Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jaguh lumba basikal SCDF Staf Sarjan Ahmad Ridhwan kongsi tip menang perlumbaan

Komander Seksyen Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Staf Sarjan (SSG) Ahmad Ridhwan Dahlan adalah antara penerima Anugerah Merit Persatuan Sukan dan Riadah Home Team (HTSRA) 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Komander Seksyen Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Staf Sarjan (SSG) Ahmad Ridhwan Dahlan adalah antara penerima Anugerah Merit Persatuan Sukan dan Riadah Home Team (HTSRA) 2020.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan luar biasa SSG Ridhwan sebagai penyelaras sukan SCDF dan juga peranannya sebagai salah seorang pelumba basikal dalam pasukan SCDF yang berjaya menduduki antara tiga tempat teratas yang ditandingi pasukan tersebut sepanjang empat tahun lalu.

"Saya agak terkejut kerana diberikan Anugerah Merit HTSRA. Saya berasa sangat berbesar hati kerana diiktiraf atas sumbangan saya," kata komander pasukan elit SCDF itu semasa diwawancara oleh majalah Rescue 995 terbitan SCDF.

SSG Ridhwan sudah mengambil bahagian dalam banyak kejohanan lumba basikal peringkat terbuka dan korporat.

Antara kejohanan lumba basikal yang dekat di hatinya adalah City 60 Bike-Run Challenge yang dianjurkan di bawah kategori Star Games Kelab Perkhidmatan Awam (CSC).

(Gambar-gambar: SCDF)

Dalam perlumbaan itu, setiap pasukan yang bertanding diwakili oleh dua pelari dan seorang pelumba basikal.

Acara berganti-ganti itu bermula dengan pelari pertama melakukan larian sejauh 7 kilometer yang kemudian disusuli oleh pelumba basikal yang mengayuh sejauh 46 kilometer sebelum pelari kedua menamatkan perlumbaan dengan berlari sejauh 7 kilometer.

"Saya mewakili SCDF sebagai pelumba basikal utama dalam perlumbaan City 60. Sejak 2016, pasukan kami berjaya menduduki antara tiga tempat teratas. Kami malah muncul sebagai juara dari 2017 hingga 2019!" kongsi SSG Ridhwan.

RAHSIA KEJAYAAN

Apabila ditanya tentang rahsia kejayaan beliau memenangi perlumbaan sambil mengimbangi tuntutan kerja dan kehidupan berkeluarga, SSG Ridhwan berkata beliau berbasikal tiga kali seminggu dan akan berlari-lari anak sebagai senaman untuk menguatkan stamina dan kecergasan otot.

Beliau turut menarik perhatian bahawa tidur yang mencukupi, pemakanan yang sihat, latihan yang dilakukan secara progresif dan meminum air secukupnya
adalah perlu untuk seseorang mempersiapkan diri secara fizikal untuk bertanding.

"Pada hari-hari tertentu, saya akan mengayuh basikal dari 4.00 pagi hingga 6.00 pagi sebelum pergi kerja. Jika saya tidak dapat berlatih pada sebelah pagi disebabkan oleh syif saya, saya biasanya akan mengayuh basikal selama dua jam pada hari rehat saya.

"Pada hujung minggu, terutamanya apabila dekat dengan hari perlumbaan, saya akan berlatih dengan lebih giat lagi,mengayuh basikal lebih 100km, yang mengambil masa sekitar empat jam. Secara purata, saya akan mengayuh basikal sekurang-kurangnya sejauh 250 hingga 300km seminggu," dedah SSG Ridhwan.

"Berbasikal adalah cara yang baik untuk menghilangkan tekanan terutamanya selepas sehari suntuk bekerja. Ia adalah satu kegiatan yang boleh menjadi pilihan sesiapa sahaja untuk terus kekal sihat. Selain itu, anda juga boleh meneroka lebih banyak tempat di Singapura semasa mengayuh basikal! Itulah yang membuat saya benar-benar suka berbasikal," tambah SSG Ridhwan.

Pada 2019, SSG Ridhwan dilantik sebagai penyelaras sukan SCDF dan anggota jawatankuasa Duathlon HTSRA di mana beliau bertanggungjawab menguruskan pasukan lumba basikal SCDF.

Antara tanggungjawabnya termasuk memastikan mereka dapat berlatih secara kerap sebagai persiapan bagi perlumbaan akan datang.

Buat masa ini, SSG Ridhwan sedang membuat persiapan bagi Kategori Terbuka Kejohanan Lumba Basikal Berpasukan dan Lumba Lebuh Raya 2021. 

Sumber : Agensi berita/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan