Skip to main content

Gaya Hidup

Jalan Petaling di Kuala Lumpur berwajah baharu, tarikan pelancong tempatan & antarabangsa

Menjengah ke Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai Chinatown, kawasan ikonik ini sekian lama menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai pengalaman tawar-menawar unik selain menikmati kepelbagaian makanan jalanan yang memikat selera.

Anggaran Waktu Membaca:
Jalan Petaling di Kuala Lumpur berwajah baharu, tarikan pelancong tempatan & antarabangsa

Jalan Petaling di Kuala Lumpur kini berwajah baharu. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Menjengah ke Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai Chinatown, kawasan ikonik ini sekian lama menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai pengalaman tawar-menawar unik selain menikmati kepelbagaian makanan jalanan yang memikat selera.

Dihiasi pemandangan bangunan lama dan bersejarah di sekitarnya, destinasi yang terkenal dengan kemeriahan pasarnya dan kaya dengan khazanah warisan yang dibangunkan era 1800-an itu, turut menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin menyaksikan keunikan budaya di ibu negara Malaysia. 

Sejak kebelakangan ini, pekan Cina itu tidak lagi sekadar menjadi destinasi beli-belah, tetapi turut menjadi lokasi ā€œwajib singgahā€ bagi penggemar kopi dan mereka yang ingin bersantai di kafe-kafe estetik yang kini semakin meriah menghuni bangunan-bangunan lama sekitar jalan ini. 
Related article image
Suasana di Jalan Petaling yang ikonik. (Gambar: Bernama)
Istimewanya, penambahbaikan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama dengan sektor swasta itu tidak hanya tertumpu di Jalan Petaling tetapi juga kawasan sekitar yang sebelum ini suram dan terbiar, seterusnya menjadi lokasi pilihan untuk merakam gambar dan video. 

Lokasi-lokasi mencuri perhatian antaranya ialah Kwai Chai Hong yang terletak di antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling, yang suatu ketika dahulu digeruni orang ramai untuk melaluinya. Namun kini berubah wajah secara ketara dan menjadi antara lokasi mural paling popular serta ā€œInstagrammableā€.
Related article image
Kwai Chai Hong yang terletak di antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling kini juga berwajah baharu. (Gambar: Bernama)
Berlatarkan lukisan interaktif yang mengangkat kehidupan masyarakat sekitar era 1960-an, bukan sahaja Kwai Chai Hong atau dalam bahasa Kantonis pasar bermaksud Lorong Hantu Kecil menjadi tumpuan, tetapi juga Pasar Lee Lam Thye. 

Pembangunan semula Pasar Lee Lam Thye yang terletak di lorong kecil yang selari dengan Jalan Petaling iaitu Jalan Sang Guna (Drury Lane), kini tampil dengan mercu tanda baharu yang diberi nafas segar, menjadi destinasi menarik gabungan seni bina tradisional dan estetika kontemporari. 

Pasar yang mempunyai bumbung hijau tinggi dan dikenali sebagai Green Dragon itu melalui pelbagai transformasi antaranya, proses penggantian bumbung lama kepada struktur lebih kukuh yang siap sepenuhnya pada Disember 2025 selepas melalui tiga fasa pembinaan, bermula April tahun sama.

Bagi Yong Onn Min, 55 tahun, peniaga cenderamata yang sudah dua dekad mencari rezeki di sana, projek penambahbaikan berkenaan memberi satu kelegaan besar kepada masyarakat peniaga yang selama ini dihantui masalah kebocoran.

ā€œDulu bumbung banyak lubang, air selalu masuk (bocor). Sekarang sudah buat baharu, nampak lebih cantik dan kami tidak lagi risau untuk berniaga walaupun hujan. Walaupun terpaksa tutup kedai selama sebulan secara berfasa ketika pembinaan, ia satu pengorbanan yang berbaloi,ā€ katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nur Qalesya Umairah Nurfaizarizal, 17 tahun, berkata suasana Jalan Petaling dan kawasan sekitarnya yang kini lebih ā€œhidupā€, menjadikannya lokasi pilihan untuk melepaskan tekanan dengan bersantai di kafe unik, namun berharap aspek kebersihan terus dipertingkatkan.

Kepesatan transformasi ini turut menarik perhatian pelancong asing Bui Thi Kim Phuong dari Vietnam, yang tidak menyangka kawasan bersejarah seperti di Chinatown itu boleh berubah wajah dan menyifatkan lorong-lorong seni di situ sebagai destinasi wajib untuk sesi fotografi. 

DBKL dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan projek naik taraf Jalan Petaling yang bermula 3 Mac tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada 1 Mei ini, dengan kerjasama erat Persatuan Penjaja Jalan Petaling, Persatuan Peniaga Jalan Petaling, perunding dan kontraktor.

Skop utama projek merangkumi penggantian bumbung sedia ada, pengemasan semula sistem pendawaian elektrik serta penstrukturan semula ruang penjaja kepada kawasan berbumbung yang lebih teratur dan kemas dengan kos keseluruhan dianggarkan RM7 juta (S$2.23 juta).

Kawasan itu turut dilengkapi kamera litar tertutup, pencahayaan, penyediaan tanjakan mesra Orang Kurang Upaya, selain kerja kemasan pendawaian elektrik dilaksanakan menggunakan sistem ā€œunderground trenchingā€ bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat dan tersusun.
Related article image
Aspek penyelenggaraan jangka panjang akan terus diberi perhatian, menurut DBKL. (Gambar: Bernama)
DBKL menjelaskan aspek penyenggaraan jangka panjang akan terus diberi perhatian termasuk mengambil tindakan terhadap sebarang aduan kerosakan kemudahan bagi memastikan kemudahan yang dinaik taraf sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi.

ā€œDBKL komited memastikan infrastruktur dan kemudahan awam sentiasa dalam keadaan terbaik, bersih dan selamat, di samping memastikan operasi penjajaan dan perniagaan mengikut garis panduan ditetapkan, bertujuan memberikan pengalaman selesa kepada pengunjung serta meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama,ā€ katanya.
Sumber : Bernama/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita