuah ladang kelapa sawit, bersaiz kira-kira 77 padang bola sepak dan terletak sekitar 45 minit pemanduan dari Koswe.
Hari kerjanya boleh mencecah sehingga 12 jam, namun kata beliau ia lebih baik berbanding pekerjaannya di pejabat sebelum ini di sebuah badan berkanun Singapura. Bapa kepada dua orang anak itu juga turut berpindah dari flat Lembaga Perumahan an Pembangunan (HDB) di Singapura kepada sebuah rumah kampung di ladang tersebut, di mana beliau tinggal bersama isteri dan dua anaknya.
“Saya suka idea berdikari sebagai sebuah masyarakat. Saya tidak bergantung kepada mana-mana pihak untuk makanan dan air … Ini memberi saya kebebasan dan saya tidak terikat kepada sesiapa pun,” kata Encik Imran kepada Mediacorp.
Ladang itu mendapatkan bekalan air tawar dari sebuah tasik kecil di dalam kawasannya, dan para petani turut memakan hasil tanaman yang diusahakan.
Seminggu sekali, pasukannya menuai hasil tanaman seperti nanas, pisang, koko, lada dan serai. Hasil itu dibungkus dan dihantar kepada kira-kira 20 pelanggan, termasuk restoran, yang berpangkalan di Singapura.
Masa selebihnya dalam tempoh seminggu akan dihabiskan untuk menguruskan ladang — memangkas, membaja dan memantau dengan teliti pertumbuhan setiap tanaman.
“Saya hanya mahu mengejar minat saya dan Singapura tidak mempunyai tanah untuk saya lakukan ini,” kata beliau.
Melangkah ke utara, beliau dan rakan-rakan pengasasnya bekerjasama dengan pelabur lain untuk membeli tanah di Ulu Tiram dan mula bercucuk tanam tidak lama selepas membersihkannya.
Seperti Encik Imran, sebilangan warga Singapura melintasi Koswe untuk memulakan ladang di Malaysia, tertarik dengan harga tanah yang lebih murah yang membolehkan mereka memiliki kawasan yang lebih luas, serta peluang untuk membina sesuatu yang dimiliki mereka sendiri.
Walaupun tiada statistik rasmi tersedia berhubung jumlah ladang milik warga Singapura di negeri selatan itu, semakan Mediacorp mendapati terdapat sekurang-kurangnya enam ladang sedemikian di kawasan luar bandar Johor, termasuk Gelang Patah, Kota Tinggi dan Kluang.
Bagi mereka yang ditemui Mediacorp, tarikan untuk menjadi seorang petani adalah jelas: autonomi, tujuan dan hubungan yang lebih rapat dengan makanan yang mereka hasilkan.
Dengan harga bahan api dan makanan yang kini meningkat menyusuli perang di Timur Tengah, para petani tersebut turut menekankan kepentingan keselamatan makanan dan keupayaan sara diri yang semakin meningkat.
Kata warga Singapura Nabilah Bagarib, yang mengasaskan sebuah ladang biri-biri di Desaru bersama suaminya: “Terutamanya dengan keadaan geopolitik semasa, negara-negara semakin sedar bahawa menjadi berdikari dari segi makanan adalah penting.
“Jika anda tidak mengutamakan keselamatan makanan dan hasil tempatan, anda mungkin berada di pihak yang rugi.”
Bagi sesetengah pihak, langkah melintasi Koswe adalah untuk mentakrifkan semula makna kejayaan.
Cik Nabilah dan suaminya Ashraf Bakar memulakan usaha itu pada 2015 dengan sebuah ladang biri-biri sederhana di Mersing.
Perniagaan itu berkembang dan mereka memindahkan operasinya ke tapak lebih besar di Desaru pada 2017.
Ladang mereka, Aliyah Rizq – dinamakan sempena ibu Cik Nabilah yang juga pelabur pertama mereka – kini meliputi kawasan bersamaan 150 padang bola sepak dan menempatkan ratusan biri-biri, beberapa ekor kuda, unta, burung unta serta ayam.
Mereka juga mempunyai beberapa ladang lebih kecil di lokasi lain di rantau ini, termasuk di bahagian Malaysia yang lain, serta di Indonesia dan Kemboja.
Rutin harian pasangan itu tertumpu kepada pembiakan dan penternakan biri-biri serta kambing, yang sebahagian besarnya dijual di Singapura dan Malaysia untuk amalan keagamaan seperti korban dan akikah, di mana dagingnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Mereka juga menjadikan ladang di Desaru itu sebagai satu destinasi rekreasi yang menarik kira-kira 500 pengunjung sebulan. Pada hujung minggu, keluarga dan pengunjung lain datang untuk menunggang kuda, menaiki kenderaan lasak pelbagai guna, serta berinteraksi rapat dengan haiwan.
Bagi Encik Ashraf, 38 tahun, yang sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan dan perdagangan, keputusan untuk beralih arah itu amat berbaloi. Kini beliau memperoleh pendapatan yang lebih tinggi berbanding dahulu dan menyifatkan ladang tersebut sebagai perniagaan yang “berterusan” dan “merentas generasi”.
Beliau juga mendapati “peluang dan kestabilan di sini jauh lebih baik”.
Dana dalam bentuk dolar Singapura yang lebih kukuh daripada pekerjaan mereka sebelum ini memberi mereka kuasa membeli yang lebih tinggi di Malaysia, sekali gus membolehkan pasangan itu melabur dalam perniagaan serta mengembangkannya.
“Mata wang kami lebih kukuh, jadi ia membolehkan pertumbuhan dan pengembangan yang lebih baik,” kata beliau.
Bagi Encik Imran dari A Little Wild, kejayaan kini bermaksud pengurusan dan pemulihan tanah.
Pasukannya yang terdiri daripada sekitar 12 orang petani sedang berusaha untuk mengubah bekas ladang kelapa sawit itu menjadi sebuah agrohutan bercirikan pendidikan — beralih daripada kaedah pertanian konvensional kepada model yang dianggap lebih mampan oleh para pengasas bersama ladang berkenaan.
Daripada bergantung kepada baja atau bahan kimia, mereka menanam pelbagai jenis tanaman di plot yang sama. Ini membolehkan tanaman yang berbeza-beza untuk saling menambahkan nutrien dalam tanah dan membantu antara satu sama lain dalam pertumbuhan masing-masing.
Pengasas bersama A Little Wild dari Malaysia, Will Chua, seorang penduduk tetap Singapura, meninggalkan gaji tahunan dalam lingkungan enam angka sebagai seorang kakitangan awam kanan di Singapura untuk memulakan ladangnya sendiri.
Beliau ketika itu sedang mencari sesuatu yang memberikan kepuasan hidup yang lebih besar. “Saya mula menyedari apa yang saya anggap bermakna dalam hidup,” kata beliau. “Dan saya sedar saya tidak memerlukan banyak untuk berasa bahagia.”
Perubahan itu bukan sahaja membentuk semula pandangannya, malah turut memberi kesan kepada kesihatannya, kata beliau.
“Dalam tempoh setahun bekerja di ladang, petunjuk kesihatan saya kembali sempurna,” kata beliau, sambil menambah bahawa keadaan kesihatan beliau seperti tekanan darah tinggi dan hati berlemak sudah menunjukkan peningkatan ketara.
Ini bukan bermakna kehidupan sebagai seorang petani sentiasa mudah.
Di samping memerlukan modal, pekerjaan itu juga menuntut tenaga fizikal, selain dipenuhi ketidaktentuan, kata para petani.
Memandangkan warga asing tidak dapat memiliki tanah pertanian dengan mudah di Malaysia, ramai yang perlu mencari rakan tempatan yang boleh dipercayai.
Encik Chua berkata pemilik ladang dan para pelabur di Johor juga perlu bersabar dan memberi waktu kepada perniagaan untuk menjadi berdaya maju dalam jangka panjang.
“Kami memerlukan modal (dari sumber) yang boleh bersabar dan kami bernasib baik untuk memilikinya di sini (di A Little Wild). Pelaburan kami dalam tanah dan pekerja adalah untuk jangka panjang, kami tidak menuntut pulangan pelaburan dengan segera,” kata beliau.
Namun, kejayaan tidak dijamin.
Sebagai contoh, Ladang Desaru Ostrich, yang dimulakan oleh bekas juruterbang Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) Collin Teh pada 1995, ditutup pada penghujung 2024 selepas hampir 30 tahun, menurut catatan di media sosialnya.
Apabila Mediacorp menemu bual Encik Teh pada 2023, beliau berkongsi bagaimana pandemik COVID-19 menghentikan sektor pelancongan dan beliau terpaksa menyalurkan jutaan dolar daripada wangnya sendiri untuk mengekalkan perniagaan tersebut.
Beliau malah terpaksa melupuskan sebahagian daripada burung untanya untuk memastikan perniagaan itu terus bertahan.
KEPERCAYAAN PERLU DIBINA
Mereka yang berpengalaman berkata warga Singapura yang ingin memulakan ladang di Johor, atau di tempat lain di Malaysia, perlu memahami rintangan untuk menceburi bidang tersebut.
Walaupun warga asing dibenarkan untuk membeli tanah pertanian, prosesnya dikawal ketat. Ia memerlukan kelulusan pihak berkuasa negeri dan tertakluk kepada harga minimum yang tinggi, lazimnya antara RM1 juta (S$321,144.78) hingga RM2 juta (S$642,289.56).
Warga asing juga secara amnya tidak dibenarkan untuk memiliki Tanah Rizab Melayu atau lot Bumiputera.
Encik Chua berkata mereka yang berminat dalam bidang pertanian perlu bermula secara kecil-kecilan dengan menyewa atau memajak tanah sambil mempelajari selok-beloknya, sebelum melaburkan jumlah modal yang besar.
“Para petani perlu terlebih dahulu membina kepercayaan dengan masyarakat setempat,” kata beliau.
“Bagi kami, kami bekerjasama dengan kedai-kedai makan berhampiran yang menyediakan khidmat bagi acara kami. Begitulah cara kami membina kepercayaan dan rasa saling menghormati.”
Bagi Cik Nabilah, 39 tahun, dari Aliyah Rizq, kebolehan mengharungi rintangan tersebut bergantung kepada kerjasama dengan rakan-rakan yang tepat serta kesediaan untuk membuat pengorbanan kewangan pada peringkat awal.
“Ada tempoh di mana kami tidak mengambil gaji selama berbulan-bulan,” kata beliau.
“Kami mahu memastikan para pekerja dibayar terlebih dahulu. Apa yang tinggal, kami ambil, dan sebarang lebihan disalurkan semula ke dalam perniagaan.”
Pernah sekali, beliau berdepan dengan seorang pembekal biri-biri yang gagal dihubungi beberapa hari sebelum acara korban yang dianjurkan ladang tersebut. Dalam satu lagi kejadian, seorang kakitangan menjual seekor kambing di pasar tempatan tanpa pengetahuan pemilik.
“Cabaran dalam mengendalikan perniagaan memang nyata,” kata beliau. “Anda memerlukan rakan kongsi yang boleh dipercayai dan kakitangan yang boleh dipercayai. Ini perkara yang sentiasa perlu diingat.”
Di sebalik kesukaran itu, Cik Nabilah berkata bidang pertanian merupakan kerjaya yang wajar dipertimbangkan oleh golongan muda Singapura.
Ini khususnya ketika keselamatan makanan terus menjadi kebimbangan, dengan pemerintah memberi lebih penekanan kepada pengeluaran tempatan.
“Apa yang kami perhatikan ialah dalam industri pertanian, terdapat tanggapan bahawa ia sekadar kerja fizikal yang berat (dan sukar untuk dikembangkan),” kata beliau.
“Apa yang kami cuba lakukan adalah untuk menjadikan bidang pertanian menarik sekali lagi.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.