Jaga paras gula, pantau kencing manis terutama kaum lelaki semasa COVID-19
Menjelang 2030, bilangan penduduk Singapura berusia 40 tahun ke atas yang menghidap penyakit kencing manis dijangka akan meningkat lagi 200,000 orang daripada 400,000 sekarang.

Seorang pesakit penyakit kencing manis ketika menjalani ujian. (Gambar fail: Mario Anzuoni/Reuters)
SINGAPURA: Menjelang 2030, bilangan penduduk Singapura berusia 40 tahun ke atas yang menghidap penyakit kencing manis dijangka akan meningkat lagi 200,000 orang daripada 400,000 sekarang.
Kadar penyakit kencing manis dalam kalangan orang dewasa meningkat dari 8.2 peratus pada 2004 kepada 11.3 peratus pada 2010.
Jumlah lebih besar kaum lelaki menghidap kencing manis (12.3 peratus) berbanding wanita (10.4 peratus).
Kaum lelaki yang menghidap kencing manis jenis 2 juga berdepan dengan risiko lebih tinggi menghidap penyakit-penyakit lain.
Rencana ini bertujuan untuk mengongsi isu-isu kesihatan unik yang dihadapi kaum lelaki yang menghidap kencing manis jenis 2.
Ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya, lebih-lebih lagi semasa penularan virus korona COVID-19.
Rencana ini setakat memberi nasihat bagi memastikan kita terus menjaga paras gula dan memantau keadaan kencing manis khususnya bagi mereka yang mungkin sudah menghidap penyakit ini.
Berikut, saya senaraikan beberapa masalah yang mungkin akan dialami jika pesakit kencing manis tidak memandang serius terhadap kesihatan mereka.
MATI PUCUK
Menurut kajian yang diterbitkan dalam 'Journal of Diabetes, Metabolic Syndrome and Obesity: Targets and Therapy', kaum lelaki yang menghidap kencing manis lebih cenderung mengalami Disfungsi Erektil (ED) atau mati pucuk.
Darah yang mengandungi glukos yang tinggi menyebabkan kerosakan pada saluran darah kecil dan saraf yang terhubung dengan zakar. Lantaran itu, kencing manis yang tidak terkawal menyumbang kepada ED.
Selain mengawal paras gula, ubat-ubat kencing manis tertentu juga mendatangkan kesan sampingan seperti ED.
Lelaki yang menghidap kencing manis lazimnya turut mengalami obesiti dan tekanan darah tinggi, yang juga menambah risiko ED.
JANGKITAN PADA SALURAN KENCING
Jangkitan saluran kencing (UTI) lazimnya disebabkan bakteria. Ia boleh menjejas mana-mana bahagian saluran kencing termasuk ginjal, pundi kencing, ureter (salur ginjal), uretra (salur kencing) dan kelenjar prostat bagi lelaki. Jangkitan sering kali berlaku pada pundi kencing.
Kaum wanita 10 kali lebih cenderung mengalami UTI berbanding lelaki. Namun, lelaki yang menghidap kencing manis lebih berisiko mengalami UTI berbanding lelaki yang bebas kencing manis.
Mengapa pesakit kencing manis lelaki lebih mudah terdedah kepada UTI?
Antara sebab-sebabnya, pertama, peredaran darah mereka lemah. Ini mengurangkan daya pergerakan sel-sel darah putih dalam tubuh untuk membasmi sebarang jenis jangkitan.
Kedua, paras glukosa yang tinggi juga meningkatkan risiko mengalami UTI.
Ketiga, sesetengah lelaki yang menghidap kencing manis kurang berdaya untuk mengosongkan pundi kencing mereka. Lantaran itu, air kencing kekal dalam pundi buat terlalu lama sehingga bakteria berleluasa.
TESTOSTERON RENDAH
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para saintis mendapati ada kaitan paras testosteron rendah dengan penyakit kencing manis.
Hasil kajian menunjukkan bahawa dalam kalangan 2,100 lelaki berusia lebih 45 tahun, mereka yang menghidap kencing manis 2.1 kali lebih berkemungkinan mengalami paras testosteron rendah.
Testosteron rendah tidak menyebabkan kencing manis tetapi sebaliknya, kencing manis mungkin merendahkan paras testosteron. Kaitan antara kencing manis dengan paras testosteron rendah sudah jelas dibuktikan.
Pesakit kencing manis lelaki lebih cenderung mempunyai paras testosteron rendah, sementara lelaki yang mempunyai paras testosteron rendah lebih besar kemungkinan mengalami kencing manis.
Testosteron meningkatkan keupayaan tubuh untuk menyerap gula sebagai respons kepada insulin. Lelaki yang mempunyai testosteron rendah mungkin turut mengalami rintangan insulin.
Dalam keadaan sedemikian, tubuh mereka perlu menghasilkan lebih insulin untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah.
DAPATKAN NASIHAT PERUBATAN
Jika anda didiagnosis menghidap penyakit kencing manis jenis 2, perhatikanlah sekiranya anda mengalami masalah-masalah tersebut.
Jika anda mengalami mana-mana gejala yang tertera di atas, anda mungkin boleh menimbangkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada waktu yang sesuai selepas tempoh pemutus litar COVID-19 kerana ia mungkin menandakan bahawa anda menghidap kencing manis.
Mintalah nasihat doktor jika anda mengalami sebarang simptom atau masalah yang tertera di atas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.